Sunday, April 21, 2013

Ucapan Tuan Guru Nik Aziz kepada khalayak bukan Islam



  1. Ini merupakan kali pertama saya menghadiri secara live ucapan Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, Mursyidul Am Pas merangkap Menteri Besar Kelantan, yang juga pertama kali untuk beliau datang ke bandar Kulai. Perhimpunan pada malam 13 April 2013 merupakan anjuran pihak pembangkang sempena Pilihanraya Umum ke 13 di hadapan ibu pejabat parti DAP Kulai.
  2. Beliau dijadualkan berucap sejurus selepas ucapan Penasihat DAP iaitu saudara Lim Kit Siang. Sekarang merupakan musim pilihanraya maka perhimpunan politik ini bertujuan membentangkan serba-sedikit manifesto pakatan rakyat sebagai pembangkang dan menjawab kritikan-kritikan yang dilemparkan parti pemerintah semasa.
  3. Walaubagaimana pun bukanlah sisi politik yang ingin saya bangkitkan di sini. Majoriti daripada hampir 10 000 orang penduduk Kulai yang hadir pada malam itu merupakan penduduk berbangsa Cina (kira-kira 60 ke 70%), lagi pula perhimpunan ini dianjurkan di hadapan pejabat DAP maka hal ini tentulah bukanlah suatu keanehan. Setibanya Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat ke atas pentas disambut dengan tepukan dan sorakan gemuruh oleh hadirin dan lensa kamera tidak putus-putus merakam gambar beliau yang kelihatan sedikit kepenatan. Saudara Lim Kit Siang juga berhenti berucap dan memberikan laluan kepada para hadirin untuk bersorak.
  4. Setelah saudara Lim Kit Siang usai berucap, Tuan Guru pula dijemput untuk memberikan ucapan. Kerusi disediakan untuk beliau duduk sambil berucap. Sememangnya beliau kelihatan letih.
  5. Hal yang mengagumkan saya pada waktu itu merupakan intipati ucapan beliau. Harus diingat bahawa majoriti hadirin pada malam itu merupakan kaum Cina yang bukan beragama Islam. Namun ucapan beliau sarat dengan pengisian agama Islam.
  6. Tuan Guru memulakan dengan sepotong ayat al-Quran yang kemudian menceritakan bagaimana manusia diciptakan dari berbagai-bagai bangsa untuk saling berkenalan. Kemudian beliau menjelaskan bahawa tidak ada ceramah 'politik' kerana yang ada hanyalah ceramah agama. Khutbah Jumaat itu juga adalah ceramah agama. Lantas beliau langsung menyentuh seruan 'Ittaqullah' yang lazim dilafazkan para khatib pada setiap kali solat Jumaat yang mengajak manusia untuk bertaqwa kepada Allah. Tuan Guru menyatakan bahawa semua Muslim harus bertaqwa kepada Allah, tanpa mengira bangsa dan jawatan. Samada guru, petani, ketua jabatan atau sesiapa sahaja.
  7. Tuan Guru kemudian menyatakan bahawa manusia yang hidup melata di bumi Allah haruslah menjalankan perintah Allah. Hukum Allah iaitu hukum hudud juga wajib dilaksanakan, dan sekiranya kita enggan melaksanakannya maka kita disaran untuk mencari atau mencipta bumi yang lain untuk kita diami.
  8. Ceramah agama pada perhimpunan politik sebegini tentulah tidak asing bagi mereka yang biasa mengikuti ceramah Tuan Guru Nik Aziz. Namun saya cukup terkesan dengan kesungguhan beliau menyampaikan ajaran Islam kepada khalayak bukan Islam yang hadir pada malam itu. Hal ini menyebabkan saya terfikir, bilakah masanya saya mengajak bukan Muslim untuk mengenali agama yang benar ini? Pernahkah kita berjumpa dengan rakan sekerja kita yang bukan Islam dan mempelawanya mengenali ALLAH?