Monday, August 31, 2009

Budaya Membaca-Budaya Blogging

Salam.
Warga Malaysia dikatakan antara warga yang paling kurang membaca buku saban tahun. Namun saya lihat semakin ramai yang gemar menulis di blog dan ramai juga yang mengikuti tulisan di blog-blog tertentu lantas saya kira warga Malaysia era kini yang celik teknologi maklumat sudah beralih arah kepada membaca secara maya (tidak semua begitu, ada yang masih gemar kepada helaian kertas untuk ditatap berbanding skrin komputer).

Sudah lama terpendam hasrat untuk menulis di blog sebegini namun hasrat hanya tinggal hasrat apabila dihambat waktu dan dikekang dengan kehendak semasa. Namun itu semua tidak pernah memadamkan kecintaan untuk menulis yang telah bertapak sejak di bangku sekolah lagi. Walaupun ramai sahabat dan rakan (harap maklum perbezaan sahabat dan rakan di sini) yang mempunyai blog yang tersendiri sejak sekian lama, dan aktif juga menuruti blog mereka, namun idea untuk menulis di blog seumpama ini dieram sejak dulu agar apabila sampai waktunya yang bersesuaian dan mampu pula untuk menyediakan blog, maka barulah diturutkan hasrat untuk mewujudkan blog sendiri.

Blog yang dibina ini atas hasrat untuk berkongsi idea (semua blog begitu?) dan meminta tunjuk ajar daripada mereka yang ahli dalam bidang tertentu seperti agama, penulisan, fotografi dan seni deviant.
Mungkin juga sedikit perkongsian seputar ilmu Sains dan Matematik memandangkan saya menuntut di Institut Pendidikan Guru (IPG) dalam jurusan Matematik. Penulisan di blog ini juga barangkali akan hadir dalam dwibahasa iaitu Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris namun secara umumnya saya kira dan saya berharap dalam Bahasa Melayu kerana saya gemar menukilkan idea dan cerita dengan lenggok Bahasa Melayu yang saya kira terlebih sedikit berseni berbanding Bahasa Inggeris (tidak bermakna saya tidak gemar menulis dalam bahasa tersebut - Bahasa Inggeris juga mempunyai seninya tersendiri).

Selamat membaca (tahniah kepada yang meletakkan tabiat membaca sebagai kesukaan masa senggang) dan semoga dapat memberi tunjuk ajar kepada saya kelak. Wassalam.

3 comments:

Anonymous said...

benar tinta tuan hamba tersebut :))
hamba setuju sekali.he

selamat membaca
dan
selamat beramal

"NIKMATNYA MALAYSIA"

izuan said...

Terima kasih kerana menyokong. ;)

Anonymous said...

samasama :)

selamat berjuang dengan jari jemari dan latop