Thursday, October 29, 2009

Ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu




Untuk semester ini, kelas kami perlu melaksanakan satu lagi projek Bina Insan Guru yang mana memerlukan kami untuk melihat sesi pengajaran seorang guru cemerlang Matematik dan menemuramah guru tersebut bagi mendapatkan sedikit input dan tip bagi menjadi seperti beliau kelak. Kelas kami mempunyai dua puluh empat orang pelajar maka hal tersebut tidak begitu efektif bagi kami untuk melaksanakan sesi pemerhatian dan temuramah dengan bilangan seramai itu. Maka kami telah membahagikan kelas kami kepada dua kumpulan iaitu kumpulan A dan kumpulan B yang akan pergi ke dua buah sekolah yang berbeza bagi menemuramah dua orang guru cemerlang Matematik yang berbeza. Bagi kumpulan kami iaitu kumpulan B, kami telah pergi ke Sekolah Menengah Sains Kubang Pasu untuk menemui seorang guru cemerlang Matematik yang sangat berpengalaman iaitu Puan Rafeah binti Hashim untuk melihat sendiri sesi penagajaran dan pembelajaran yang beliau laksanakan serta mempelajari beberapa tip daripada beliau.

Ternyata lawatan kami ke sekolah tersebut merupakan satu pelaburan yang tidak sia-sia kerana guru cemerlang yang kami temui tersebut merupakan sebutir permata yang amat berharga dalam bidang pendidikan. Beliau merupakan seorang guru yang telah banyak berjasa dan telah banyak mendapat pengiktirafan samada di peringkat sekolah hinggalah institusi kerajaan yang lebih tinggi. Hal ini kerana beliau telah dilantik selaku salah seorang jurulatih utama dalam pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan diberi mandat untuk member penerangan berkenaan hal tersebut di seluruh negara tidak lama dahulu.

Sekolah tersebut merupakan sekolah baru yang mempunyai pelajar tingkatan satu dan tingkatan empat sahaja dan Puan Rafeah bint Hashim baru sahaja ditukarkan ke sekolah tersebut untuk menjadi Penolong Kanan Satu di sekolah tersebut. Hal ini membuktikan kredibiliti beliau selaku guru yang amat berkaliber dalam memimpin serta menjalankan tugasnya.

Setelah melihat cara beliau mengajar di dalam kelas, saya mendapati bahawa beliau merupakan seorang guru yang amat mementingkan pelajar-pelajarnya. Beliau berusaha membantu pelajar-pelajarnya yang bermasalah dan dalam masa yang sama menggalakkan mereka untuk berusaha memperbaiki prestasi diri.beliau menekankan kepentingan mendekati para pelajar dan bergaul secara sihat dengan mereka agar mereka berasa selesa dengan guru. Puan Rafeah juga menggariskan bahawa seorang guru haruslah cukup lembut dalam bergaul dengan para pelajarnya namun cukup tegas dalam menjalankan tanggungjawabnya.

Menurut beliau, untuk menjadi guru yang cemerlang, serba-serbi pada guru tersebut haruslah cemerlang. Perkara pertama yang disentuh adalah sistem fail (filing system) yang diamalkan oleh seseorang guru tersebut. Guru yang berimpian menjadi seorang guru yang cemerlang haruslah mempunyai satu sistem fail yang tersusun dan lengkap. Segala surat panggilan kursus serta lantikan beserta sijil-sijil penyertaan serta penghargaan haruslah disimpan dengan rapi agar memudahkan urusan penilaian sebagai guru cemerlang kelak.

Guru juga harus pandai mempelbagaikan aktiviti di dalam kelas untuk menarik minat pelajar dalam melibatkan diri dengan proses pengajaran dan pembelajaran yang kita lakukan. Hatta melaksanakan sesi ulangkaji seperti yang kami lihat dalam lawatan kami kali ini, beliau menjadikan proses tersebut suatu proses yang aktif dan menyeronokkan dengan memanggil beberapa orang pelajar untuk menjadi guru di hadapan rakan-rakan mereka. Pengajaran guru tersebut juga diselit dengan nilai-nilai murni yang secara tersirat diungkapkan oleh guru tersebut sepanjang beliau mengendalikan kelas tersebut hampir satu jam lebih.

Melihatkan motivasi serta semangat yang ditunjukkan oleh Puan Rafeah binti Hashim, sedikit-sebanyak hal ini telah membakar semangat saya untuk mengamalkan serba-sedikit tip yang telah beliau bekalkan kepada kami.saya berharap agar suatu hari kelak pencapaian saya akan sekurang-kurangnya setara dengan beliau yang sekarang amat berpuas hati melihatkan anak-anak muridnya yang telah berjaya dan amat menyanjungi beliau.