Wednesday, November 10, 2010

Tuesday, November 9, 2010

Kerana Cinta Gaza - Dua

BAB 2

“Jadi boleh tak kau tolong aku?” soal Qassim setelah melihat Amar diam seribu bahasa.

“Boleh tu boleh, Sim. Tapi nak tolong tu takkan sampai merugikan aku pula kan,” jawab Amar tanpa memandang ke arah Qassim. Diketuk-ketuknya jari ke atas pahanya sendiri. Dia sebolehnya tidak mahu melayan permintaan Qassim namun tidak sampai hati pula nak menolak sepenuhnya.

“Aku bayar, bukan aku tak bayar, Mar. Kau sajalah yang ada sekarang ni, aku nak hire yang jauh, mahal sangatlah nanti. Lagi pun kawan-kawan kan,” ujar Qassim lagi. Dia menggoyang-goyangkan kerusi empuk yang didudukinya. Qassim dan Amar merupakan rakan sekelas ketika di universiti dulu namun tidaklah serapat mana. Qassim ialah anak hartawan perumahan di Johor Bahru namun agak berkira dalam hal kewangan sehingga Amar pun merasa pelik dengan sikapnya. Qassim langsung tidak sama dengan sifat bapanya sendiri, Datuk Shukur yang terkenal dengan sifat pemurahnya itu. Saban tahun ada saja program kebajikan yang dilakukan oleh Datuk Shukur dan isterinya, apatah lagi apabila menjelang bulan Ramadhan.

“Itulah kau, tak nak buat persiapan awal, sekarang kalut nak cari photographer saat-saat akhir macam ni. Nak kahwin tapi macam tak nak kahwin,” balas Amar.

“Aku mana tahu nak jadi macam ni, aku ingat si Mus tu boleh pakai. Tengok-tengok dia ambil job lain pula. Aku dah booking tarikh tu, dia yang patut reserve untuk aku. Tolonglah Amar, lagi dua hari saja aku nak kahwin ni,” kata Qassim lagi. Amar hanya memandang kosong ke arah luar, melihat deretan kenderaan yang tak henti-henti menjalar di atas jalan berhadapan dengan studionya. Semuanya berlumba-lumba untuk pulang ke pejabat semula setelah waktu rehat tamat pada tengahari itu. Cuma Amar sahaja yang tidak mempunyai waktu rehat tertentu kerana bekerja sendiri.

“Kau pun satu, nak yang murah saja, itu yang jadi macam ni. Jangan ingat nak senang saja. Orang lain pun nak makan juga. Macam ni, kalau kau nak aku aturkan fotografi untuk perkahwinan kau, aku boleh tolong. Aku boleh bagi pakej terbaik untuk kau, ada photographer, kita buat indoor, kita buat outdoor, ada gambar ada video, harga sama macam biasa tak ada diskaun. Tapi aku boleh bagi satu sesi dalam studio, percuma untuk kau dengan isteri kau nanti. Macam mana?” Amar memberi kata putus. Dia bukan mahu berkira, tapi perniagaan ini tidak mengenal kawan atau lawan. Untung kena ada. Kalau tidak bila nak kaya.

Qassim memandang Amar. Senyap beberapa jurus. Dipicit-picitnya telefon bimbitnya itu walaupun tiada mesej atau panggilan yang masuk. Qassim menghela nafas panjang dan membetulkan duduknya.

“Oklah. Aku pun bukan ada pilihan sangat sekarang ni kan. Ikutlah,” jawab Qassim.

“Ha macam ni baru senang, jangan banyak tawar sangat, sebab tu Mus tu lari,” tersengih-sengih Amar melihat gelagat Qassim. Berjaya juga dia mempertahankan harganya setelah beberapa lama dipujuk oleh Qassim untuk memberikan potongan harga kepadanya.

“Iyalah Amar, nantilah aku bagi details perkahwinan aku pada kau. Sekarang waktu lunch aku sudah nak habis, aku nak gerak ke pejabat semula ni.” Qassim bingkas bangun daripada kerusi empuk tersebut.

“Kau ada nombor aku kan?” soal Qassim sambil memandang ke arah Amar.

“Kau tukar nombor ke?” balas Amar.

“Taklah, saja tanya. Oklah.” ujar Qassim lantas berjalan keluar daripada studio milik Amar. Amar hanya melihat dari ekor matanya sehingga kelibat Qassim hilang daripada pandangan matanya. Kalau nak dikira kawan saja, sampai bila aku tak boleh meniaga. Ingat aku robot? Aku pun nak kaya macam kau juga.

Amar menjangkau telefon bimbitnya yang berada di atas meja lantas menekan-nekan sesuatu. Dilihatnya wallpaper telefon bimbitnya yang tertera gambar buah hatinya, Balqis. Teman yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut dulu. Selama tiga bulan Amar cuba mendekati Balqis sebelum hubungan mereka mula mesra. Kini Balqis yang putih melepak itu sudah bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Kebangsaan. Amar merenung kosong gambar tersebut dan melepaskan nafas yang dalam. Fikirannya menerawang ke suatu masa di mana dia berlawan mulut dengan Balqis beberapa jam sebelumnya semasa mereka bertemu awal pagi tadi.

“Awak nak tunggu apa lagi? Kita ni makin tua, bukan makin muda tau tak?” tegas Balqis. Langsung tidak dipandangnya muka Amar itu. Amar pula hanya memandang ke laut lepas yang terbentang di hadapannya. Pantai Tanjung Bidara pada pagi itu langsung tidak tergugat kedamaiannya dek pertengkaran pasangan bercinta itu.

“Awak ingat kahwin ni perkara mudah ke Qis? Saya ni nak kena cari duit, nak kena urus itu ini, saya sudah banyak kali terima job ambil gambar orang kahwin, saya tahu macam mana susahnya. Awak perempuan, mana awak tahu,” balas Amar sambil melihat anak-anak ombak yang menghempas pantai itu. Damai tetapi tidak cukup untuk mendamaikan hati mereka berdua.

“Saya nak bantu, awak tak nak. Bukan saya tak ada duit. Saya pun ada kerja sendiri. Awak sendiri pun bukan tak mampu, sudah ada studio sendiri. Atau awak yang dalam diam sudah ada yang lain? Saya nak ajak kahwin, bukan ajak berperang,” Balqis menjawab. Mulutnya mencebik.

Amar senyap. Dia seboleh-bolehnya mahu membiarkan sahaja Balqis membebel seorang diri namun adakalanya tuduhan-tuduhan liar seperti ‘sudah ada yang lain’ itu sangat menyakitkan hatinya. Kalau berdiam sahaja nanti dikatakan betul pula tuduhannya itu. Amar bukan tidak mahu menerima bantuan Balqis, namun padanya biarlah dia yang menanggung kesemuanya. Majlis yang grand perlukan dana yang grand juga. Tetapi menggunakan duit perempuan bukanlah cara yang digemarinya. Ego lelaki. Lagi pun dia cuma kekurangan beberapa ribu sahaja lagi. Tahun depan sudah bolehlah nak kahwin, buat apa nak tergesa-gesa.

“Sudahlah. Saya nak balik,” ujar Balqis.

Balqis memasuki kereta merah miliknya dan memecut pergi.

Sunday, November 7, 2010

Tagged!: Entri-entri yang disukai (Favourite Entries).

Terima kasih kepada saudari faizura rahman kerana sudi tagged saya, kira blog adik-beradiklah dengan izuan rahman kot, hehe. Ok, inilah review blog saya:

5 entri-entri yang paling best dan sebabnya:

  1. Siri Cerpen 'Kemboja yang Berguguran': Ini adalah cerpen saya yang pertama terbit di akhbar Berita Minggu. Sangat mengujakan. Kira debutlah, hee. Namun judulnya sudah ditukarkan kepada Daun Zaitun pun Berguguran.
  2. Siri Sajak 'Terbang': Juga kerana sajak 'Terbang' satu dan dua menjadi antara sajak pertama saya yang terbit di akhbar Berita Minggu.
  3. Bukti Kekuasaan ALLAH SWT: Entri ini menceritakan perihal penemuan sebatang lagi sungai di dasar sebatang sungai. Membuktikan bahawa ALLAH SWT mampu melakukan apa sahaja yang dikehendaki-Nya. Entri ini saya tulis dalam bahasa Inggeris.
  4. Cara Pegang Kamera DSLR: Ini merupakan antara entri terawal saya yang menyentuh tentang teknik fotografi dan editing gambar. Untuk pengetahuan, saya memang suka fotografi dan videografi. Kalau (ehem-ehem) kalian like page saya di Facebook, kalian dapat lihatlah. Hehe.
  5. Glorious: Saya sukakan bait-bait kata seperti ini. Bacalah ya! =)

Tag rakan-rakan blog anda yang baru saja update semasa anda post kan entry ini (tidak termasuk saya):
Mereka yang terpilih untuk saya tag ialah:

Thursday, November 4, 2010

Sepintas: Dugaan Banjir di Jitra, Kedah.

Assalamualaikum and hello. Rumah yang saya dan sahabat-sahabat duduki kini dinaiki air sejak dua hari lepas. Air naik sangat laju kerana terdapat beberapa empangan yang dibuka di Kedah, Perlis dan Thailand, lantas dalam sekelip mata saja rumah kami sudah ditenggelami air separas dada manusia (bukan dada itik ya.) Insha Allah ada kesempatan saya akan cuba update namun segala gambar dan video yang diambil tidak dapat dikemaskini kerana card reader+lens semua sudah menyelam di rumah tersebut, huhu. Banyak barang-barang kami tidak dapat diselamatkan. Semua buku-buku, meja, rak, almari, barang-barang elektronik, terpaksa ditinggalkan. Lintah-lintah kerbau menjalar... Takut-takut encik ular pula kerana rumah kami berdekatan dengan paya, dan sekarang... hujan lagi...