Saturday, May 21, 2011

Kerana Cinta Gaza - Enam


BAB 6

Amar memandu keretanya penuh berhati-hati menyusuri jalan yang sibuk itu. Semua orang berpusu-pusu keluar untuk makan tengahari dan menjemput anak di sekolah pada waktu sebegini. Perjalanannya ke pusat bandar Melaka adalah untuk menemui bapa Qassim iaitu Datuk Shukur di pejabat cawangan syarikatnya di situ. Syarikat Datuk Shukur beribu pejabat di Johor Bahru, namun Datuk Shukur telah turun ke cawangan syarikatnya di Melaka untuk bermesyuarat dan kesempatan itu diambil olehnya untuk bertemu dengan Amar sendiri. Datuk Shukur ingin berbincang dengan Amar tentang kerja yang ditawarkannya sambil menikmati makan tengahari. Itulah yang dikatakan oleh Qassim dalam perbualannya di telefon tempoh hari.

Amar membelokkan keretanya ke dalam perkarangan sebuah bangunan besar yang tersergam indah di tengah-tengah bandar Melaka. Tidak sukar untuk dia mencari kawasan letak kereta kerana kebanyakannya sudah kosong. Setelah mengunci kenderaannya, Amar pun berjalan ke arah pintu masuk utama bangunan itu. Tidak sampai pun lima langkah dia mengorak, kelihatan seorang lelaki separuh umur yang sedikit berisi keluar daripada tempat duduk belakang sebuah kereta BMW hitam yang diletakkan di tepi bangunan tersebut.

“Amar! Amar! Amar kan?” jerit lelaki tersebut.

Amar segera menoleh dan mengenali raut wajah lelaki tersebut. Rupa-rupanya Datuk Shukur sudah menantikannya di situ. Lantas Amar pun berlari-lari anak untuk mendapatkannya.

“Maaflah Datuk, saya lambat sikit. Macam mana Datuk kenal saya?” soal Amar sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya disambut erat.

“Qassim. Dia ada beritahu pakcik, yang Amar bawa kereta Persona ungu tu, itu yang pakcik kenal tu,” jawab Datuk Shukur tanpa melepaskan salamnya. Amar hanya tersenyum sendiri.

“Mari, mari kita pergi makan.” Datuk Shukur menarik tangan Amar memasuki kereta BMWnya itu. Dengan pantas pintunya ditutup dan sejurus kemudian kereta tersebut meluncur laju tetapi senyap di atas jalan raya. Hati Amar seronok.

*******************************************************************************

“Makanlah Amar, kenapa tak makan?” soal Datuk Shukur setelah melihat Amar belum lagi menjamah makanannya yang baru tiba. Habislah aku kalau nak bayar ni, patut aku keluarkan duit dulu tadi, bisik hati kecil Amar. Restoran yang dipilih oleh Datuk Shukur bertaraf enam bintang dan makanannya semua mahal-mahal belaka. Menyesal pula bermanis mulut kata nak belanja masa dalam kereta tadi, gerutu hati Amar lagi.

“Tak apa, saya yang belanja. Sebab saya yang nak jumpa Amar kan?” kata Datuk Shukur lagi seolah-olah dapat membaca fikiran Amar. Amar tersipu-sipu malu.

“Bukan macam tu, Datuk. Panas, nak tunggu dia sejuk sikit,” Amar cuba berdalih.

“Isy, kalau dah sejuk, dah tak sedaplah. Makan, makan, makan,” kata Datuk Shukur lagi. Amar pun menggapai sudu dan garpu yang ada di hadapannya dan mula menyuap. Memang sedap makanan di sini, sebab harganya pun sedap. Amar menelan perlahan-lahan setiap suapannya.

“Ok, berkenaan hal ke Palestin tu,” Datuk Shukur menelan makanannya, “saya dan kumpulan Lembah Aman akan bertolak minggu depan. Sekali dengan awaklah, Amar. Misi kita ni untuk mengagihkan bantuan makanan, pakaian dan barangan dapur, perubatan dan memantau projek pembinaan sekolah di sana yang dijalankan di bawah kumpulan kita ni. Tugas awak, Amar, saya nak awak dokumentasikan perjalanan kita di sana nanti, dan segala aktiviti kita di sana untuk pembentangan selepas kita balik ke Malaysia dalam bentuk gambar dan sedikit video kalau awak mampu.”

Amar mengangguk-angguk sahaja. Dia meneguk air yang ada di hadapannya sambil memandang ke arah Datuk Shukur.

“Kita pergi dalam seminggu sahaja. Selesai saja urusan kita di sana, kita baliklah. Awak ada apa-apa nak tanya?” soal Datuk Shukur sambil meletakkan sudu dan garpunya ke sisi, lantas mengelap mulutnya dengan sehelai napkin.

“Em, saya boleh saja buat semua itu, Datuk. Kebetulan memang saya tiada menerima sebarang tempahan kerja dalam masa itu,” jawab Amar jujur. Dia menyambung mengunyah makanannya. Semuanya perlu dihabiskan, rugi kalau tak habis ni.

Parents awak tak kisah ke awak pergi?” soal Datuk Shukur sambil merenung Amar. Kedua tangannya disatukan di hadapan mukanya.

“Oh, tak kisah Datuk,” balas Amar pendek tanpa memandang ke arah Datuk Shukur. Malas pula dia mahu bercerita panjang tentang dirinya yang anak yatim dan sebagainya.

“Kalau macam tu tak apalah. Oklah. Nanti petang ikut saya balik Johor Bahru. Kita buat meeting dengan ahli kumpulan Lembah Aman yang lain yang nak ke Palestin sama malam nanti. Kita briefing sikit. Amar tak ada hal kan?”

“Boleh saja Datuk.”

****************************************************************************************

Hati Amar berbunga-bunga sebaik sahaja kereta BMW mewah yang membawanya bersama Datuk Shukur memasuki perkarangan bangunan moden yang terletak menghadap Selat Tebrau itu. Di bahagian atas bangunan tersebut tersergam barisan huruf-huruf gergasi yang membentuk kata “Lembah Aman”. Besar juga bangunan kumpulan ini, hati Amar berbisik. Tapi kenapakah aku tak pernah dengar apa-apa yang besar dan hebat pun tentangnya? Atau aku yang tak pernah nak ambil peduli? Amar tersenyum seorang diri.

Amar dan Datuk Shukur keluar daripada kereta dan berjalan beriringan memasuki bangunan tersebut. Terdapat dua orang pengawal yang berada di hadapan pintu masuk utama itu. Melihatkan kehadiran Datuk Shukur, salah seorang daripada mereka pun lantas mendapatkannya dan mengucapkan salam. Pengawal tersebut mengiringi mereka sehingga ke pintu masuk utama tersebut. Datuk Shukur berhenti sebentar dan berborak-borak dengan pengawal tersebut. Sejurus kemudian, pengawal itu pun kelihatan mengeluarkan segugus kunci daripada poket seluarnya dan menyerahkannya kepada Datuk Shukur.

“Ok Amar, sekarang dah nak Maghrib. Awak ambil kunci ni. Awak naik lif ke tingkat lima. Belok kanan dan cari bilik pertama sekali sebelah kiri. Itu bilik tetamu. Gunakan kunci nombor 13 ni untuk masuk bilik tu. Awak mandilah dan bersiap-siap. Solat dan sebagainyalah. Pukul lapan malam saya panggil semula untuk makan malam dan kita meeting terus lepas tu,” kata Datuk Shukur.

Amar mengangguk-angguk dan mencapai kunci yang diserahkan kepadanya.

“Ok, Datuk. Tingkat lima, kanan, kiri, tiga belas,” balas Amar ringkas. Amar pun berjalan menaiki lif dan menuju ke biliknya. Begini rupanya gaya orang kaya bekerja. Tak kira masa. Apa-apalah, janji aku dibayar.

Sesampainya Amar di bilik tetamu itu, Amar terus menjatuhkan dirinya di atas katil yang serba empuk itu. Dia menghembuskan nafas yang panjang menikmati keselesaan katil yang disediakan itu. Matanya dipejam-pejam. Langsung tidak terlintas di fikirannya tentang Balqis lagi.

Monday, May 16, 2011

Hari Guru SK Bandar Putra 2011



Sekitar sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra.
Lagu Terima Kasih Guru oleh Mirwana.

Monday, May 2, 2011

Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Non-Halal


  1. Dia meletakkan cangkir kopinya ke atas meja setelah dihirup sekali dua air yang masih berasap-asap itu. "Aku nak tanya kau sesuatu," soalnya kepada kawannya yang sedang asyik membelek akhbar pada hari cuti umum Hari Pekerja.
  2. Kawannya lantas meletakkan akhbar tersebut itu ke atas meja dan melihat ke arah dia. "Tanyalah."
  3. "Kenapa seksyen yang menjual arak dan daging babi di shopping complex menulis perkataan NON-HALAL pada kawasan tu?"
  4. Kawannya lantas tergelak selama lima minit mendengarkan soalan tersebut lantas menjawab, "Sudah tentulah dia tulis sebab benda-benda tu TAK HALAL untuk dimakan."
  5. Dia pun bertanya lagi. "Lantas mengapa tak ditulis HARAM saja? Kenapa non-halal?"
  6. Kawannya pun terdiam lima minit sebelum menjawab, "Untuk menjaga hati orang bukan Islam yang makan benda-benda tu kot."
  7. Dia pun berkata, "Mereka takkan terasa hati sebab hukum HALAL-HARAM tak tergunapakai untuk mereka pun, so apa salahnya letak HARAM instead of NON-HALAL. Kalau nak jaga hati juga, letakkan HARAM FOR MUSLIM. Barulah yang Muslim ni tak TERRRRRAMBIL setin-dua jolly shandy."