Thursday, September 6, 2012

Kepada ALLAH dia kembali.

Bismillah. Assalamualaikum.

Salah seorang daripada murid yang saya kasihi telah selamat kembali ke rahmatullah pada 2 Syawal 1433 yang lalu. Innalillahi wa inna ilaihi rajiun.

Tubuh bernama Hafiz yang pada tahun 2012 ini berusia 11 tahun merupakan seorang murid/insan yang sangat baik. Arwah merupakan anak murid yang saya ajar sepanjang tahun lepas (2011) semasa beliau berada di tahun empat.

Beliau sangat rajin ke masjid bersama ayahnya. Boleh kata setiap waktu solat Hafiz ada mengikut ayahnya ke masjid untuk menunaikan solat fardhu. Kemudian dia akan setia duduk di sisi ayahnya yang sedang mendirikan solat ba'diyah.

Setiap hari Jumaat yang berkat pula, arwah akan menolong melipat sejadah-sejadah di masjid dan menyimpan tabung-tabung derma setiap kali usai solat Jumaat.

Arwah Hafiz sakit sudah lama. Ada ketumbuhan. Bukan sekali operasi dilakukan. Sudah lama dia tak mampu ke sekolah untuk sesi tahun ini. Hanya terlantar sakit. Saya juga agak terkilan apabila tidak berkesempatan untuk menziarahnya semasa dia sakit.

Walau bagaimanapun, alhamdulillah saya dapat juga peluang untuk bertemu dengan Hafiz dalam kurang lebih sebulan sebelum dia dibedah untuk kali terakhirnya. Ketika itu kami baharu sahaja selesai solat Jumaat. Hafiz berpakaian jubah dan mengenakan kopiah putih. Bersih wajahnya. Saya menghulur salam dan dia menyambutnya dengan segaris senyuman tak berdosa. Dia tidak menunjukkan sebarang riak sakit dan hanya mengatakan bahawa dia akan dibedah sekali lagi apabila saya bertanyakan keadaannya. Dan itulah kali terakhir saya melihatnya.

Kini tiada lagi bayang Hafiz di masjid. Tidak kelihatan lagi susuk anak itu yang melipat sejadah atau mengutip tabung-tabung derma masjid untuk disimpan di bilik bilal. Dan malam tadi sebelum meninggalkan masjid, saya melihat dari jauh ayahnya mendirikan solat ba'diyah Isyak sendirian.

Al-Fatihah.

4 comments:

Unknown said...

Al-Fatihah utk adik Hafiz

fyna ahmad said...

al-fatihah untuk arwah....

Unknown said...

al-fatihah..semoga arwah ditptkan dikalangan org2 beriman & diredhai Allah s.w.t

mieza said...

alfatihah untuk adik hafiz..
ade hikmah semua yg berlaku