Saturday, September 10, 2011

Bangkit


Palitan lumpur ini sukar digugah;
oleh rintiknya hujan penyesalan
yang terkadang enggan membuahkan cinta;
dan enggan juga membugarkan taqwa.
Walau bergerombolan mendung berarak;
meski bertimpa-timpa air dari langit
berguguran untuk mencuci dan menyuci qalbi;
kotoran yang kuat berdegil itu
memeluk kemas tiada mahu melepas diri.

Oh kurniakanlah kekuatan dan kesabaran
Dalam menuju kebahagiaan yang abadi.

Monday, September 5, 2011

Susulan Kematian Arwah Noramfaizul Mohd Nor

Tulisan ini bukan to add salt to injury yang dialami oleh keluarga arwah Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera Bernama yang telah gugur ditembak dengan sebutir peluru sesat (?) ketika dalam perjalanan pulang ke hotel bersama-sama dengan rombongan sukarelawan dan media Malaysia. Tulisan ini sekadar pemerhatian biasa seorang awam yang bersimpati dengan arwah dan keluarganya. Apakah kemungkinan-kemungkinan yang menyumbang kepada kejadian ini?

  1. Bendera Malaysia yang seakan-akan bendera Amerika Syarikat. Bendera Malaysia yang dipaparkan mungkin menyebabkan beberapa golongan yang terang-terangan anti-Amerika berasa kurang senang lantas melepaskan tembakan tersebut. Bahkan nama Malaysia itu sendiri asing dalam kalangan rakyat Somalia (yang kita maklum kurang hubungan dengan dunia luar) maka hanya Amerika Syarikat sahajalah yang bermain di minda mereka. Untuk mengelakkan hal sebegini berulang, maka sebarang bantuan kemanusian haruslah dinaungi oleh badan bebas dan diwakili dengan logo-logo antarabangsa seperti PBB, seperti mana bantuan yang diberikan kepada Gaza yang dijalankan di bawah Lifeline 4 Gaza.
  2. Kelab yang bertanggungjawab menyatakan mereka sudah mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan. Walaubagaimana pun, kita seharusnya mengelakkan sebarang penglibatan dengan pihak yang berkonflik dan menggunakan orang tengah atau tentera pengaman yang neutral kerana mereka tidak mempunyai sebarang perjanjian gencatan senjata dalam misi kemanusiaan. Lagi pula, Somalia sedang dilanda kemarau, kebuluran dan penyakit, maka sudah tentu semua pihak yang bertelagah mahu mendapatkan bantuan tersebut.
  3. Tidak perlulah kita mengusung pasukan media yang ramai dalam misi kemanusiaan untuk publisiti.
  4. Misi bantuan kemanusiaan harus mengelak daripada menyentuh kawasan bergolak. Jika perlu, sebaiknya bantuan diserahkan kepada pihak yang berkuasa di kawasan tersebut untuk menguruskannya.

Semoga roh arwah Noramfaizul Mohd Nor dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para shuhada'. Al-fatihah.