Showing posts with label CERPEN. Show all posts
Showing posts with label CERPEN. Show all posts

Tuesday, January 4, 2011

Cerpen: BCC UNTUK AYAH



Muhammad Hamzah memusingkan stereng kereta yang dipandunya ke sebelah kanan. Perlahan-lahan dia membelok masuk demi mengelakkan percikan air dari lecak yang terdapat di bahu jalan tersebut. Sayang sungguh jika badan kereta Nissan Sunny 130Y yang baru dicat semula berwarna putih champion yang dipandunya itu tercalit noda-noda campuran tanah dan air yang keperangan itu.

Lantas fikiran Muhammad Hamzah terlontar pada barisan rim sport yang baru sahaja ditukarkannya bersama tayar-tayar yang baru. Aduhai, jangan-jangan sudah kotor rim ni, getus hati kecilnya. Ikutkan hati ingin sahaja dia memberhentikan keretanya ke tepi jalan dan membersihkan rim-rim tersebut seandainya sudah terpalit lumpur. Suatu perasaan seperti orang yang pertama kali memiliki kereta. Namun batas masa yang semakin suntuk tidak mengizinkannya berbuat demikian. Dia harus sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Hujan renyai yang menemaninya sejak tadi mencuri sedikit masa yang diperlukan untuk dia sampai ke sana. Ini semua salah si Tan. Kalau dia cepat-cepat buat kereta ni, taklah aku tergesa-gesa begini.

“Ini 15 inci sudah cukuplah bos. You punya enjin pun standard punya kan?” ujar Tan sambil mengesat pangkal keningnya lantas meninggalkan kesan minyak di situ. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk tanpa memandang ke arah Tan, sebaliknya dia melihat-lihat tayar kereta Nissan Sunny tersebut.

“Kalau 16 ke 17 ke, tak boleh ke Tan?” Muhammad Hamzah mengerling.

“Boleh tu boleh bos, tapi dengan enjin 1300cc ini macam, kalau you kasi taruk rim lagi besar daripada 15 inci, nanti kurang kuasa, kurang sesaran. Nanti silap-silap, you punya bacaan speedometer pun tak tepat tau,” ujar Tan lagi.

“Em, bolehlah. 15 inci pun oklah. Kasi warna perak tau. Sama macam warna rim asal tadi.”

Muhammad Hamzah meningkatkan kelajuan keretanya. Bunyi enjin yang sangat dikenalinya itu menderu dalam keheningan malam yang dingin itu. Tidak disangkanya enjin tersebut masih boleh digunakan lagi. Baguslah, sekurang-kurangnya nadi kereta tersebut masih sama seperti yang pernah digunakan oleh ayahnya dahulu.

Muhammad Hamzah masih ingat lagi peristiwa itu yang tersimpan segar dalam ingatannya. Ketika kereta Nissan Sunny putih tersebut baharu lagi dibeli oleh ayahnya, sewaktu itu dia baru sahaja berumur 10 tahun. Ayahnya pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta yang belum pernah dilihatnya selama ini. Muhammad Hamzah sungguh teruja hinggakan dia pernah menghabiskan masa sepetang di dalam kereta tersebut dengan mendengar radio sambil berangan-angan di hadapan stereng kereta sehingga dia terlelap di situ.

Kereta itu dibeli sebagai kereta second hand dengan harga RM20 000 jika dia tidak silap. Kereta itu amat penting memandangkan saiz keluarganya yang semakin bertambah, semakin membesar. Menaiki motor sudah tidak relevan lagi. Namun hanya kereta itu yang mampu dibeli oleh ayahnya ketika itu dan dia sangat bersyukur dengannya. Banyak jasa yang telah ditabur oleh kereta tersebut dalam menghantarnya ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari tanpa jemu dan kini kereta tersebut telah ‘dihidupkan’ kembali setelah sekian lama terbiar di belakang rumah ayahnya. Pernah ada orang yang hendak membeli kereta tersebut namun ayahnya enggan menjualkannya walaupun sudah tersadai begitu. Mungkin lebih baik begitu bagi ayahnya. Sejak adik-beradiknya mempunyai kerja masing-masing, kereta tersebut tidak digunakan lagi, dan ayahnya hanya menggunakan motor sahaja untuk ke mana-mana.

Jika kereta ayah tersebut telah banyak berjasa, maka sudah tentu ayah lebih banyak lagi budinya kepada Muhammad Hamzah dan adik-beradiknya. Pengorbanan ayah untuk membuat pinjaman demi membeli kereta tersebut untuk menjamin keselesaan anak-anaknya bersekolah dan mengharungi hidup sangatlah dihargainya, namun tiada pula kata-kata seperti ‘saya sayang ayah’ yang terpancar dari bibirnya kerana Muhammad Hamzah merasakan agak janggal untuk melakukan sebegitu. Dia tidak pernah menzahirkan ucapan kasih kepada ayahnya sendiri dan kadangkala terbit rasa kesal di hatinya dengan sikapnya sendiri. Sungguh dia menyintai ayahnya dan mahu menjaga segala keperluannya namun lafaz kasih sahaja yang masih terpendam. Baginya cukuplah perbuatannya sahaja yang mewakili rasa kasihnya yang dalam.

Mus. Mus. Mustakim…” baca ayahnya sambil menggenggam sebiji cili hijau di dalam tangan kanannya. Suasana senyap beberapa jurus.

Ihdinaous sirotol moustakim…” baca Muhammad Hamzah pula dengan suara perlahan. Air mata bergenang di kelopak matanya. Sudah berulang kali dia membaca ayat yang sama sahaja.

Mus. Bukan mous. Huruf sin tu bukan huruf sod. Ni cili hijau dah tunggu ni. Baca betul-betul.” Ayah menggentel-gentel cili hijau tersebut di hadapan Muhammad Hamzah. Setitik dua air mata Muhammad Hamzah jatuh ke atas lembaran muqaddam tersebut. Hatinya menggerutu. Sekejap aku baca bunyi sod, sekejap bunyi tsa. Macam mana nak buat bunyi sin. Lantas malam itu Muhammad Hamzah merasalah makan cili hijau mentah-mentah di hadapan ayahnya dan sejak itu dia tidak pernah lagi silap dalam membunyikan ketiga-tiga huruf arab tersebut.

Muhammad Hamzah tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa itu. Sungguh ayahnya telah banyak berbudi kepada mereka adik-beradik. Segala tunjuk ajar ayah meresap masuk ke dalam sanubari Muhammad Hamzah. Terima kasih ayah.

Patutlah perjalanan itu terasa sunyi, rupa-rupanya radio kereta tersebut tidak dihidupkan. Muhammad Hamzah mencapai punat radio yang terdapat di sisinya. Radio Blaupunkt kereta tersebut yang asal sudah diganti dengan versi baharu, dengan sistem bunyi yang baharu juga. Boleh memainkan audio berformat mp3, wma, ogg dan sebagainya yang dia sendiri tidak pernah ambil tahu wujud formatnya. Disediakan juga sebuah alat kawalan jauh untuk radio tersebut, namun Muhammad Hamzah merasakan agak kelakar untuk menggunakannya kerana dia dengan mudah boleh menekan-nekan punat radio kereta tersebut tanpa memerlukan sebuah alat kawalan jauh untuk melakukannya. Oh, mungkin alat kawalan jauh itu untuk orang di tempat duduk belakang agaknya. Eh, tapi minta sajalah sesiapa sahaja yang ada di hadapan untuk tolong menekannya. Atau hulurkan saja tangan ke hadapan untuk menekan radio tersebut seperti yang sering dilakukannya ketika kecil dahulu sewaktu ayahnya memandu untuk menghantarnya ke sekolah. Muhammad Hamzah masih merasakan alat kawalan jauh itu tidak memberi sebarang nilai tambah, namun dia menerimanya sahaja kerana itulah yang dia dapat bersama set radio yang baru dipasangnya petang tadi dan dia tidak kerugian apa-apa.

“Lusa baru siap? Apa ni Tan? Dah seminggu aku hantar ni.”

Spare part payah cari bos. Bukan radiator saja bos, itu kipas pun sama. Lainlah kalau you tukar enjin baru,” jawab Tan.

Muhammad Hamzah kegeraman.

“Kalau tak boleh buat, jangan berjanji Tan. Bukan sikit aku bayar ni. Aku tak kira, aku nak guna esok, esok pagi kena siap. Nak hantar cat pula kau tahu. Patut hari ni aku dah dapat ambil kereta ni. Esok petang nak guna kau tau.”

“Alamak sorry bos. Bukan sengaja punya. Kita pun tak mau menyusahkan klien kita. Tak apa untuk you kita kerja overtime punya. Spare part sampai ini petang, kita kasi buat you punya kereta, kita sanggup tak tidur malam punya untuk you,” Tan cuba memujuk.

“Pandailah kau ya. Pastikan esok pagi siap tau. Ha, muffler dah tukar belum? Ke masih yang berkarat punya?” soal Muhammad Hamzah sambil bergerak ke belakang kereta. Tan mengekorinya daripada belakang dan menunjukkan kepada Muhammad Hamzah.

“Ini you jangan risau, sudah lama kita buat. Tapi ini muffler besar sikit dari yang lama punya. Yang lama punya macam batang paip saja. Kasi ekzos you bergaya sikit oh?”

“Ha nasib baik kau dah buat. Kalau tak aku tarik kereta aku ni bagi orang lain saja buatkan. Em, besar ni cukuplah, jangan besar sangat sebab enjin pun standard.”

“Wah betul-betul. You pun sudah faham, bolehlah buka bengkel lepas ini,” ujar Tan sambil tergelak besar.

Muhammad Hamzah tersenyum.

“Kalau aku buka bengkel, tak lakulah kedai kau nanti.” Tan tergelak lagi.

Papan tanda Lapangan Terbang Kepala Batas menyambut kehadiran Muhammad Hamzah dengan kereta ‘barunya’ sejurus selepas dia membelok ke simpang tersebut. Tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut pada waktu malam begini. Hanya barisan lampu jalan yang berderet-deret melimpahkan cahaya kuning yang menemani perjalanannya. Muhammad Hamzah mengerling jam digital keretanya. Em, patut lima minit lagi sampailah penerbangan itu. Sedang elok saja aku tiba ni, tak perlulah menunggu lama-lama.

Muhammad Hamzah memandu keretanya mendaki bukit untuk ke kawasan mengambil penumpang yang berhadapan dengan pintu utama lapangan terbang kecil tersebut. Kelihatan tiga empat buah kenderaan sudah berada di situ, bersedia untuk menjemput penumpang mereka masing-masing. Ada yang menanti di hadapan kenderaan, ada yang menunggu sahaja di dalam kereta.

Muhammad Hamzah memperlahankan keretanya ke sebelah kiri jalan dan memberhentikannya di situ. Kemudian dia pun keluar daripada keretanya dan berjalan ke arah pintu utama lapangan terbang tersebut. Muhammad Hamzah berjalan laju-laju dan memasuki kawasan lobi lapangan terbang tersebut yang lenggang. Hanya terdapat pekerja-pekerja lapangan terbang dan petugas-petugas syarikat penerbangan di kaunter tiket syarikat masing-masing. Mereka memandangnya lantas tersenyum dan Muhammad Hamzah hanya melemparkan senyuman tawar ke arah mereka. Muhammad Hamzah memang tidak tahu bermesra.

Selang dua tiga jurus, kelihatan kelibat-kelibat manusia berjalan dengan mengheret beg-beg troli daripada kawasan ketibaan dan disambut oleh para petugas di situ. Mata Muhammad Hamzah meliar untuk mencari-cari sesusuk tubuh yang dikenalinya, namun tidak kelihatan. Satu demi satu penumpang berlalu sehinggalah kepada penumpang yang terakhir namun tidak juga dijumpai apa yang dicarinya. Muhammad Hamzah mula kaget. Dia melihat papan tanda ketibaan. Sepatutnya sudah tiba. Bahkan lima minit tadi.

Tiba-tiba belakang bahu kanannya ditepuk perlahan.

“Kau cari siapa Hamzah?”

Muhammad Hamzah segera berpaling. Suara yang amat dikenalinya itu membuatkannya tersenyum sendiri.

“Sudah lama ayah sampai?” soal Muhammad Hamzah lantas menghulurkan salam dan dicium tangan mulia ayahnya itu.

“Adalah beberapa minit. Pergi tandas sekejap tadi. Transit sekejap saja di KLIA, terus ke mari. Sudahlah, ayah nak berehat. Jom hantar ayah balik.” Ayahnya mengangkat beg di sisi namun cepat-cepat diambil oleh Muhammad Hamzah. Mereka pun berjalan beriringan ke arah pintu utama.

“Ayah ada belikan sikit barang-barang masa umrah. Bolehlah bahagi-bahagi kau dengan isteri kau. Dengan kakak abang kau,” ujar ayahnya. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk.

“Terima kasih ayah,” Muhammad Hamzah menjawab. “Ayah tunggu sini dulu, saya masukkan barang-barang dalam kereta, lepas itu saya bawa kereta ke sini.”

“Tak apalah, ayah larat lagi nak jalan. Mana kau letak kereta kau?” Ayahnya melihat-lihat ke kanan dan kiri. Muhammad Hamzah tersenyum lagi.

“Ayah tengok kereta putih tu.”

“Kau dah tukar kereta ke Hamzah?”

“Eh, taklah ayah. Takkan ayah tak kenal kereta tu?” Mereka menghampiri kereta Nissan Sunny tersebut. Ayahnya memerhatikan segenap penjuru kereta itu dengan rasa tidak percaya. Keletihan kerana penerbangan tadi langsung tidak dirasainya lagi. Dadanya berdebar-debar.

“Inilah kereta ayah dahulu, BCC 7171. Saya sudah hantar untuk dibaikpulih masa ayah pergi umrah hari tu. Selamat hari lahir, ayah,” ujar Muhammad Hamzah sambil mengunjukkan kunci kereta tersebut kepada ayahnya yang ternyata tidak mampu bersuara.

Mata ayah Muhammad Hamzah berkaca-kaca, lalu mereka dua beranak pun berpelukan.

Tuesday, November 9, 2010

Kerana Cinta Gaza - Dua

BAB 2

“Jadi boleh tak kau tolong aku?” soal Qassim setelah melihat Amar diam seribu bahasa.

“Boleh tu boleh, Sim. Tapi nak tolong tu takkan sampai merugikan aku pula kan,” jawab Amar tanpa memandang ke arah Qassim. Diketuk-ketuknya jari ke atas pahanya sendiri. Dia sebolehnya tidak mahu melayan permintaan Qassim namun tidak sampai hati pula nak menolak sepenuhnya.

“Aku bayar, bukan aku tak bayar, Mar. Kau sajalah yang ada sekarang ni, aku nak hire yang jauh, mahal sangatlah nanti. Lagi pun kawan-kawan kan,” ujar Qassim lagi. Dia menggoyang-goyangkan kerusi empuk yang didudukinya. Qassim dan Amar merupakan rakan sekelas ketika di universiti dulu namun tidaklah serapat mana. Qassim ialah anak hartawan perumahan di Johor Bahru namun agak berkira dalam hal kewangan sehingga Amar pun merasa pelik dengan sikapnya. Qassim langsung tidak sama dengan sifat bapanya sendiri, Datuk Shukur yang terkenal dengan sifat pemurahnya itu. Saban tahun ada saja program kebajikan yang dilakukan oleh Datuk Shukur dan isterinya, apatah lagi apabila menjelang bulan Ramadhan.

“Itulah kau, tak nak buat persiapan awal, sekarang kalut nak cari photographer saat-saat akhir macam ni. Nak kahwin tapi macam tak nak kahwin,” balas Amar.

“Aku mana tahu nak jadi macam ni, aku ingat si Mus tu boleh pakai. Tengok-tengok dia ambil job lain pula. Aku dah booking tarikh tu, dia yang patut reserve untuk aku. Tolonglah Amar, lagi dua hari saja aku nak kahwin ni,” kata Qassim lagi. Amar hanya memandang kosong ke arah luar, melihat deretan kenderaan yang tak henti-henti menjalar di atas jalan berhadapan dengan studionya. Semuanya berlumba-lumba untuk pulang ke pejabat semula setelah waktu rehat tamat pada tengahari itu. Cuma Amar sahaja yang tidak mempunyai waktu rehat tertentu kerana bekerja sendiri.

“Kau pun satu, nak yang murah saja, itu yang jadi macam ni. Jangan ingat nak senang saja. Orang lain pun nak makan juga. Macam ni, kalau kau nak aku aturkan fotografi untuk perkahwinan kau, aku boleh tolong. Aku boleh bagi pakej terbaik untuk kau, ada photographer, kita buat indoor, kita buat outdoor, ada gambar ada video, harga sama macam biasa tak ada diskaun. Tapi aku boleh bagi satu sesi dalam studio, percuma untuk kau dengan isteri kau nanti. Macam mana?” Amar memberi kata putus. Dia bukan mahu berkira, tapi perniagaan ini tidak mengenal kawan atau lawan. Untung kena ada. Kalau tidak bila nak kaya.

Qassim memandang Amar. Senyap beberapa jurus. Dipicit-picitnya telefon bimbitnya itu walaupun tiada mesej atau panggilan yang masuk. Qassim menghela nafas panjang dan membetulkan duduknya.

“Oklah. Aku pun bukan ada pilihan sangat sekarang ni kan. Ikutlah,” jawab Qassim.

“Ha macam ni baru senang, jangan banyak tawar sangat, sebab tu Mus tu lari,” tersengih-sengih Amar melihat gelagat Qassim. Berjaya juga dia mempertahankan harganya setelah beberapa lama dipujuk oleh Qassim untuk memberikan potongan harga kepadanya.

“Iyalah Amar, nantilah aku bagi details perkahwinan aku pada kau. Sekarang waktu lunch aku sudah nak habis, aku nak gerak ke pejabat semula ni.” Qassim bingkas bangun daripada kerusi empuk tersebut.

“Kau ada nombor aku kan?” soal Qassim sambil memandang ke arah Amar.

“Kau tukar nombor ke?” balas Amar.

“Taklah, saja tanya. Oklah.” ujar Qassim lantas berjalan keluar daripada studio milik Amar. Amar hanya melihat dari ekor matanya sehingga kelibat Qassim hilang daripada pandangan matanya. Kalau nak dikira kawan saja, sampai bila aku tak boleh meniaga. Ingat aku robot? Aku pun nak kaya macam kau juga.

Amar menjangkau telefon bimbitnya yang berada di atas meja lantas menekan-nekan sesuatu. Dilihatnya wallpaper telefon bimbitnya yang tertera gambar buah hatinya, Balqis. Teman yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut dulu. Selama tiga bulan Amar cuba mendekati Balqis sebelum hubungan mereka mula mesra. Kini Balqis yang putih melepak itu sudah bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Kebangsaan. Amar merenung kosong gambar tersebut dan melepaskan nafas yang dalam. Fikirannya menerawang ke suatu masa di mana dia berlawan mulut dengan Balqis beberapa jam sebelumnya semasa mereka bertemu awal pagi tadi.

“Awak nak tunggu apa lagi? Kita ni makin tua, bukan makin muda tau tak?” tegas Balqis. Langsung tidak dipandangnya muka Amar itu. Amar pula hanya memandang ke laut lepas yang terbentang di hadapannya. Pantai Tanjung Bidara pada pagi itu langsung tidak tergugat kedamaiannya dek pertengkaran pasangan bercinta itu.

“Awak ingat kahwin ni perkara mudah ke Qis? Saya ni nak kena cari duit, nak kena urus itu ini, saya sudah banyak kali terima job ambil gambar orang kahwin, saya tahu macam mana susahnya. Awak perempuan, mana awak tahu,” balas Amar sambil melihat anak-anak ombak yang menghempas pantai itu. Damai tetapi tidak cukup untuk mendamaikan hati mereka berdua.

“Saya nak bantu, awak tak nak. Bukan saya tak ada duit. Saya pun ada kerja sendiri. Awak sendiri pun bukan tak mampu, sudah ada studio sendiri. Atau awak yang dalam diam sudah ada yang lain? Saya nak ajak kahwin, bukan ajak berperang,” Balqis menjawab. Mulutnya mencebik.

Amar senyap. Dia seboleh-bolehnya mahu membiarkan sahaja Balqis membebel seorang diri namun adakalanya tuduhan-tuduhan liar seperti ‘sudah ada yang lain’ itu sangat menyakitkan hatinya. Kalau berdiam sahaja nanti dikatakan betul pula tuduhannya itu. Amar bukan tidak mahu menerima bantuan Balqis, namun padanya biarlah dia yang menanggung kesemuanya. Majlis yang grand perlukan dana yang grand juga. Tetapi menggunakan duit perempuan bukanlah cara yang digemarinya. Ego lelaki. Lagi pun dia cuma kekurangan beberapa ribu sahaja lagi. Tahun depan sudah bolehlah nak kahwin, buat apa nak tergesa-gesa.

“Sudahlah. Saya nak balik,” ujar Balqis.

Balqis memasuki kereta merah miliknya dan memecut pergi.

Friday, October 29, 2010

Kerana Cinta Gaza - Satu

BAB 1

Derap langkahnya terhenti. Tunduk dan membongkok di sebalik runtuhan dinding batu sebuah rumah yang telah hancur dibedil bertubi-tubi. Amar mengangkat tangan dan mengoyang-goyangkannya separa di udara. Anak-anak mata Khalid, Samir dan Usman mengekori gerak tangan Amar ke depan dan ke belakang.

Lantas Khalid bergerak bak lipas kudung sambil menggenggam erat sepucuk senapang kesayangannya ke arah Amar yang sudah sedia mengintai-ngintai di celah-celah runtuhan batu tersebut. Samir dan Usman pun mengekori sama. Pergerakan mereka senyap dan tangkas, tiada bunyi yang kedengaran, tiada kesilapan yang mampu dilakukan. Saat genting sebegini bakal menentukan kejayaan misi mereka kelak. Setiap langkah adalah bermakna buat mereka.

Amar berpusing dan bersandar pada runtuhan dinding batu tersebut. Dia memandang tepat ke mata Khalid, Samir dan Usman silih berganti. Hembusan nafasnya laju akibat pergerakan pantas dan terhenti-henti yang dilakukan untuk mengelakkan mereka daripada dikesan musuh. Amar mengangkat dua jarinya dan menunjukkan ke kanan, kemudian mengangkat tiga jarinya dan menunjukkan ke kiri pula. Khalid, Samir dan Usman mengangguk. Masing-masing berpandangan dan mereka mengangguk sekali lagi. Semua mengerti apa yang perlu dilakukan. Semuanya sudah dirancang dan disimulasikan acap kali sebelum mereka memulakan misi.

Amar menggapai sebiji serpihan bata di hujung kakinya. Digenggam-genggam bata tersebut sambil dia mengintai-ngintai ke sebelah kanan. Khalid dan Samir bergerak perlahan-lahan ke arah kiri Amar dan menunggu isyarat seterusnya. Amar dan Usman pula bertinggung ke arah kanan, bersedia untuk melakukan serangan.

Saat yang dinanti telah tiba. Tatkala ketiga-tiga orang tentera Zionis tersebut berpaling ke arah bertentangan, Amar lantas bingkas dan melontarkan serpihan bata tersebut ke arah mereka lantas mengenai sebuah bangkai kereta yang sudah hangus terbakar. Amar dengan secepat kilat menunduk kembali dan mengenyitkan mata ke arah Khalid dan Samir.

Tangggg! Ketiga-tiga tentera di sebelah kiri tersebut segera menoleh ke belakang. Mata mereka tercari-cari sumber bunyi tersebut, sejurus kemudian kedengaran suara-suara mereka saling bersahutan. Tentera-tentera Zionis berdua yang berada di sebelah kanan turut dikejutkan dengan bunyi tersebut. Dua orang tentera Zionis tersebut pun lantas bergerak ke arah kereta itu sambil mengacukan senapang mereka ke arahnya. Kesempatan ini diambil oleh Khalid dan Samir untuk menyusup ke sebelah kiri dan bersembunyi di sebalik dinding yang satu lagi. Kali ini mereka benar-benar berada di belakang kedudukan tentera Zionis bertiga itu.

Amar menjengah lagi. Dilihatnya tentera-tentera Zionis tersebut sedang memerhatikan rakan mereka yang sedang memeriksa bangkai kereta itu. Daripada situ Amar mampu melihat Khalid dan Samir yang sudah bersiap sedia di sebelah hujung kiri sana. Mereka yang akan mengorak langkah pertama. Dia dan Usman pula akan melangsaikan baki tentera itu daripada sini. Kini kelima-lima tentera Zionis itu sudah berkumpul di sebelah kiri, betul-betul di hadapan tempat persembunyian Khalid dan Samir. Tentera-tentera laknat itu akan dirobek oleh peluru-peluruku, getus hatinya. Genggamannya pada raifal itu makin kuat. Matanya membidik di antara timbunan batu tersebut. Mulutnya terkumat-kamit tidak berbunyi. Ya Allah, bantulah hamba-hamba-Mu ini!

Sunday, June 27, 2010

Sepintas 2

A: Tak guna Israel, sanggup menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza!
B: Aah, kat perairan antarabangsa pula tu!
A: Memang nak kena Yahudi laknat tu semua. Takpe, ini permulaan baru untuk menunjukkan penentangan kita terhadap Israel ni.
B: Aah, tak lama lagi kapal bantuan kemanusiaan Iran pula akan berlayar. Pasti ada saja yang akan dilakukan oleh negara Yahudi tu!
A: Hm, semoga mereka terselamat dalam perjuangan mereka untuk membantu rakyat Palestin nanti.
B: Em, iyalah.
A: Ya.
B: ...
A: ...
B: Eh, malam tadi England seri dengan Algeria!
A: Aah, tension betul aku! Dengan Algeria pun boleh seri! Negara kecil je tu!

Sementara itu di Afrika Selatan, seorang penyokong Algeria sedang ditemuramah.
Tv: Jadi bagaimana dengan prestasi pasukan bola sepak negara anda?
C: Alhamdulillah, walaupun kami pasukan kecil, tapi bermain mati-matian dan berusaha bersungguh-sungguh. Insya-ALLAH kami akan berjaya. Lepas ini kami akan menentang pasukan Amerika Syarikat pula, pasti akan jadi perlawanan yang sengit dan menarik, walaupun dengan status underdog kami akan berusaha insya-ALLAH.

Sunday, January 3, 2010

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Akhir


Ummi makin sebak. Tertahan-tahan esakannya sambil mengelap air matanya yang tidak berpenghujung. Abdul Karim hanya melihat abangnya di kaki Ummi sambil menangis bersama. Walau tidak mengerti, namun kesedihan Ummi dan Ali menyelebungi segenap ruang anggotanya.

“Seandainya pemergian Ali ini adalah yang kali terakhirnya, andai kepulangan Ali tidak kunjung tiba, maka Ummi halalkanlah segala pengorbanan Ummi sejak kecilnya Ali sehingga Ali besar sebegini. Ya Ummi? Ummi dengar tak? Ummi dengar kan,” Ali bersuara sambil mengesat-ngesat air matanya yang membasahi kaki ibunya.

Umminya hanya mampu mengangguk-angguk perlahan sambil mengumam, tiada suara yang mampu keluara daripada mulutnya. Dan sejak hari itu Abdul Karim tidak pernah melihat abangya pulang ke rumah sehingga sekarang dia sudah berusia 10 tahun. Itulah kali terakhirnya mereka bersama dalam pagi yang penuh tangisan.

Tanpa disedari Abdul Karim serta Hadi sudah semakin merapati bangunan satu tingkat sepanjang 15 meter yang dinamakan sekolah. Bangunan using itu merupakan satu bangunan bekas pejabat Lembaga Daerah kawasan itu yang ditinggalkan pada tahun 1998. Kemudian dijadikan sebagai sekolah sementara oleh kerajaan Palestin melalui Lembaga Daerah untuk memenuhi tuntutan pendidikan yang acapkali tertangguh. Di situlah ditempatkan seramai 54 orang murid-murid lelaki dan perempuan dari peringkat umur 8 hingga 13 tahun untuk belajar bersama-sama beberapa orang guru yang taat dan ikhlas mengajar.

“Hadi, pukul berapa sekarang?”
“Kenapa Karim?” soal Hadi semula.
“Eh, aku tanya dia tanya balik.” Abdul Karim merenung Hadi.
“Janganlah marah, Abdul Karim. Em, sekarang baru sahaja pukul 8.15 pagi. Terlewat sikit sahaja, janganlah risau. Cikgu Salma takkan marah,” ujar Hadi sambil mengerling jam besar di tangan kecilnya. Jam besi besar yang diberikan oleh arwah datuknya.

“Hari ini sekolah kan?”
“Mestilah. Kalau tidak, aku takkan tergesa-gesa pagi tadi.”
“Tapi mengapa senyap sahaja sekolah kita?”

Hadi pun memandang ke sekolah yang terletak hanya 10 meter daripada mereka. Langkah mereka agak perlahan kali ini. Memang benar. Sekolah itu agak sunyi. Tiada hiruk-pikuk suara kawan-kawan mereka berebut-rebut hendak menjawab soalan. Tiada suara Cikgu Salma memarahi murid-murid atau suara Cikgu Shukur yang lantang itu bercerita di hadapan kelas.

Abdul Karim sangat pasti hari ini merupakan hari persekolahan. Tiada cuti umum atau pun perintah darurat yang dikeluarkan dalam masa terdekat yang menyebabkan persekolahan pada hari itu dibatalkan.

Abdul Karim dan Hadi pun berpandangan sesama sendiri. Mereka kemudian mempercepatkan langkah menuju ke bangunan sekolah yang telah tertanggal catnya itu. Setelah mampir, mereka mendapati bahawa pintu hadapan sekolah itu yang berwarna biru cair tertutup namun tidaklah berkunci.Tiada satu bunyi pun yang kedengaran daripada dalam sekolah tersebut. Abdul Karim pun perlahan-lahan menolak daun pintu tersebut sambil melangkahkan kakinya ke dalam.

Bamm! Abdul Karim tercampak ke dinding kiri. Kepalanya seperti dihenyak dengan sesuatu yang keras. Dia jatuh terjelepuk di lantai sekolah yang tidak beralas itu. Sakitnya badan kecil itu tidak terperi. Terasa hangat di dahi serta di bibirnya. Air matanya berjuraian jatuh namun tiada esak yang mampu keluar lagi. Tiada kelibat Hadi kelihatan di matanya yang berpinar-pinar. Dia cuba mengelip-ngelipkan mata namun ada cecair merah yang hangat dan likat yang mengalir dari ubun-ubun masuk ke mata kirinya. Bibirnya terketar-ketar tanpa sebarang kata. Kemudian terasa kakinya dipijak oleh satu sepatu yang keras, seperti mahu melumatkan betisnya yang kurus. Terasa jolokan sebatang besi hangat yang besar dan berbau terbakar di pipinya diikuti dengan bunyi besi ditarik-klik! Sejurus matanya menangkap pemandangan yang menakutkan. Cikgu Salma sedang menangis, tudungnya terbuka, mulutnya disumbat, pergelangan tangannya diikat dan dia sedang berlutut sambil kepalanya diacukan muncung raifal yang berkilat oleh seorang lelaki berpakaian tentera. Di lengan lelaki itu terdapat lilitan kain putih yang tertera bintang segi enam berwarna biru. Abdul Karim kenal benar tanda itu. Syaitan!

Monday, November 23, 2009

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Tiga


“Mengapa Ali? Tidak semua orang pergi kan. Lihat si Kamil anak mak cik Saadi. Dia duduk elok di rumah sahaja,” ujar Ummi lagi. Dia juga enggan melihat anaknya membahayakan diri untuk suatu penghujung yang pasti.

“Kamil itu pengecut, Ummi. Saya tidak. Saya tidak takut. Saya berani, Ummi. Saya anak Ibrahim yang tidak takut dengan musuh agama. Saya tidak takut. Ini Ali, anak Ummi takkan duduk berdiam diri sahaja. Berpeluk tubuh. Ummi patut bangga dengan saya. Saya sanggup pertaruhkan nyawa demi kebebasan, keselamatan kita. Demi agama, Ummi. Walau saya terkorban, insya-Allah syahid ganjaran saya, Ummi. Ummi, Ummi lebih mengetahui semua ini kan.”

Ali memandang ke luar tingkap. Dia tidak sanggup melihat air muka ibunya yang mulia itu bersedih, ibu yang telah membesarkannya selama 17 tahun ini.

Abdul Karim hanya mampu melihat di sebalik muka pintu biliknya. Digosok-gosok matanya sambil menggigit jari telunjuk kanannya. Senyap. Dia tidak mampu untu menafsir kejadian yang dia lihat di hadapan matanya itu. Dia masih kecil. Baru seusia tiga tahun yang serba mentah.

Selepas peristiwa umminya teresak-esak pada pagi itu, Abdul Karim melihat pula abangnya bersolat di dalam bilik sambil diintai sekali-sekala oleh Ummi. Ummi masih bergenang air mata dan matanya semakin merah dan membengkak. Ummi datang merapati Abdul Karim lantas memautnya ke dada. Diusap-usap rambut Abdul Karim. Abdul Karim hanya mendiamkan diri, mengikut rentak Ummi. Tapi Abdul Karim juga dapat rasakan getaran sendu dan syahdu dari ibunya menusuk ke jiwanya.

Seusai memberi salam terakhir dalam solatnya, Abdul Karim melihat abangnya sujud semula untuk satu jangka masa yang lama. Sujud yang betul-betul lama. Suasana bening kosong tanpa pergerakan kecuali kumat-kamit kecil sesekali daripada bibirnya abangnya yang merah. Dapat dilihat setitis dua air mata yang suci itu menitik di atas sejadah pusaka keluarganya. Pandangan yang menikam ketenangan Ummi, lantas meluahkan esakan kembali yang tidak tertahan. Abdul Karim yang pada ketika itu tidak mengetahui butir bicara bagai disuruh turut menangis bersama lalu merangkul erat pinggang Ummi.

Abang Abdul Karim bingkas bangun dari sujudnya. Segera berlari anak menuju Ummi. Segera digapai kaki Ummi. Segera dicium dan dikucupnya kaki mulia itu.

“Ampunkan saya Ummi. Maafkan segala kesalahan Ali selama ini. Doakan kejayaan kita bersama, demi negara, maruah dan agama kita Ummi. Ali tidak pernah berniat nak melukakan hati Ummi. Tidak pernah terlintas pun walau sedetik Ummiku tercinta, akan niat untuk melukaimu. Ali berserah segalanya kepada Allah.”

Klik sini untuk bahagian satu dan dua.

Wednesday, November 18, 2009

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Dua

“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

“Hal abangku. Kau tahu sahajalah yang ibuku tidak menyukai abangku turut serta dalam gerakan menentang Israel itu. Pagi ini sepatutnya dia menyertai kumpulannya ke bandar. Entah ke mana, pejabat apa entah aku pun tak ingat,” jelas Hadi kapada kawannya itu.

Sambil berjalan pantas, kelihatan Abdul Karim mengangguk-angguk kecil. Mengerti. Abangnya juga yang berusia 17 tahun telah menyertai gerakan itu. Begitu juga dengan abang Ahmad, abang Ismail serta abang Solih. Namun abangnya telah menemui ajal di hujung senjata yang dihunus oleh askar durjana Israel. Dan abang-abang yang lain tidak pulang langsung ke rumah. Tiada khabar berita menjenguk tiba.

“Lantas, adakah ibumu membenarkannya pergi?” soal Abdul Karim.

“Tidak. Mana mungkin,” Hadi membalas.

“Jadi?”

“Jadi apa?”

“Jadi dia tidak pergi?”

“Pergi juga.” Abdul Karim hanya mampu mendengus. Mereka meneruskan langkah beriringan tanpa ada sebarang bicara lagi. Hanya derap langkah mereka di atas tanah kuning berdebu yang kedengaran.

Abdul Karim berjalan pantas sambil kepalanya menunduk ke tanah. Melihat kakinya melangkah deras, bergilir kanan dan kiri. Menyepak debu melekat ke celah jari yang beralas selipar lusuh. Kotak fikirannya melayang. Jauh ke dalam destinasi masa sewaktu kecilnya. Masih terakam segar dalam mindanya bagaimana pada suatu pagi yang dingin itu, Umminya teresak-esak. Esakan Umminya mengejutkannya daripada tidur yang lena. Kelihatan Ummi mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju merahnya.

“Usahlah engkau pergi wahai Ali. Bahaya,” bujuk Ummi sambil memandang sayu kepada abangnya. Abangnya hanya mendiamkan diri seribu bahasa memerhatikan lantai rumah yang kosong tanpa lapik permaidani. Entah menerawang ke mana.

“Dengar tak Ali? Ummi cakap ni,” Ummi bersuara lagi. Berselang sendu.

“Ummi. Ummi lebih mengetahui akan tujuan Ali. Ummi kenal Ali kan,” Ali seboleh-boleh enggan menyakitkan hati ibunya. Dia mengerti perasaan ibunya tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk turut serta dalam gerakan menentang rejim zionis itu. Manusia-manusia keparat lagi durjana itulah yang telah meragut nyawa bapanya dua tahun yang lampau. Masih dia tidak dapat lupakan peristiwa berdarah yang meragut nyawa 13 orang awam termasuk bapanya yang berlaku di pasar sewaktu dia dan bapanya menjaja buah-buahan.

Klik sini untuk bahagian satu.

Thursday, November 12, 2009

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Satu


Abdul Karim mendongak ke langit. Langit cerah kebiruan yang kekontangan awan. Cuma ada secebis dua gumpalan awan kecil yang berarak ke utara ditiup angin bulan Zulhijjah. Hawa lembut menerpa mukanya dan rambutnya menampar-nampar dahi yang kecil itu. Dia menoleh ke kiri dan mengharapkan kemunculan sesusuk tubuh yang dikenalinya kerana dia sudah duduk termanggu di bawah pokok itu selama sepuluh minit dan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Dia tentu tidak mahu melihat wajah Cikgu Salma yang manis itu menjadi masam kerana marah, namun dia masih menanti kedatangan Hadi yang akan lalu di hadapan pokok tempat dia duduk sekarang lantas berjalan ke sekolah bersama-samanya pada pagi itu seperti biasa.

Sakit perut agaknya si Hadi itu, getus hati kecilnya. Itulah, sudahku pesan jangan mencuba-cuba makan buah yang dijumpainya semalam sewaktu berjalan pulang dari sekolah beriringan. Degil sungguh si Hadi itu. Nanti kita semua juga yang terlewat ke sekolah pada pagi ini, rungut suara kecil Abdul Karim. Sekali lagi dia mendongak langit. Segugus awan berat perlahan-lahan merangkak bagai dipaksa oleh bayu kering yang dahagakan hujan sepetang. Mungkin akan hujan tengahari kelak, bisik Abdul Karim keseorangan. Bagus juga, sudah lama bumi Palestin ini tidak dibasuhi daripada darah-darah penduduknya yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Lantas Abdul Karim mendengus sejurus, seraya bola matanya menangkap imej sesusuk jasad sedang berlari-lari anak ke arahnya. Dikilik bersamanya dua tiga buah buku sambil berlari lantas akhirnya jasad anak kecil itu tiba di hujung kaki Abdul Karim.

“Engkau ke mana Hadi? Mengapa engkau lewat? Nanti Cikgu Salma marah tahu,” Abdul Karim menyambut Hadi dengan rungutan yang terpendam.

Hadi tercungap-cungap mencari nafas. Dia menbongkok seperti orang rukuk lagaknya sambil memandang ke arah Abdul Karim. Sedikit peluh kelihatan di garisan dahinya yang putih lagi luas itu. Sebutir tahi lalat menghiasi di sempadan dahi serta rambutnya memaniskan lagi wajah anak kecil seusia 10 tahun tersebut.

“Maaflah Abdul Karim, maaflah. Janganlah marah. Aku ada sedikit hal di rumah tadi,” ujar Hadi yang mula menemui rentak nafas. Lantas dia betuli pegangan buku-bukunya itu dan berdiri tegak menghadap Abdul Karim. Abdul Karim pun ikut berdiri dan menepuk-nepuk punggungnya membuang habuk yang terlekat pada seluarnya itu.

“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

Gambar tiada kaitan dengan mana-mana penerbitan dan hanyalah imaginasi penulis menggunakan stok gambar pihak ketiga.