Friday, October 29, 2010

Kerana Cinta Gaza - Satu

BAB 1

Derap langkahnya terhenti. Tunduk dan membongkok di sebalik runtuhan dinding batu sebuah rumah yang telah hancur dibedil bertubi-tubi. Amar mengangkat tangan dan mengoyang-goyangkannya separa di udara. Anak-anak mata Khalid, Samir dan Usman mengekori gerak tangan Amar ke depan dan ke belakang.

Lantas Khalid bergerak bak lipas kudung sambil menggenggam erat sepucuk senapang kesayangannya ke arah Amar yang sudah sedia mengintai-ngintai di celah-celah runtuhan batu tersebut. Samir dan Usman pun mengekori sama. Pergerakan mereka senyap dan tangkas, tiada bunyi yang kedengaran, tiada kesilapan yang mampu dilakukan. Saat genting sebegini bakal menentukan kejayaan misi mereka kelak. Setiap langkah adalah bermakna buat mereka.

Amar berpusing dan bersandar pada runtuhan dinding batu tersebut. Dia memandang tepat ke mata Khalid, Samir dan Usman silih berganti. Hembusan nafasnya laju akibat pergerakan pantas dan terhenti-henti yang dilakukan untuk mengelakkan mereka daripada dikesan musuh. Amar mengangkat dua jarinya dan menunjukkan ke kanan, kemudian mengangkat tiga jarinya dan menunjukkan ke kiri pula. Khalid, Samir dan Usman mengangguk. Masing-masing berpandangan dan mereka mengangguk sekali lagi. Semua mengerti apa yang perlu dilakukan. Semuanya sudah dirancang dan disimulasikan acap kali sebelum mereka memulakan misi.

Amar menggapai sebiji serpihan bata di hujung kakinya. Digenggam-genggam bata tersebut sambil dia mengintai-ngintai ke sebelah kanan. Khalid dan Samir bergerak perlahan-lahan ke arah kiri Amar dan menunggu isyarat seterusnya. Amar dan Usman pula bertinggung ke arah kanan, bersedia untuk melakukan serangan.

Saat yang dinanti telah tiba. Tatkala ketiga-tiga orang tentera Zionis tersebut berpaling ke arah bertentangan, Amar lantas bingkas dan melontarkan serpihan bata tersebut ke arah mereka lantas mengenai sebuah bangkai kereta yang sudah hangus terbakar. Amar dengan secepat kilat menunduk kembali dan mengenyitkan mata ke arah Khalid dan Samir.

Tangggg! Ketiga-tiga tentera di sebelah kiri tersebut segera menoleh ke belakang. Mata mereka tercari-cari sumber bunyi tersebut, sejurus kemudian kedengaran suara-suara mereka saling bersahutan. Tentera-tentera Zionis berdua yang berada di sebelah kanan turut dikejutkan dengan bunyi tersebut. Dua orang tentera Zionis tersebut pun lantas bergerak ke arah kereta itu sambil mengacukan senapang mereka ke arahnya. Kesempatan ini diambil oleh Khalid dan Samir untuk menyusup ke sebelah kiri dan bersembunyi di sebalik dinding yang satu lagi. Kali ini mereka benar-benar berada di belakang kedudukan tentera Zionis bertiga itu.

Amar menjengah lagi. Dilihatnya tentera-tentera Zionis tersebut sedang memerhatikan rakan mereka yang sedang memeriksa bangkai kereta itu. Daripada situ Amar mampu melihat Khalid dan Samir yang sudah bersiap sedia di sebelah hujung kiri sana. Mereka yang akan mengorak langkah pertama. Dia dan Usman pula akan melangsaikan baki tentera itu daripada sini. Kini kelima-lima tentera Zionis itu sudah berkumpul di sebelah kiri, betul-betul di hadapan tempat persembunyian Khalid dan Samir. Tentera-tentera laknat itu akan dirobek oleh peluru-peluruku, getus hatinya. Genggamannya pada raifal itu makin kuat. Matanya membidik di antara timbunan batu tersebut. Mulutnya terkumat-kamit tidak berbunyi. Ya Allah, bantulah hamba-hamba-Mu ini!

9 comments:

Lan Bingka said...

itulah azam mereka dari kecil.. membunuh zionis

...cintajihad... said...

janji Allah pasti akan tiba
masa akan menentukan :)
doa kan buat mereka, semoga kuat dan tabah

faizura rahman said...

Allah sentiasa bersama mereka :)

cik ciput said...

penulisan yang cantik..keep on writing =))

izuan said...

insha Allah, sepatutnya menjadi azam kita juga untuk membantu saudara seagama kita yang setindas bukan? Allah SWT bersama kita semua, cuma kita yang seringkali melupakan-Nya. insha Allah ini bab pertama daripada beberapa bab yang sudah saya tulis. terima kasih ya.

abid_PM said...

ingin jadi Amar :)

Allah Selamatkan Palestin!

dya adriza said...

Cepat sambung! Seronok3!!

Gimi said...

tertanya2, mana Umar da g?

izuan said...

@Gimi: Tahniah Gimi! Anda mempunyai kemahiran pengamatan yang hebat. =)
Terdapat kesalahan menaip, sepatutnya Amar di situ. Terima kasih ya.