Showing posts with label sajak. Show all posts
Showing posts with label sajak. Show all posts

Monday, February 28, 2022

Pengumuman.







Perhatian!

Buat pengunjung-pengunjung pasar dunia

Yang sedang sibuk memilih kehendak hati

Yang sedang sibuk menawar itu dan ini

Yang sedang sibuk menjamu mata 

Yang sedang sibuk mengumpul harta

Pengumuman ini untuk anda!


Perhatian tuan-tuan!

Di sebelah sana seorang anak kecil

Merayau-rayau mencari-cari ibunya

Menjerit kelaparan namun kalimahnya tenggelam

Dek riuhnya suara tuan-tuan.


Di belakang sini seorang tua

Menadah tangan meminta belas

Menggigil sejuk tidur tak beralas

Rumahnya terbakar keluarganya mati semua

Dibakar oleh jirannya sendiri

Jirannya yang tuan-tuan pergi membeli.


Perhatian!

Perhatian tuan-tuan!

Pasar dunia akan ditutup sebentar lagi.

Sudah cukupkah bekalan dibeli?


Saturday, February 19, 2022

Teduh Entah Bila


Langit kelam itu semakin suram

Angin keras menerjah pintu hidup

Yang hanya dipegang oleh selak percaya.


Penghuni itu utuh berpaut pada tiang-tiang iman

Agar tak terlontar keluar dari pondok pengharapan

Dengan tegap menggenggam kepingan papan-papan azam yang bergetaran

Ditujahi ribut ujian.


Walau mentari selesa tak pernah muncul

Walau taufan peperangan dan petir benci melanggar 

Selagi takwa membaluti hati

Selagi tekad menopang jasmani

Selagi itu rumah ini berdiri.

Monday, June 10, 2013

Janji Semalam


Rona mawar tercalit namamu
Teratas dan semerbak mengundang jeling
Namun kau tetap tabah mengharung
Sekali melangkah pantang berpaling.
Datangkan apa saja!
Datangkanlah!
Penangan globalisasi
Desakan ekonomi
Cekikan insurgensi
Tuduhan anti emansipasi
Persaingan bioteknologi
Perlumbaan ke angkasa tinggi
Ancaman freemasonry
Ugutan illuminati
Watan ini mengundur tak pernah
Kerana janji semalam terpatri sudah.


Tuesday, December 11, 2012

Persembahan Kedua

Degup-degup cinta yang masih tersisa
Dipungut lemah ke lamanku yang biasa
Menyusun rasa menyulam semula
Moga diterima persembahan kedua.

Menitipkan bunga terungkai masa
Menutupi cela dan cacamerba
Supaya halwanya di pandangan mata
Walaupun nilainya seberapa cuma.

Namun bukan perhiasan 
yang Kau mahukan
Tapi seuntai keikhlasan balutan amalan
Meski ringkasnya menjadi taruhan
Manusia abdinya ikut kemampuan
Moga diterima dengan belas
Dan penuh kasihan.

Sunday, February 19, 2012

Kehadapan Isteriku

Ahlan wa sahlan ya zaujati.

Selamat datang ke duniaku
yang serba tak sempurna
penuh cacat sarat celanya.
Namun ku tak gusar
kerna itulah maksud
kehadiranmu
melengkapkan sebelah jiwaku
memenuhi setengah hidupku
menyempurnakan separuh
agamaku.

Saturday, September 10, 2011

Bangkit


Palitan lumpur ini sukar digugah;
oleh rintiknya hujan penyesalan
yang terkadang enggan membuahkan cinta;
dan enggan juga membugarkan taqwa.
Walau bergerombolan mendung berarak;
meski bertimpa-timpa air dari langit
berguguran untuk mencuci dan menyuci qalbi;
kotoran yang kuat berdegil itu
memeluk kemas tiada mahu melepas diri.

Oh kurniakanlah kekuatan dan kesabaran
Dalam menuju kebahagiaan yang abadi.

Saturday, August 13, 2011

Tulis Buat Diri (Ramadhan Reminder!)

Ketika si bulan menjengah membawa khabaran
satu Ramadhan datang mengkelek keberkatan
namun tetamu seterusnya yang kau pandang
si Syawal yang belum tentu dapat kau pegang.

Semasa seruan selawat dan mersiknya lagu furqan
berkumandang saban malam
kau sibuk meratah dan mengunyah
umpama esok tak akan jumpa lagi
melepaskan pula huluran keampunan
yang pasti sukar kau temukan.

Tarbiah Ramadhan singgahnya tak lama
pastikan hujungnya membawa gembira
menggengam ijazah tanda berjaya
mengurus nafsu mendidik jiwa
sebagai bekalan menghadap
sebelas bulan seterusnya.

Monday, June 6, 2011

Bintang-bintang Dari Anak


apabila habis bintang-bintang kau congak
jangan lupa pada tanah yang setia dipijak
apabila khatam planet-planet kau cerap
jangan lupa pada bumi yang lama kau inap

hidupmu bukan sendiri
ada jasa ada bakti yang harus kau beri
harta sedunia mungkin kau beli
kasih keluarga mana nak dicari?

(Sebaik-baik kebajikan adalah memberi kepada keluarga dahulu. Jangan mengejar pahala menderma itu ini tetapi keluarga sendiri tidak dipeduli. Untuk adik-adikmu yang masih bersekolah tu, hulurlah barang sedikit ya)

gambar di atas dirakamkan di desaru 2011

Wednesday, December 29, 2010

Ukiran Kasih Sahabat


Rona mawar yang menyelaputi jalinan perkasihan

Masih segar walau masanya telah berlalu pergi

Imbauan tawa tangismu bagaikan baru semalam terjadi.

Sakit perit yang kita tempuhi menjadi bukti

Kukuhnya tali persaudaraan ini

Berparut tidak namun terkesan di qalbi.

Jalan ilmu yang kita susuri bersama

Sudah tiba ke persimpangannya

Kau dan aku menurut pula denai berbeza

Menuju destinasi yang tidak serupa.

Walau jalan itu tidak bertabur bunga

Terkadang datang onak menduga

Namun kita cekal berpimpin tangan hingga ke akhirnya.

Kenangi ikrar setia bersama

Ukiran kisah kasih kita

Jangan terhakis pudar terbiar

Diratah usia yang pantas mengejar.

Tuesday, June 29, 2010

Bunga Hati



Dia bunga kelopak putih
Senyum melihat cahaya mentari
Penuh semangat, harapan dan wawasan
Moga esok tak lagi begini
Getus hati yang serba tak pasti.

Namun tersadung jua oleh masa
Lantaran rapuh dan lesunya
Azam yang timbul tenggelam
Diikat batu sekerasnya hati
Ditarik ke dasar tasik duniawi.

Tapi pengharapan itu pudar tak pernah
Untuk kembali mendongak
Menghadap mentari menyusur pelangi
Moga esok tak lagi begini
Moga esok tak lagi begini!

Monday, March 22, 2010

Inside A Rain



Fear no more
as the water goes
down the streets
and disappear for
your fear will do so.

Saturday, January 16, 2010

Tangan Tak Sampai


mendongak langit membilang mimpi...
mencongak bintang mendambakan bulan...
hendak disunting hati tak yakin...
hendak digapai tangan tak sampai...
mahu dicengkam takut terbungkam...
mahu dipaut takut diragut...
lantas kasih hanya terbiar membugar...
tatkala telinga hanya mampu mendengar...
juga jiwa hanya mampu meratap...
kerana gusar kalbu tersentap.

Kesilapan lampau guru terbaik buat diri.

Monday, January 4, 2010

Terbang III


sedih bukan ceria
pilu bukan gembira
lara bukan suka
tangis pula takkan sama
dengan senyum dan ketawa
namun berpaling sekali tidak
saat terbang bawah takkan dijejak kembali
pinta semangat, cinta dan janji
agar tidak kecewa lagi.

berusahalah!! daku mendambakan ketenangan dalam naungan cintaMu..

Sunday, December 13, 2009

Terbang Dua


datang pedih
tidak menyisih
datang gering
tidak disamping
kerana kata yang ditancap
kukuh mantap
mana mungkin dapat disentap.

dada membusung
dengan rasa syukur terkandung
ketemu sayap kekar
yang tidak pernah letih menebar
agar terapung kembali
setelah jatuh menyembah bumi.

Sunday, November 22, 2009

Terbang Satu


dongaklah ke langit
jangan takut
akan sengit
sebarkanlah sayapmu
kita terjah awan biru

bila awan biru jadi kelam
atau langit jadi malam
jangan khuatir
aku takkan pernah pinggir

aku tunjuk jalan kamu
tunjuk jalan aku
yakinlah
jangan pernah menyerah
kerana janji ku takkan mengalah

Wednesday, November 18, 2009

Cermin

akhlak yang baik
umpama kain bersih
yang mengesat
debu-debu dosa
pada tingkap diri
dan cermin hati
membenarkan kemasukan
cahaya dari
ILLAHI

Tuesday, November 10, 2009

Carut


terpancut kata hitam
meruntuhkan peribadi
tergamak kau menuturkan
kata yang kejam
yang sepatutnya
doa yang putih?