Showing posts with label penulisan kreatif. Show all posts
Showing posts with label penulisan kreatif. Show all posts

Monday, February 28, 2022

Pengumuman.







Perhatian!

Buat pengunjung-pengunjung pasar dunia

Yang sedang sibuk memilih kehendak hati

Yang sedang sibuk menawar itu dan ini

Yang sedang sibuk menjamu mata 

Yang sedang sibuk mengumpul harta

Pengumuman ini untuk anda!


Perhatian tuan-tuan!

Di sebelah sana seorang anak kecil

Merayau-rayau mencari-cari ibunya

Menjerit kelaparan namun kalimahnya tenggelam

Dek riuhnya suara tuan-tuan.


Di belakang sini seorang tua

Menadah tangan meminta belas

Menggigil sejuk tidur tak beralas

Rumahnya terbakar keluarganya mati semua

Dibakar oleh jirannya sendiri

Jirannya yang tuan-tuan pergi membeli.


Perhatian!

Perhatian tuan-tuan!

Pasar dunia akan ditutup sebentar lagi.

Sudah cukupkah bekalan dibeli?


Saturday, February 19, 2022

Teduh Entah Bila


Langit kelam itu semakin suram

Angin keras menerjah pintu hidup

Yang hanya dipegang oleh selak percaya.


Penghuni itu utuh berpaut pada tiang-tiang iman

Agar tak terlontar keluar dari pondok pengharapan

Dengan tegap menggenggam kepingan papan-papan azam yang bergetaran

Ditujahi ribut ujian.


Walau mentari selesa tak pernah muncul

Walau taufan peperangan dan petir benci melanggar 

Selagi takwa membaluti hati

Selagi tekad menopang jasmani

Selagi itu rumah ini berdiri.

Monday, November 28, 2011

Kerana Cinta Gaza

BAB 7

“Ada apa-apa soalan yang hendak diutarakan? Anyone?” soal Datuk Shukur sebaik sahaja menamatkan pembentangannya berkenaan misi kemanusiaan mereka yang ke sekian kalinya ke wilayah bergolak Palestin. Semua yang mendengar hanya mengangguk-angguk tanda faham. Hal ini kerana ini bukanlah kali pertama mereka sekumpulan menjejakkan kaki ke sana. Kumpulan Lembah Aman sudah beberapa kali pergi ke Palestin untuk menyalurkan bantuan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan kepada masyarakat Palestin yang tertindas.

Bahkan kumpulan mereka sudah berhasil membina sebuah hospital kecil di sana yang ditubuhkan dengan menggunakan dana mereka sendiri dan juga kutipan derma daripada masyarakat Malaysia yang prihatin. Hospital tersebut yang dibina untuk menggantikan hospital lama yang telah musnah dibom tentera laknat Yahudi, ditadbir sendiri oleh masyarakat Palestin yang berkelayakan. Kumpulan Lembah Aman hanya menyediakan kemudahan infrastruktur sahaja dan menyerahkannya kepada kerajaan Palestin untuk diuruskan. Tahun ini kedatangan mereka masih dengan tujuan yang sama, iaitu untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, di samping memantau pembinaan sebuah bangunan sekolah pula di sebuah daerah kecil di sana. Semua ini dilakukan atas dasar persaudaraan sesama Islam dan kemanusiaan.

“Boleh Datuk terangkan tujuan kita mengupah seorang jurufoto dalam misi kita kali ini?” soal seorang daripada ahli kumpulan sambil mengangkat tangan kanannya.

“Adakah kita mahukan publisiti dalam kerja-kerja amal kita sekarang?” soalnya lagi. Mendengarkan soalan tersebut, Datuk Shukur tersenyum.

“Baiklah, saya perkenalkan jurufoto yang dimaksudkan ialah Encik Amar,” kata Datuk Shukur sambil menunjuk ke arah Amar yang sedang leka duduk sambil bermain permainan sudoku di dalam telefon bimbitnya. Amar tersentak sedikit lantas tersenyum kambing sambil mengangkat tangannya separa.

“Motif kita bawa jurufoto ni, supaya dia boleh mendokumentasikan segala kerja kita dengan dua tujuan. Yang pertama, sebagai bukti penggunaan dana yang telah dikumpulkan selama ini untuk dibentangkan selepas misi ini nanti. Kalau orang tanya, mana pergi dana itu, apa bukti kita dah guna dengan betul, kita boleh tunjukkan. Ini dia. Dan yang kedua, kita boleh menggunakan dokumentasi tersebut sebagai penggalak untuk orang ramai, turut sama menyumbang untuk misi-misi yang akan datang. Itu niat kita. Bukan nak menunjuk-nunjuk apa, yang penting kita sendiri tu betulkan niat kita.

Lagi pula, ada pihak akhbar sebenarnya ingin menyelitkan jurufoto mereka bersama-sama dalam misi kita ni, namun tiada daripada jurufoto mereka yang sanggup nak ikut kita. Jadi mereka tanya kalau-kalau kita ada jurufoto sendiri, mereka nak bayar untuk gambar-gambar yang kita ada nanti. Penglibatan akhbar dalam misi kita ni mampu menarik penyumbang, bukan? Kira hal ni secara tak langsung selaras dengan tujuan kita yang kedua tadi. Jadi itulah sebabnya adanya Encik Amar ni dengan kita, dan bayaran daripada akhbar untuk gambar-gambar tu nanti, biarlah Encik Amar je yang ambil, sebab tu usaha dia,” terang Datuk Shukur dengan panjang lebar. Semua mengangguk-angguk lagi. Termasuklah Amar. Ayat terakhir yang diucapkan oleh Datuk Shukur sangat menggembirakan hatinya. Duit, duit dan duit. Amar tersengih-sengih sendirian. Dia kembali menatap telefon bimbitnya untuk menyambung permainan sudoku yang tertangguh tadi.

**************************************************************************************

Balqis menatap skrin telefon bimbitnya. Posisi baringnya bertukar-tukar. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Ditutup dan dibuka kunci telefon bimbit tersebut, seolah-olah sedang menanti panggilan seseorang.

“Tau pula kau rindu. Orang tu call kau tak nak angkat,” ujar Anis tanpa memandang temannya itu sambil menyelak-nyelak sebuah majalah di atas katilnya.

Balqis hanya menjeling dan mendengus sendirian. Memang betul kata Anis. Sudah hampir dua minggu mereka tidak berhubung. Tidak, bukan tidak berhubung tetapi dia yang enggan menjawab panggilan Amar. Sekarang rasakan sendiri penangan rindu setelah Amar berhenti untuk cuba menelefonnya atau menghantarkan pesanan SMS. Padan muka kau, Balqis. Hatinya memberontak tetapi entah mengapa masih enggan mengalah pula.

“Telefonlah Amar tu Balqis. Janganlah diikutkan hati kau tu sangat. Dia dah berapa lama call kau tak angkat. Kasihan dia tau,” Anis menambah lagi.

Kata-kata Anis menyayat-nyayat ego Balqis yang sudah hampir dua minggu bertapak kukuh, yang kian dilemahkan oleh rasa rindu yang mengigit-gigit jiwanya. Cuma terkadang dia berasa marah dengan Amar yang seakan melewatkan-lewatkan janjinya untuk mengambilnya sebagai seorang isteri yang sah di sisi agama. Namun Balqis sedar, kalau dia merajuk lama-lama, nanti Amar pula yang berkecil hati. Lihatlah sekarang, Amar sudah tidak cuba untuk menelefonnya lagi.

Balqis lantas bangun dan berjalan keluar bilik untuk menuju ke ruang tamu.

“Eh, nak ke mana pula tu? Takkan marah dengan aku kot?” soal Anis melihatkan pergerakan Balqis yang tiba-tiba.

“Nak telefon buah hatilah!”

Anis tersenyum.

*************************************************************************************

Amar membuka pintu bilik tetamu itu dengan longlai. Perlahan sahaja langkahnya. Lama betullah mereka ni bermesyuarat. Ingatkan bila tanya tadi tu dah nak habis dah. Lepas tu ada jamuan ringan pula. Makan makan makan. Amar mengeluh.

Amar menarik beg sandang yang dibawanya ke Johor petang tadi ke atas katil. Dia menyelongkar beg tersebut untuk mencari-cari sesuatu.

“Mana pula aku letak charger telefon ni. Tak bawa ke ni?” tangan Amar ligat mengeluarkan barang-barang yang berkecamuk di dalam beg itu, namun tiada langsung barang yang dikehendakinya.

Telefonnya mati semasa mereka sedang bermesyuarat tadi kerana dia sibuk bermain permainan sudoku di dalam telefon bimbitnya sehingga kehabisan bateri. Namun pengecasnya pula tertinggal di Melaka. Amar mendengus kecil dan mencampakkan telefonnya ke atas katil. Dia pun menghempaskan diri ke atas tilam tersebut dan memejamkan matanya. Terus sahaja Amar terlelap kerana kepenatan serta kekenyangan.

Tuesday, November 9, 2010

Kerana Cinta Gaza - Dua

BAB 2

“Jadi boleh tak kau tolong aku?” soal Qassim setelah melihat Amar diam seribu bahasa.

“Boleh tu boleh, Sim. Tapi nak tolong tu takkan sampai merugikan aku pula kan,” jawab Amar tanpa memandang ke arah Qassim. Diketuk-ketuknya jari ke atas pahanya sendiri. Dia sebolehnya tidak mahu melayan permintaan Qassim namun tidak sampai hati pula nak menolak sepenuhnya.

“Aku bayar, bukan aku tak bayar, Mar. Kau sajalah yang ada sekarang ni, aku nak hire yang jauh, mahal sangatlah nanti. Lagi pun kawan-kawan kan,” ujar Qassim lagi. Dia menggoyang-goyangkan kerusi empuk yang didudukinya. Qassim dan Amar merupakan rakan sekelas ketika di universiti dulu namun tidaklah serapat mana. Qassim ialah anak hartawan perumahan di Johor Bahru namun agak berkira dalam hal kewangan sehingga Amar pun merasa pelik dengan sikapnya. Qassim langsung tidak sama dengan sifat bapanya sendiri, Datuk Shukur yang terkenal dengan sifat pemurahnya itu. Saban tahun ada saja program kebajikan yang dilakukan oleh Datuk Shukur dan isterinya, apatah lagi apabila menjelang bulan Ramadhan.

“Itulah kau, tak nak buat persiapan awal, sekarang kalut nak cari photographer saat-saat akhir macam ni. Nak kahwin tapi macam tak nak kahwin,” balas Amar.

“Aku mana tahu nak jadi macam ni, aku ingat si Mus tu boleh pakai. Tengok-tengok dia ambil job lain pula. Aku dah booking tarikh tu, dia yang patut reserve untuk aku. Tolonglah Amar, lagi dua hari saja aku nak kahwin ni,” kata Qassim lagi. Amar hanya memandang kosong ke arah luar, melihat deretan kenderaan yang tak henti-henti menjalar di atas jalan berhadapan dengan studionya. Semuanya berlumba-lumba untuk pulang ke pejabat semula setelah waktu rehat tamat pada tengahari itu. Cuma Amar sahaja yang tidak mempunyai waktu rehat tertentu kerana bekerja sendiri.

“Kau pun satu, nak yang murah saja, itu yang jadi macam ni. Jangan ingat nak senang saja. Orang lain pun nak makan juga. Macam ni, kalau kau nak aku aturkan fotografi untuk perkahwinan kau, aku boleh tolong. Aku boleh bagi pakej terbaik untuk kau, ada photographer, kita buat indoor, kita buat outdoor, ada gambar ada video, harga sama macam biasa tak ada diskaun. Tapi aku boleh bagi satu sesi dalam studio, percuma untuk kau dengan isteri kau nanti. Macam mana?” Amar memberi kata putus. Dia bukan mahu berkira, tapi perniagaan ini tidak mengenal kawan atau lawan. Untung kena ada. Kalau tidak bila nak kaya.

Qassim memandang Amar. Senyap beberapa jurus. Dipicit-picitnya telefon bimbitnya itu walaupun tiada mesej atau panggilan yang masuk. Qassim menghela nafas panjang dan membetulkan duduknya.

“Oklah. Aku pun bukan ada pilihan sangat sekarang ni kan. Ikutlah,” jawab Qassim.

“Ha macam ni baru senang, jangan banyak tawar sangat, sebab tu Mus tu lari,” tersengih-sengih Amar melihat gelagat Qassim. Berjaya juga dia mempertahankan harganya setelah beberapa lama dipujuk oleh Qassim untuk memberikan potongan harga kepadanya.

“Iyalah Amar, nantilah aku bagi details perkahwinan aku pada kau. Sekarang waktu lunch aku sudah nak habis, aku nak gerak ke pejabat semula ni.” Qassim bingkas bangun daripada kerusi empuk tersebut.

“Kau ada nombor aku kan?” soal Qassim sambil memandang ke arah Amar.

“Kau tukar nombor ke?” balas Amar.

“Taklah, saja tanya. Oklah.” ujar Qassim lantas berjalan keluar daripada studio milik Amar. Amar hanya melihat dari ekor matanya sehingga kelibat Qassim hilang daripada pandangan matanya. Kalau nak dikira kawan saja, sampai bila aku tak boleh meniaga. Ingat aku robot? Aku pun nak kaya macam kau juga.

Amar menjangkau telefon bimbitnya yang berada di atas meja lantas menekan-nekan sesuatu. Dilihatnya wallpaper telefon bimbitnya yang tertera gambar buah hatinya, Balqis. Teman yang dikenalinya ketika sama-sama menuntut dulu. Selama tiga bulan Amar cuba mendekati Balqis sebelum hubungan mereka mula mesra. Kini Balqis yang putih melepak itu sudah bekerja sebagai seorang pegawai penyelidik di Agensi Nuklear Kebangsaan. Amar merenung kosong gambar tersebut dan melepaskan nafas yang dalam. Fikirannya menerawang ke suatu masa di mana dia berlawan mulut dengan Balqis beberapa jam sebelumnya semasa mereka bertemu awal pagi tadi.

“Awak nak tunggu apa lagi? Kita ni makin tua, bukan makin muda tau tak?” tegas Balqis. Langsung tidak dipandangnya muka Amar itu. Amar pula hanya memandang ke laut lepas yang terbentang di hadapannya. Pantai Tanjung Bidara pada pagi itu langsung tidak tergugat kedamaiannya dek pertengkaran pasangan bercinta itu.

“Awak ingat kahwin ni perkara mudah ke Qis? Saya ni nak kena cari duit, nak kena urus itu ini, saya sudah banyak kali terima job ambil gambar orang kahwin, saya tahu macam mana susahnya. Awak perempuan, mana awak tahu,” balas Amar sambil melihat anak-anak ombak yang menghempas pantai itu. Damai tetapi tidak cukup untuk mendamaikan hati mereka berdua.

“Saya nak bantu, awak tak nak. Bukan saya tak ada duit. Saya pun ada kerja sendiri. Awak sendiri pun bukan tak mampu, sudah ada studio sendiri. Atau awak yang dalam diam sudah ada yang lain? Saya nak ajak kahwin, bukan ajak berperang,” Balqis menjawab. Mulutnya mencebik.

Amar senyap. Dia seboleh-bolehnya mahu membiarkan sahaja Balqis membebel seorang diri namun adakalanya tuduhan-tuduhan liar seperti ‘sudah ada yang lain’ itu sangat menyakitkan hatinya. Kalau berdiam sahaja nanti dikatakan betul pula tuduhannya itu. Amar bukan tidak mahu menerima bantuan Balqis, namun padanya biarlah dia yang menanggung kesemuanya. Majlis yang grand perlukan dana yang grand juga. Tetapi menggunakan duit perempuan bukanlah cara yang digemarinya. Ego lelaki. Lagi pun dia cuma kekurangan beberapa ribu sahaja lagi. Tahun depan sudah bolehlah nak kahwin, buat apa nak tergesa-gesa.

“Sudahlah. Saya nak balik,” ujar Balqis.

Balqis memasuki kereta merah miliknya dan memecut pergi.

Friday, October 29, 2010

Kerana Cinta Gaza - Satu

BAB 1

Derap langkahnya terhenti. Tunduk dan membongkok di sebalik runtuhan dinding batu sebuah rumah yang telah hancur dibedil bertubi-tubi. Amar mengangkat tangan dan mengoyang-goyangkannya separa di udara. Anak-anak mata Khalid, Samir dan Usman mengekori gerak tangan Amar ke depan dan ke belakang.

Lantas Khalid bergerak bak lipas kudung sambil menggenggam erat sepucuk senapang kesayangannya ke arah Amar yang sudah sedia mengintai-ngintai di celah-celah runtuhan batu tersebut. Samir dan Usman pun mengekori sama. Pergerakan mereka senyap dan tangkas, tiada bunyi yang kedengaran, tiada kesilapan yang mampu dilakukan. Saat genting sebegini bakal menentukan kejayaan misi mereka kelak. Setiap langkah adalah bermakna buat mereka.

Amar berpusing dan bersandar pada runtuhan dinding batu tersebut. Dia memandang tepat ke mata Khalid, Samir dan Usman silih berganti. Hembusan nafasnya laju akibat pergerakan pantas dan terhenti-henti yang dilakukan untuk mengelakkan mereka daripada dikesan musuh. Amar mengangkat dua jarinya dan menunjukkan ke kanan, kemudian mengangkat tiga jarinya dan menunjukkan ke kiri pula. Khalid, Samir dan Usman mengangguk. Masing-masing berpandangan dan mereka mengangguk sekali lagi. Semua mengerti apa yang perlu dilakukan. Semuanya sudah dirancang dan disimulasikan acap kali sebelum mereka memulakan misi.

Amar menggapai sebiji serpihan bata di hujung kakinya. Digenggam-genggam bata tersebut sambil dia mengintai-ngintai ke sebelah kanan. Khalid dan Samir bergerak perlahan-lahan ke arah kiri Amar dan menunggu isyarat seterusnya. Amar dan Usman pula bertinggung ke arah kanan, bersedia untuk melakukan serangan.

Saat yang dinanti telah tiba. Tatkala ketiga-tiga orang tentera Zionis tersebut berpaling ke arah bertentangan, Amar lantas bingkas dan melontarkan serpihan bata tersebut ke arah mereka lantas mengenai sebuah bangkai kereta yang sudah hangus terbakar. Amar dengan secepat kilat menunduk kembali dan mengenyitkan mata ke arah Khalid dan Samir.

Tangggg! Ketiga-tiga tentera di sebelah kiri tersebut segera menoleh ke belakang. Mata mereka tercari-cari sumber bunyi tersebut, sejurus kemudian kedengaran suara-suara mereka saling bersahutan. Tentera-tentera Zionis berdua yang berada di sebelah kanan turut dikejutkan dengan bunyi tersebut. Dua orang tentera Zionis tersebut pun lantas bergerak ke arah kereta itu sambil mengacukan senapang mereka ke arahnya. Kesempatan ini diambil oleh Khalid dan Samir untuk menyusup ke sebelah kiri dan bersembunyi di sebalik dinding yang satu lagi. Kali ini mereka benar-benar berada di belakang kedudukan tentera Zionis bertiga itu.

Amar menjengah lagi. Dilihatnya tentera-tentera Zionis tersebut sedang memerhatikan rakan mereka yang sedang memeriksa bangkai kereta itu. Daripada situ Amar mampu melihat Khalid dan Samir yang sudah bersiap sedia di sebelah hujung kiri sana. Mereka yang akan mengorak langkah pertama. Dia dan Usman pula akan melangsaikan baki tentera itu daripada sini. Kini kelima-lima tentera Zionis itu sudah berkumpul di sebelah kiri, betul-betul di hadapan tempat persembunyian Khalid dan Samir. Tentera-tentera laknat itu akan dirobek oleh peluru-peluruku, getus hatinya. Genggamannya pada raifal itu makin kuat. Matanya membidik di antara timbunan batu tersebut. Mulutnya terkumat-kamit tidak berbunyi. Ya Allah, bantulah hamba-hamba-Mu ini!

Sunday, June 27, 2010

Sepintas 2

A: Tak guna Israel, sanggup menyerang kapal-kapal yang membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza!
B: Aah, kat perairan antarabangsa pula tu!
A: Memang nak kena Yahudi laknat tu semua. Takpe, ini permulaan baru untuk menunjukkan penentangan kita terhadap Israel ni.
B: Aah, tak lama lagi kapal bantuan kemanusiaan Iran pula akan berlayar. Pasti ada saja yang akan dilakukan oleh negara Yahudi tu!
A: Hm, semoga mereka terselamat dalam perjuangan mereka untuk membantu rakyat Palestin nanti.
B: Em, iyalah.
A: Ya.
B: ...
A: ...
B: Eh, malam tadi England seri dengan Algeria!
A: Aah, tension betul aku! Dengan Algeria pun boleh seri! Negara kecil je tu!

Sementara itu di Afrika Selatan, seorang penyokong Algeria sedang ditemuramah.
Tv: Jadi bagaimana dengan prestasi pasukan bola sepak negara anda?
C: Alhamdulillah, walaupun kami pasukan kecil, tapi bermain mati-matian dan berusaha bersungguh-sungguh. Insya-ALLAH kami akan berjaya. Lepas ini kami akan menentang pasukan Amerika Syarikat pula, pasti akan jadi perlawanan yang sengit dan menarik, walaupun dengan status underdog kami akan berusaha insya-ALLAH.

Saturday, January 9, 2010

Ternyata Rokok Tidak Membahayakan Kesihatan


Pada zaman dahulu kala, ada tiga orang doktor. Mereka selalu bersama kemana-mana saja mereka pergi. Tapi ketiga-tiganya memiliki kegemaran berlainan.

A. Dr Jon Sumawan (suka main perempuan)
B. Dr Jon Walker (suka minum minuman keras)
C. Dr Jon Kretek (suka segala jenis rokok)

Suatu hari ketiga sahabat ini berjalan-jalan tanpa tujuan. Tiba-tiba ketiganya bertemu dengan sebuah kendi atau lampu (seperti cerita Aladin). Lalu salah seorang mengambilnya lalu menggosok-gosokkan lampu tersebut. Sejurus kemudian asap keluar dari corong lampu tersebut dan secara perlahan berganti menjadi satu makluk yang menyeramkan iaitu sesusuk jin yang ganas dan menakutkan.

Lalu jin tersebut tertawa: 'Ha ha ha...' dan berkata 'Akulah Jin Ifrit! Karena kamu telah membebaskan aku dari lampu itu maka aku akan tunaikan apa saja permintaan kamu sekalian!'. Ketiga sahabat yang pada mulanya panik dan takut menjadi gembira lalu termenung dan berfikir tentang peluang dan kemahuan masing-masing yang mungkin hanya sekali mereka jumpai dalam hidup mereka. Lalu mereka memilih kemahuan mengikut kegemaran masing-masing.

Berkatalah si A,'Aku mahu perempuan-perempuan muda dari pelbagai bangsa di seluruh dunia dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun.'

Pufff ........!! Dengan sekejap mata jin menyempurnakan permintaan si A.

Berkata si B, 'Aku mahu semua jenis arak dari seluruh dunia untuk bekal selama sepuluh tahun dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun.'

Pufff .......... !! Dalam sekejap mata jin menyempurnakan permintaan si B.

Berkata pula si C,'Aku mahu semua jenis rokok dari seluruh dunia untuk bekal selama sepuluh tahun dan letakkan dalam sebuah gua tertutup dan jangan ganggu aku selama 10 tahun.'

Pufff ........... !! Dengan sekejap mata jin itu menyempurnakan permintaan si C.

Setelah genap 10 tahun, maka jin tersebut muncul kembali untuk membuka pintu gua masing-masing sebagaimana yang dijanjikan.

Maka jin tersebut pergi membuka pintu gua si A, ketika dibuka maka keluarlah si A dengan keadaan kurus kering, berdiri pun tidak mampu kerana tidak sanggup untuk menggerakkan lutut sebab hari-hari hanya memuaskan nafsu dengan perempuan.

Tiba-tiba si A pun jatuh ke tanah lalu mati!

Setelah itu jin tersebut pergi ke gua si B, ketika pintu dibuka maka keluarlah si B dengan perut yang sangat buncit karena hari-hari bermabuk-mabukan. Jalan pun terhuyung-huyung.

Tiba-tiba si B pun jatuh ke tanah lalu mati !

Setelah itu jin pergi ke gua si C dan membuka pintu gua. Tiba-tiba si C keluar dalam keadaan sihat walafiat dan terus MENAMPAR si jin sambil memaki si jin.

Dia berkata: JIN TAK GUNA! MANCISNYA MANA?!
*penulis hikayat taklah diketahui hingga kini.

Kesimpulannya: 'Rokok tidak akan berbahaya, selagi tidak ada mancisnya'
Kalau nak suruh orang berhenti merokok, mulakan dengan menyorokkan mancis/pemetik api sehingga mereka tak larat nak beli baru setiap kali nak merokok. :)

Wednesday, November 18, 2009

Cermin

akhlak yang baik
umpama kain bersih
yang mengesat
debu-debu dosa
pada tingkap diri
dan cermin hati
membenarkan kemasukan
cahaya dari
ILLAHI

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Dua

“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

“Hal abangku. Kau tahu sahajalah yang ibuku tidak menyukai abangku turut serta dalam gerakan menentang Israel itu. Pagi ini sepatutnya dia menyertai kumpulannya ke bandar. Entah ke mana, pejabat apa entah aku pun tak ingat,” jelas Hadi kapada kawannya itu.

Sambil berjalan pantas, kelihatan Abdul Karim mengangguk-angguk kecil. Mengerti. Abangnya juga yang berusia 17 tahun telah menyertai gerakan itu. Begitu juga dengan abang Ahmad, abang Ismail serta abang Solih. Namun abangnya telah menemui ajal di hujung senjata yang dihunus oleh askar durjana Israel. Dan abang-abang yang lain tidak pulang langsung ke rumah. Tiada khabar berita menjenguk tiba.

“Lantas, adakah ibumu membenarkannya pergi?” soal Abdul Karim.

“Tidak. Mana mungkin,” Hadi membalas.

“Jadi?”

“Jadi apa?”

“Jadi dia tidak pergi?”

“Pergi juga.” Abdul Karim hanya mampu mendengus. Mereka meneruskan langkah beriringan tanpa ada sebarang bicara lagi. Hanya derap langkah mereka di atas tanah kuning berdebu yang kedengaran.

Abdul Karim berjalan pantas sambil kepalanya menunduk ke tanah. Melihat kakinya melangkah deras, bergilir kanan dan kiri. Menyepak debu melekat ke celah jari yang beralas selipar lusuh. Kotak fikirannya melayang. Jauh ke dalam destinasi masa sewaktu kecilnya. Masih terakam segar dalam mindanya bagaimana pada suatu pagi yang dingin itu, Umminya teresak-esak. Esakan Umminya mengejutkannya daripada tidur yang lena. Kelihatan Ummi mengesat-ngesat air mata dengan hujung lengan baju merahnya.

“Usahlah engkau pergi wahai Ali. Bahaya,” bujuk Ummi sambil memandang sayu kepada abangnya. Abangnya hanya mendiamkan diri seribu bahasa memerhatikan lantai rumah yang kosong tanpa lapik permaidani. Entah menerawang ke mana.

“Dengar tak Ali? Ummi cakap ni,” Ummi bersuara lagi. Berselang sendu.

“Ummi. Ummi lebih mengetahui akan tujuan Ali. Ummi kenal Ali kan,” Ali seboleh-boleh enggan menyakitkan hati ibunya. Dia mengerti perasaan ibunya tetapi dia merasakan dia bertanggungjawab untuk turut serta dalam gerakan menentang rejim zionis itu. Manusia-manusia keparat lagi durjana itulah yang telah meragut nyawa bapanya dua tahun yang lampau. Masih dia tidak dapat lupakan peristiwa berdarah yang meragut nyawa 13 orang awam termasuk bapanya yang berlaku di pasar sewaktu dia dan bapanya menjaja buah-buahan.

Klik sini untuk bahagian satu.

Saturday, November 14, 2009

Kuatkan Semangat!


Susah sangatkah nak berhenti merokok?
Ish, susahlah.
Buat azam baru, tahun depan berhenti merokok.
Tak boleh, kalau nak berhenti, tak boleh buat azam, tak jadi punya. Nanti ditangguh-tangguh azamnya. Kalau nak berhenti, kena buang rokok ni, cakap sekarang aku nak berhenti, on the spot.
(Berfikir.)

Memang susah ya nak berhenti merokok. Mujur tak mencuba, masa umur belasan tahun awal sekolah menengah dulu tengok macam best merokok tapi taklah sampai mencuba. Dan saya bersyukur saya tidak mencuba walaupun ada rakan-rakan sekolah dulu mengatakan setakat cuba sepam-dua tak ketagih punyalah!

Saya percaya kenyataan tersebut kerana memang ada rakan-rakan yang mencuba masa sekolah dulu dan tidak pula terus merokok. Tetapi saya mendapati bahawa terdapat juga rakan-rakan yang sekarang tidak boleh tidak merokok. Sekarang seorang sahabat sedang cuba berhenti merokok gara-gara sakit batuk yang teruk. Tidak lama dahulu, ada juga seorang rakan yang lain yang cuba berhenti merokok, lama juga bertahan. Tak lama kemudian beliau menyorok-nyorok apabila terserempak dengan saya kerana sedang mengepit sebatang rokok di celah jari dan menghembuskan asap yang berkepul-kepul dari hidung. Saya tergelak sendirian tetapi dia bilang segan dengan abang, dulu dah berhenti, ni hisap balik.

Sekarang, saya cuma mengharapkan sahabat yang seorang lagi ini berjaya berhenti merokok dan mendoakan yang terbaik untuknya lantas mengimpikan sahabat yang lain menurut jejaknya untuk berhenti sebelum mendapat musibah sakit yang tidak semena-mena. Kalau berhenti beramai-ramai mesti lagi mudah dan bersemangat kan?

Korang buat yang terbaik!!
Terima kasih kepada model gambar^^

Thursday, November 12, 2009

Kemboja Nan Berguguran: Bahagian Satu


Abdul Karim mendongak ke langit. Langit cerah kebiruan yang kekontangan awan. Cuma ada secebis dua gumpalan awan kecil yang berarak ke utara ditiup angin bulan Zulhijjah. Hawa lembut menerpa mukanya dan rambutnya menampar-nampar dahi yang kecil itu. Dia menoleh ke kiri dan mengharapkan kemunculan sesusuk tubuh yang dikenalinya kerana dia sudah duduk termanggu di bawah pokok itu selama sepuluh minit dan dia tidak mahu lewat ke sekolah. Dia tentu tidak mahu melihat wajah Cikgu Salma yang manis itu menjadi masam kerana marah, namun dia masih menanti kedatangan Hadi yang akan lalu di hadapan pokok tempat dia duduk sekarang lantas berjalan ke sekolah bersama-samanya pada pagi itu seperti biasa.

Sakit perut agaknya si Hadi itu, getus hati kecilnya. Itulah, sudahku pesan jangan mencuba-cuba makan buah yang dijumpainya semalam sewaktu berjalan pulang dari sekolah beriringan. Degil sungguh si Hadi itu. Nanti kita semua juga yang terlewat ke sekolah pada pagi ini, rungut suara kecil Abdul Karim. Sekali lagi dia mendongak langit. Segugus awan berat perlahan-lahan merangkak bagai dipaksa oleh bayu kering yang dahagakan hujan sepetang. Mungkin akan hujan tengahari kelak, bisik Abdul Karim keseorangan. Bagus juga, sudah lama bumi Palestin ini tidak dibasuhi daripada darah-darah penduduknya yang menjadi mangsa kerakusan rejim Zionis. Lantas Abdul Karim mendengus sejurus, seraya bola matanya menangkap imej sesusuk jasad sedang berlari-lari anak ke arahnya. Dikilik bersamanya dua tiga buah buku sambil berlari lantas akhirnya jasad anak kecil itu tiba di hujung kaki Abdul Karim.

“Engkau ke mana Hadi? Mengapa engkau lewat? Nanti Cikgu Salma marah tahu,” Abdul Karim menyambut Hadi dengan rungutan yang terpendam.

Hadi tercungap-cungap mencari nafas. Dia menbongkok seperti orang rukuk lagaknya sambil memandang ke arah Abdul Karim. Sedikit peluh kelihatan di garisan dahinya yang putih lagi luas itu. Sebutir tahi lalat menghiasi di sempadan dahi serta rambutnya memaniskan lagi wajah anak kecil seusia 10 tahun tersebut.

“Maaflah Abdul Karim, maaflah. Janganlah marah. Aku ada sedikit hal di rumah tadi,” ujar Hadi yang mula menemui rentak nafas. Lantas dia betuli pegangan buku-bukunya itu dan berdiri tegak menghadap Abdul Karim. Abdul Karim pun ikut berdiri dan menepuk-nepuk punggungnya membuang habuk yang terlekat pada seluarnya itu.

“Hal apa, kerja apa Hadi? Kita ini sudah lewat tahu?” Abdul Karim berkata lantas mula berjalan untuk ke sekolah. Hadi tergesa-gesa mengekori di belakang Abdul Karim. Dia mempercepatkan langkahnya untuk menyaingi sahabatnya itu.

Gambar tiada kaitan dengan mana-mana penerbitan dan hanyalah imaginasi penulis menggunakan stok gambar pihak ketiga.

Tuesday, November 10, 2009

Carut


terpancut kata hitam
meruntuhkan peribadi
tergamak kau menuturkan
kata yang kejam
yang sepatutnya
doa yang putih?

Monday, September 21, 2009

Syukur 29


Kesyukuran dirafaqkan ke hadrat Illahi atas kesempatan menjalani madrasah Ramadhan selama 29 hari yang lalu. Sebentar sahaja dirasakan bulan barakah itu menyinggah di tabir masa kita. Apa yang kita telah kecapi sepanjang sebulan yang lepas itu, adakah sama seperti tahun-tahun yang lepasnya atau adakah sudah meningkat tahapnya walau setingkat jua? Penulis sendiri merasakan kesekejapan bulan itu sangat menyedihkan kerana terasa diri yang serba kekurangan ini tidak berkesempatan untuk mengkoreksi diri sesungguh-sungguhnya. Namun tidak wajar disalahkan kecepatan waktu berlalu, kerana ketidakarifan kita menguruskan waktu yang diperuntukkan secara adil oleh ALLAH SWT yang menyebabkan kita menggigit jari kini. Alasan berkejaran dengan tugasan yang bertimpa-timpa sudah tentu ditolak mentah-mentah oleh Pentadbir Alam kelak. Nauzubillahi min zalik.

Dalam meraikan kejayaan kita sebagai graduan Ramadhan (insya-Allah), sambutan Aidilfitri diadakan dengan penyediaan juadah yang menyelerakan, persalinan yang cantik dan bersih serta bermaafan sesama saudara seagama kita. Sementara kita bergembira di sini, sahabat-sahabat kita di tempat-tempat berbeza seantero dunia menghadapinya dengan situasi yang berbeza juga. Di Iraq, suasana kecoh lantaran peperangan dan keganasan sana-sini menyebabkan bumi Baghdad sunyi menjelang pagi Syawal. Ramai masyarakatnya yang lari ke Irbil untuk meraikan Aidilfitri tanpa perasaan khuatir akan letupan dan serpihan bom, kerana mereka percaya itulah satu-satunya kawasan di Iraq yang masih selamat. Di Palestin? Rumah hancur. Tinggal di khemah pelarian. Pelarian di tanah sendiri? Langit Aidilfitri juga menyaksikan dua kujur jenazah pejuang Hamas diusung sepanjang kota di sana. Memang berbeza daripada kita di sini yang masih hidup dengan sekurang-kurangya cukup makan dan pakainya. Namun dalam senyap-senyap, benih-benih kebencian menyusur di celah-celah saudara seagama kita. Ganyang Malaysia, Sapu Malaysia, buluh runcing yang dijolok-jolok. Menakutkan segelintir daripada kita kerana yang lainnya masih tidak sedar. Hal ini berlaku kerana masing-masing mahu menegakkan 'budaya' tersendiri. Tetapi penulis pasti kecelakaan ini pasti tidak terjadi jika kita semua berpegang dengan prinsip saudara sesama Islam, yang pastinya tidak mahu berpecah-belah dan ditertawakan oleh golongan Barat dan Yahudi terkutuk. Semangat Aidilfitri seharusnya mengukuhkan semangat ukhuwah fillah dengan saudara seISLAM sejagat, apatah lagi setelah berjaya menempuhi 29 hari latihan intensif tanpa kelibat 'musuh yang amat nyata' itu.

Friday, September 11, 2009

Mimpi Laila


Ustaz cakap, malam itu sungguh istimewa. Ustaz cakap, malam itu memang ajaib. Ustaz cakap lagi, rugi kalau terlepas malam itu. Setahun hanya sekali saja malam itu datang. Dalam satu bulan sahaja malam itu akan hadir. Malam al-qadar. Tapi bila?

Ustaz cakap, lailatul qadar itu malam seribu bulan. Lapan puluh tiga tahun empat bulan. Amalan yang kita lakukan pada malam tersebut akan dilipatgandakan ganjarannya pada satu malam itu sahaja. Ustaz cakap, kita memang rugi kalau tidak mengejar peluang keemasan dari Tuhan ini. Ustaz cakap, kita memang kurang bijak jika malas mengeluarkan tenaga hanya selama sepuluh malam untuk menggapai kelebihan seribu bulan.

Sepuluh hari? Kenapa sepuluh hari, ustaz? Ustaz cakap, sepuluh hari terakhir Ramadhan baru diturunkan lailatul qadar. Ustaz cakap lagi, lailatul qadar akan turun pada malam yang ganjil iaitu malam ke 21, 23, 25, 27 serta 29 Ramadhan, seperti yang dipersetujui ulama utama. Tapi kenapa sepuluh ustaz? Itu baru lima malam. Ustaz jawab, jadi takkan lima hari genap yang berbaki itu dibiarkan tidak diusahakan. Macam tanaman juga, takkan disiram pada hari tertentu sahaja. Bagaimana tanaman tersebut mahu tumbuh segar? Seumpama kanak-kanak, hanya diberi minum dan makan pada ketika tertentu, pada waktu yang lain dibiarkan berlapar dan dahaga tanpa sebab yang khusus, bagaimana mahu ia membesar dengan baik dan sihat? Begitulah juga amalan, perlu istiqamah kata ustaz. Istiqamah? Konsisten. Ada kesinambungan.

Ustaz tanya, sudah banyak baca Quran sejak bulan puasa ini? Ustaz tanya lagi, banyak membasahkan lidah dengan zikir?

~Amalan paling ringan untuk manusia tapi berat pula di timbangan ALLAH S.W.T adalah zikrullah.

Monday, September 7, 2009

Petang Yang Sukar (Malam Yang Lebih Sukar)


Wah sedapnya ayam percik! Eh, ayam golek pun ada. Tapi yang ini nampak biasa saja. Yang hujung sana nampak lebih mewah warnanya. Pelbagai getusan yang terdengar jauh di hujung hati setiap kali menapak di lorong-lorong yang membariskan deretan gerai kecil sepanjang bulan Ramadhan ini. Aduh, yang mana ya yang patut dibeli? Semuanya berkenan di hati. Tengok semua juadah itu sungguh menyelerakan. Harganya juga agak murah. Variasi tetap variasi namun kepelbagaian tersebut tidak menjana pilihan kerana semua variasi itu hendak dicekup sekali gus.

Duit digenggam-genggam. Ke mana harus dilabur duit untuk memuaskan nikmat berbuka sebentar nanti. Tak tahu. Tak beli itu, kempunan. Tak beli ini, melepas. Beli dua-dua? Tak habis. Tapi boleh bagi kawan. Em.. Rugi.. Hati menjerit-jerit. Beli sajalah. Makan atau tidak janji tak kempunan. Dalam membeli makanan jangan kedekut sangat. Bagi kawan sikit, kira sedekah di bulan puasa. Hati berkira-kira lagi. Tolak tambah darab bahagi tapi masih tidak membeli. Dua tiga kali tawaf sekitar bazaar, gerai-gerai sudah dihafal, bau makanan sudah menyerap di minda dan menjolok-jolok tembolok yang meraung-raung.

Nah, tidak sampai tiga minit sudah dibimbit tiga empat beg plastik berkandung makanan dan minuman ke hulu ke hilir. Puas hati dan senyum mengukir di bibir sendirian. Balik rumah terus duduk menghadap makanan, menunggu orang melaungkan azan. berkira-kira yang mana mahu dilangsaikan dulu, nasi kerabu berduet ayam percik atau roti arab dicecah kari daging. Kuih yang banyak-banyak ini bila pula mahu dimakan? Ah,malam nanti tentu lapar. Buat kunyah-kunyah sambil membuat kerja.

Dan ketika malamnya berlabuh, terlihat sekujur badan yang kekenyangan tertidur dengan enaknya, dan kuih-muih serta kerja yang sepatutnya perlu disiapkan malam itu terbiar terlantar tak terusik sehingga imsak tamat keesokannya.

~Berhati-hati di jalan-jalan bazaar Ramadhan.

Friday, September 4, 2009

Ketika Murid Menjadi Guru


Akhirnya dibuka juga hadiah-hadiah itu. Ada bermacam jenis, bentuk dan saiz. Sudah lama juga saya peram hadiah-hadiah yang diberikan oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang kepada saya tempoh hari sempena tamatnya praktikum yang saya jalani di sekolah tersebut selama kurang lebih dua bulan. Bukan tidak sudi membuka tetapi agak sayang untuk menodai balutan hadiah mereka. Sengaja juga saya peram dan membuka kesemuanya sempena hari lahir yang baru berlalu. Mungkin mencari tambahan sebab yang istimewa untuk menambah keasyikan menatap hadiah yang mereka bagi itu. :)

Syahdu melihat kandungan hadiah-hadiah mereka. Keikhlasan kanak-kanak tersebut jelas terpancar melalui kata-kata yang tertulis di situ dan indahnya perasaan mengenang pengalaman bersama mereka. Tidak pernah saya mengharapkan hadiah daripada mereka seperti ini dan sekarang saya mengerti bagaimana perasaan guru saya dahulu apabila dihargai oleh anak muridnya. Memang tidak semua yang memberi hadiah dan tidak pula saya meminta, namun saya berasa tidak sampai hati apabila melihat kawan-kawan mereka yang iri kerana tidak dapat memberi hadiah kepada saya ketika itu. Begitu naifnya seorang kanak-kanak yang harus dibimbing agar tidak tersasar dalam perjalanannya menjadi dewasa. Memang seorang guru yang baik itu akan terkesan dalam hidup seseorang murid walaupun ia telah dewasa kelak, dan saya sendiri mempunyai memori tentang beberapa orang guru dan muallim yang mengesankan dan saya pasti semua orang begitu.


Saya amat berharap agar dapat melakukan bunga yang terbaik dalam persilatan arena pendidikan selagi saya memegang nama seorang guru, dan saya juga berimpian untuk menunjukkan contoh yang baik kepada murid-murid saya agar sekurang-kurangnya mereka berjaya meningkatkan diri mereka satu aras lebih baik daripada sebelumnya. Saya sendiri tidak pasti berapa lama saya akan bergelumang dengan tanggungjawab di sekolah rendah, menjadi seorang guru untuk beberapa waktu dan mungkin beralih ke atmosfera yang berbeza di waktu yang lainnya; namun saya berharap saya mampu menjadi pemangkin perubahan dalam hidup salah seorang murid saya kelak. Amiin.

Terima kasih cikgu.

Monday, August 31, 2009

Bazaar Ogos


Waktu hampir tiba untuk berbuka puasa, kurang lebih 10 minit sahaja lagi. Para peniaga ada yang sudah kehabisan jualan, yang lain pula ada yang sibuk melelong makanan yang masih berbaki. Waktu sebegini sekonyong-konyong muncul golongan pembeli bujang yang mengharapkan dapat membeli juadah dengan harga yang murah daripada biasa. Memang berlaku hal sebegini di mana-mana terutamanya jika kawasan tersebut mempunyai pusat pengajian yang menempatkan golongan muda dan bujang.

Lelaki: Makcik, ini kuih apa makcik?
Makcik: Ha, inilah kuih tepung pelita, dik. Sedap ni, dik. Nak?
Lelaki: Oh, kuih tepung pelita ek? Macam mana rasanya ya?
Makcik: Ha, kena tunggu buka dululah. Baru boleh rasa macam mana. Alah, cubalah.
Lelaki: Em, macam mana kira ni, makcik? (berharap dapat murah)
Makcik: Empat biji seringgit, dik.
Lelaki: Em, oklah saya mahu seringgit. Ni duitnya makcik.
Makcik: Ni kuihnya, dik. Makcik jual ya.
Lelaki: Ya, saya beli. Eh, ni lima biji ni, makcik.
Makcik: Tak apa, ambillah. Promosi sempena kemerdekaan.

Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan dalam kesederhanaan berpuasa.