Monday, April 4, 2011

Kerana Cinta Gaza - Lima

BAB 5

Seminggu sudah berlalu namun Balqis masih tidak mahu menghubungi Amar. Amar ada cuba menelefon Balqis beberapa kali namun setelah asyik tidak dijawab, Amar pun sudah malas mahu menelefonnya lagi. Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menyegerakan kerja-kerja mengedit gambar-gambar dan video perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha minggu lalu. Lagi cepat siap, lagi cepat dia menerima bayarannya. Hari ini Qassim akan singgah ke studio untuk mengambil album dan dvd-dvd yang sudah siap Amar sediakan lantas membayar upah yang dijanjikan. Amar merasa lega dan bangga setiap kali hasil seninya berjaya disiapkan, yang mana akan dimuatnaik ke dalam blognya sebagai kegiatan promosi. Promosi secara dalam talian telah sedikit-sebanyak membantu Amar mengembangkan perkhidmatannya dan menjadikan studionya satu langkah ke hadapan.

Gambar-gambar terbaik yang pernah Amar ambil sepanjang perkhidmatannya juga ada dipilih untuk merealisasikan impiannya untuk menerbitkan sebuah buku bergambar berkaitan perkahwinan. Setiap pasangan pengantin yang mendapatkan perkhidmatannya sudah menandatangani surat kebenaran atau model release untuknya menggunakan gambar-gambar mereka bagi diterbitkan dalam buku sulungnya nanti. Setakat ini Amar sudah berjaya menghimpunkan kira-kira lima puluh gambar terbaik daripada pelbagai perkahwinan yang dihadirinya dan dia berhasrat untuk mendapatkan lima puluh lagi gambar untuk melengkapkan bukunya itu kelak.

Deruman enjin kereta yang berhenti betul-betul di hadapan studionya mematikan angan Amar. Pintu kereta dibuka dan Qassim yang berkaca mata hitam keluar dari celah-celah kereta mewah berwarna putih itu. Qassim berjalan memasuki studio Amar dan terus duduk di atas kerusi berhadapan dengan Amar.

“Siap?” soal Qassim sambil membuka cermin mata gelapnya, lantas meletakkannya di atas meja di sebelahnya.

“Amboi, dengan tak bagi salamnya, terus tanya siap ke tak. Duitnya mana?” balas Amar.

“Ada ni. Dalam sampul ni,” ujar Qassim sambil mengeluarkan sampul coklat berlipat daripada poket bajunya, lantas menyerahkan kepada Amar. Amar pun menyambut sampul tersebut.

“Ha, kiralah. Takut-takut tak cukup ke, terlebih ke, hehe,” Qassim gelak sendiri.

“Isy, takkan aku nak kira depan kau, nanti tak cukup aku cakaplah, kalau terlebih diam-diam sudah,” Amar pula tergelak. Amar bingkas bangun dan mendapatkan sebuah kotak di atas meja kerjanya. Di dalam kotak tersebut terdapat sebuah album besar yang cantik, dan beberapa keping dvd yang siap dengan muka depannya sekali. Amar lantas meletakkannya di hadapan Qassim.

“Ini dia semuanya. Kau balik tengoklah, semua aku dah check, dvd semua boleh baca punya. Tak ada yang tersekat-sekat. Album ni pula khas aku buat istimewa untuk kau dengan Leha.” Amar menunjukkan hasil kerjanya kepada Qassim.

Qassim membelek-belek album tersebut sambil tersenyum sendirian. Satu persatu helaian muka album tersebut dibukanya.

Handsome juga aku ni kan,” kata Qassim tanpa mengalihkan pandangannya daripada album tersebut.

“Orang profesional punya kerja, kalau tak handsome pun boleh jadi kacak macam model dalam gambar,” Amar berkata sambil tergelak. Qassim hanya tersengih mendengarkan usikan Amar.

“Kau ni, nasib baik kau pandai ambil gambar, tak sia-sia aku keluar duit bayar kau. Pandai juga kau ni ya,” puji Qassim.

“He, tengok oranglah. Kalau tak pandai, aku tak beranilah buka perniagaan macam ni Sim,” balas Amar. Terbit rasa bangga/bongkak(?) di hatinya. Qassim meneliti pula muka depan dvd yang ada dan mengira jumlahnya sambil mengangguk-angguk.

“Ok cukup,” katanya sendiri. Kemudian dia pun mengemaskannya semula ke dalam kotak yang diberikan oleh Amar itu tadi. Amar hanya melihat sahaja.

“Oh ya, Amar, kalau aku tawarkan kau satu lagi job kau nak tak? Bukan akulah sebenarnya tapi ni kerja dengan abah aku. Lagi lumayan ni kau tau,” kata Qassim sambil memandang tepat ke muka Amar.

Perkataan lumayan tersebut sangat menarik perhatian Amar. Sudah tentu peluang sebegini tidak mahu dilepaskannya begitu sahaja, walaupun dia belum mengetahui apakah kerja yang hendak ditawarkan oleh Qassim, atau bapa si Qassim itu.

Job apa? Aku rekabentuk grafik dengan ambil gambar retilah, kalau nak kena kerja dengan abah kau buat rumah aku tak reti,” jawab Amar. Amar hanya mengetahui bahawa bapa Qassim, Datuk Shukur menjalankan projek-projek perumahan sahaja, tiada projek perniagaan lain selain itu.

“Ke situ pula. Ini job ambil gambarlah. Kalau kau buat, boleh makan puluh ribu tau. Lima angka tu. Nak tak?” ujar Qassim. Mata Amar membulat. Sungguh dia sudah tertarik.

“Kerja apa?”

***************************************************************************************

“Kau nak pergi Asia Barat?” soal Qassim.

“Mana? Mesir? Lubnan? Jordan? Syria?”

“Palestin.” Senyap. Qassim memandang tepat ke arah Amar. Matanya tak berkelip. Sejurus kemudian dia tergelak besar dan bersandar di atas kerusi yang didudukinya. Amar hanya memandang gelagat Qassim dan akhirnya ikut tergelak sama beberapa ketika. Keadaan kembali senyap semula beberapa jurus. Yang kedengaran hanyalah bunyi kenderaan yang ulang-alik di hadapan studio Amar.

“Amar.”

“Ya.” Amar menekan perutnya setelah penat ketawa.

“Aku serius ni. Kau nak pergi Palestin tak? Kau ambil gambar, kau balik. Selesai. Bukannya pergi seorang diri je,” Qassim cuba meyakinkan Amar.

Amar hanya memandang Qassim. Senyap lagi. Kemudian dia memandang ke luar studionya. Mencari-cari sesuatu yang tidak pasti.

“Berapa abah kau nak bayar?” tanya Amar.

“Aku tak pasti, tapi kau akan dibayar oleh abah aku untuk dokumentasi program bantuan kemanusiaan kumpulan dia, ribu jugalah. Kumpulan Lembah Aman dia punya tu. Kemudian kau ada job untuk dua paper yang nakkan gambar-gambar daripada sana. Sambil menyelam minum air bro. Banyak upah ni. Duit, Mar, duit,” kata Qassim.

Amar mencongak sendiri di dalam benaknya. Mengambil gambar untuk suratkhabar memang menjanjikan wang yang bukan sedikit, apatah lagi jika gambar-gambar yang diambil itu berasal daripada kawasan bergolak seperti Palestin. Jika dia menerima kerja itu, dia juga boleh mengumpulkan gambar-gambar khas untuk dijadikan sebuah buku gambar berkaitan Palestin pula, tentu laku nanti.

Paper mana yang nak gambar-gambar tu?” soal Amar lagi.

Qassim melihat ke atas dan memejamkan matanya, mahu mencari-cari nama suratkhabar yang dinyatakan oleh bapanya sebelum ini.

“Alah aku terlupalah. Tapi ada dua. Satu Melayu satu orang putih. Kau terimalah, aku malas nak cari orang lagi ni. Ni abah aku yang minta tolong aku carikan, jadi kalau ikut aku, aku nampak kau je,” jawab Qassim.

“Tapi abah kau pun nak bayar aku jugalah ya? Kira aku ada tiga employers? Macam mana dengan penerbangan, penginapan, makan minum aku?”

“Aah, kira kau ada tiga boslah. Bayaran pun dapat tiga sumber. Itu yang boleh cecah lima angka tu. Pasal makan minum apa semua tu, mestilah kumpulan abah aku tu tanggung, kau jangan risaulah.”

“Nantilah aku fikirkan. Aku nak tanya Balqis,” ujar Amar.

Kalau diikutkan hati, memang sudah diterima tawaran lumayan itu. Namun dia ingin menjaga hati Balqis. Dia ingin berkongi dengan Balqis. Dia tiada sesiapa lagi selain Balqis. Itu pun Balqis masih nak meraguinya lagi. Amar seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim As-Saufi. Ayahnya tidak pernah dikenalinya kerana dia telah meninggal sejak dia masih dalam kandungan lagi. Semenjak kematian ayahnya, ibunya pula jadi tidak keruan. Akhirnya ibunya juga meninggal dunia ketika hendak melahirkan Amar. Tinggallah Amar sebatang kara, tiada saudara yang hendak ambil peduli. Lantas dia diserahkan ke rumah anak-anak yatim itulah sehingga dia berjaya menjejakkan kaki ke universiti dan bertemu dengan Balqis.

Malam ini dia bercadang untuk mengajak Balqis makan malam bersama sempena mendapat bayaran daripada Qassim itu tadi. Dan menceritakan berkenaan tawaran kerja bapa Qassim itu kepadanya.

************************************************************************************

Jawablah, jawablah, getus hati kecil Amar sambil menekapkan telefon bimbit ke telinga kanannya. Panggilan-panggilannya tidak dijawab langsung oleh Balqis. Mesej yang dihantarnya tidak juga berbalas. Ikutkan hati, ingin saja Amar menelefon Anis untuk bercakap dengan Balqis, namun nombor telefon Anis tak pula dipunyainya.

“Ah, orang telefon tak nak angkat. Merajuklah sampai bila-bila,” kata Amar lalu melemparkan telefon bimbitnya ke atas tilam yang empuk di biliknya. Amar pun berbaring sambil memejamkan matanya. Kata-kata Qassim yang menjanjikan pendapatan yang lumayan itu sangat menggodanya. Dia sudah terbayang-bayang sejumlah wang yang ditulis di atas cek untuk dirinya. Bolehlah mencukupkan wang simpanannya. Bolehlah cepat-cepat kahwin. Balqis pun tak merajuk lagi. Tahun ini juga boleh kahwin. Tapi orang telefon dia tak nak jawab, huh.

Lantas Amar duduk di atas katilnya dan mencapai telefonnya semula. Dia mencari-cari nama Qassim dan menekan butang panggil. Dia menanti panggilannya dijawab dengan hati berdebar-debar.

1 comment:

la d0n$eja n0reul said...

menarik cite nie....
ase nak tau pe kisah seterusnya...
bagus!!!!