Saturday, June 11, 2011

29 Cara Untuk Jadi (Dan Kekal) Kreatif!




  1. Cubalah lakukan, semua orang mempunyai kreativiti, cuma tidak digali. :)
  2. Untuk point nombor 21, jangan ikut peraturan itu bermakna jangan diikutkan sangat peraturan berkreatif. Sebagai contoh, dalam fotografi. Sometimes you have to break from the rule of third or lead-in-line to make a good shot.
  3. Langkah-langkah di atas disyorkan oleh Paulzii. Selamat mencuba!

Thursday, June 9, 2011

Dari Jementah ke Melaka

  1. Cuti dua minggu digunakan untuk menanda tiga ratus lebih set kertas peperiksaan pertengahan tahun yang berlalu sebelum cuti bermula hari itu.
  2. Setelah penat menanda dan membuat kerja-kerja terjemahan yang ditempah oleh klien, dapat juga berjalan-jalan dengan keluarga tercinta ke Melaka.
  3. Seronok walaupun penat, namun masa yang berkualiti itu sungguh priceless. Berikut adalah beberapa gambar haiwan yang dilihat di Taman Rama-Rama dan Reptilia juga Taman Buaya Melaka. Subhanallah!





Monday, June 6, 2011

Bintang-bintang Dari Anak


apabila habis bintang-bintang kau congak
jangan lupa pada tanah yang setia dipijak
apabila khatam planet-planet kau cerap
jangan lupa pada bumi yang lama kau inap

hidupmu bukan sendiri
ada jasa ada bakti yang harus kau beri
harta sedunia mungkin kau beli
kasih keluarga mana nak dicari?

(Sebaik-baik kebajikan adalah memberi kepada keluarga dahulu. Jangan mengejar pahala menderma itu ini tetapi keluarga sendiri tidak dipeduli. Untuk adik-adikmu yang masih bersekolah tu, hulurlah barang sedikit ya)

gambar di atas dirakamkan di desaru 2011

Friday, June 3, 2011

From Jementah to Klang (The Engagement)



Alhamdulillah majlis pertunangan berlangsung dengan selamat walaupun diuji pelbagai dugaan.

Saturday, May 21, 2011

Kerana Cinta Gaza - Enam


BAB 6

Amar memandu keretanya penuh berhati-hati menyusuri jalan yang sibuk itu. Semua orang berpusu-pusu keluar untuk makan tengahari dan menjemput anak di sekolah pada waktu sebegini. Perjalanannya ke pusat bandar Melaka adalah untuk menemui bapa Qassim iaitu Datuk Shukur di pejabat cawangan syarikatnya di situ. Syarikat Datuk Shukur beribu pejabat di Johor Bahru, namun Datuk Shukur telah turun ke cawangan syarikatnya di Melaka untuk bermesyuarat dan kesempatan itu diambil olehnya untuk bertemu dengan Amar sendiri. Datuk Shukur ingin berbincang dengan Amar tentang kerja yang ditawarkannya sambil menikmati makan tengahari. Itulah yang dikatakan oleh Qassim dalam perbualannya di telefon tempoh hari.

Amar membelokkan keretanya ke dalam perkarangan sebuah bangunan besar yang tersergam indah di tengah-tengah bandar Melaka. Tidak sukar untuk dia mencari kawasan letak kereta kerana kebanyakannya sudah kosong. Setelah mengunci kenderaannya, Amar pun berjalan ke arah pintu masuk utama bangunan itu. Tidak sampai pun lima langkah dia mengorak, kelihatan seorang lelaki separuh umur yang sedikit berisi keluar daripada tempat duduk belakang sebuah kereta BMW hitam yang diletakkan di tepi bangunan tersebut.

“Amar! Amar! Amar kan?” jerit lelaki tersebut.

Amar segera menoleh dan mengenali raut wajah lelaki tersebut. Rupa-rupanya Datuk Shukur sudah menantikannya di situ. Lantas Amar pun berlari-lari anak untuk mendapatkannya.

“Maaflah Datuk, saya lambat sikit. Macam mana Datuk kenal saya?” soal Amar sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya disambut erat.

“Qassim. Dia ada beritahu pakcik, yang Amar bawa kereta Persona ungu tu, itu yang pakcik kenal tu,” jawab Datuk Shukur tanpa melepaskan salamnya. Amar hanya tersenyum sendiri.

“Mari, mari kita pergi makan.” Datuk Shukur menarik tangan Amar memasuki kereta BMWnya itu. Dengan pantas pintunya ditutup dan sejurus kemudian kereta tersebut meluncur laju tetapi senyap di atas jalan raya. Hati Amar seronok.

*******************************************************************************

“Makanlah Amar, kenapa tak makan?” soal Datuk Shukur setelah melihat Amar belum lagi menjamah makanannya yang baru tiba. Habislah aku kalau nak bayar ni, patut aku keluarkan duit dulu tadi, bisik hati kecil Amar. Restoran yang dipilih oleh Datuk Shukur bertaraf enam bintang dan makanannya semua mahal-mahal belaka. Menyesal pula bermanis mulut kata nak belanja masa dalam kereta tadi, gerutu hati Amar lagi.

“Tak apa, saya yang belanja. Sebab saya yang nak jumpa Amar kan?” kata Datuk Shukur lagi seolah-olah dapat membaca fikiran Amar. Amar tersipu-sipu malu.

“Bukan macam tu, Datuk. Panas, nak tunggu dia sejuk sikit,” Amar cuba berdalih.

“Isy, kalau dah sejuk, dah tak sedaplah. Makan, makan, makan,” kata Datuk Shukur lagi. Amar pun menggapai sudu dan garpu yang ada di hadapannya dan mula menyuap. Memang sedap makanan di sini, sebab harganya pun sedap. Amar menelan perlahan-lahan setiap suapannya.

“Ok, berkenaan hal ke Palestin tu,” Datuk Shukur menelan makanannya, “saya dan kumpulan Lembah Aman akan bertolak minggu depan. Sekali dengan awaklah, Amar. Misi kita ni untuk mengagihkan bantuan makanan, pakaian dan barangan dapur, perubatan dan memantau projek pembinaan sekolah di sana yang dijalankan di bawah kumpulan kita ni. Tugas awak, Amar, saya nak awak dokumentasikan perjalanan kita di sana nanti, dan segala aktiviti kita di sana untuk pembentangan selepas kita balik ke Malaysia dalam bentuk gambar dan sedikit video kalau awak mampu.”

Amar mengangguk-angguk sahaja. Dia meneguk air yang ada di hadapannya sambil memandang ke arah Datuk Shukur.

“Kita pergi dalam seminggu sahaja. Selesai saja urusan kita di sana, kita baliklah. Awak ada apa-apa nak tanya?” soal Datuk Shukur sambil meletakkan sudu dan garpunya ke sisi, lantas mengelap mulutnya dengan sehelai napkin.

“Em, saya boleh saja buat semua itu, Datuk. Kebetulan memang saya tiada menerima sebarang tempahan kerja dalam masa itu,” jawab Amar jujur. Dia menyambung mengunyah makanannya. Semuanya perlu dihabiskan, rugi kalau tak habis ni.

Parents awak tak kisah ke awak pergi?” soal Datuk Shukur sambil merenung Amar. Kedua tangannya disatukan di hadapan mukanya.

“Oh, tak kisah Datuk,” balas Amar pendek tanpa memandang ke arah Datuk Shukur. Malas pula dia mahu bercerita panjang tentang dirinya yang anak yatim dan sebagainya.

“Kalau macam tu tak apalah. Oklah. Nanti petang ikut saya balik Johor Bahru. Kita buat meeting dengan ahli kumpulan Lembah Aman yang lain yang nak ke Palestin sama malam nanti. Kita briefing sikit. Amar tak ada hal kan?”

“Boleh saja Datuk.”

****************************************************************************************

Hati Amar berbunga-bunga sebaik sahaja kereta BMW mewah yang membawanya bersama Datuk Shukur memasuki perkarangan bangunan moden yang terletak menghadap Selat Tebrau itu. Di bahagian atas bangunan tersebut tersergam barisan huruf-huruf gergasi yang membentuk kata “Lembah Aman”. Besar juga bangunan kumpulan ini, hati Amar berbisik. Tapi kenapakah aku tak pernah dengar apa-apa yang besar dan hebat pun tentangnya? Atau aku yang tak pernah nak ambil peduli? Amar tersenyum seorang diri.

Amar dan Datuk Shukur keluar daripada kereta dan berjalan beriringan memasuki bangunan tersebut. Terdapat dua orang pengawal yang berada di hadapan pintu masuk utama itu. Melihatkan kehadiran Datuk Shukur, salah seorang daripada mereka pun lantas mendapatkannya dan mengucapkan salam. Pengawal tersebut mengiringi mereka sehingga ke pintu masuk utama tersebut. Datuk Shukur berhenti sebentar dan berborak-borak dengan pengawal tersebut. Sejurus kemudian, pengawal itu pun kelihatan mengeluarkan segugus kunci daripada poket seluarnya dan menyerahkannya kepada Datuk Shukur.

“Ok Amar, sekarang dah nak Maghrib. Awak ambil kunci ni. Awak naik lif ke tingkat lima. Belok kanan dan cari bilik pertama sekali sebelah kiri. Itu bilik tetamu. Gunakan kunci nombor 13 ni untuk masuk bilik tu. Awak mandilah dan bersiap-siap. Solat dan sebagainyalah. Pukul lapan malam saya panggil semula untuk makan malam dan kita meeting terus lepas tu,” kata Datuk Shukur.

Amar mengangguk-angguk dan mencapai kunci yang diserahkan kepadanya.

“Ok, Datuk. Tingkat lima, kanan, kiri, tiga belas,” balas Amar ringkas. Amar pun berjalan menaiki lif dan menuju ke biliknya. Begini rupanya gaya orang kaya bekerja. Tak kira masa. Apa-apalah, janji aku dibayar.

Sesampainya Amar di bilik tetamu itu, Amar terus menjatuhkan dirinya di atas katil yang serba empuk itu. Dia menghembuskan nafas yang panjang menikmati keselesaan katil yang disediakan itu. Matanya dipejam-pejam. Langsung tidak terlintas di fikirannya tentang Balqis lagi.

Monday, May 16, 2011

Hari Guru SK Bandar Putra 2011



Sekitar sambutan Hari Guru di Sekolah Kebangsaan Bandar Putra.
Lagu Terima Kasih Guru oleh Mirwana.

Monday, May 2, 2011

Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Non-Halal


  1. Dia meletakkan cangkir kopinya ke atas meja setelah dihirup sekali dua air yang masih berasap-asap itu. "Aku nak tanya kau sesuatu," soalnya kepada kawannya yang sedang asyik membelek akhbar pada hari cuti umum Hari Pekerja.
  2. Kawannya lantas meletakkan akhbar tersebut itu ke atas meja dan melihat ke arah dia. "Tanyalah."
  3. "Kenapa seksyen yang menjual arak dan daging babi di shopping complex menulis perkataan NON-HALAL pada kawasan tu?"
  4. Kawannya lantas tergelak selama lima minit mendengarkan soalan tersebut lantas menjawab, "Sudah tentulah dia tulis sebab benda-benda tu TAK HALAL untuk dimakan."
  5. Dia pun bertanya lagi. "Lantas mengapa tak ditulis HARAM saja? Kenapa non-halal?"
  6. Kawannya pun terdiam lima minit sebelum menjawab, "Untuk menjaga hati orang bukan Islam yang makan benda-benda tu kot."
  7. Dia pun berkata, "Mereka takkan terasa hati sebab hukum HALAL-HARAM tak tergunapakai untuk mereka pun, so apa salahnya letak HARAM instead of NON-HALAL. Kalau nak jaga hati juga, letakkan HARAM FOR MUSLIM. Barulah yang Muslim ni tak TERRRRRAMBIL setin-dua jolly shandy."

Monday, April 25, 2011

Sakit Telinga, Sakit Hati!


  1. Aku benci betullah orang yang buat-buat pandai ni.
  2. Cakap 'itu tak betul, ini tak betul'! Sedang diri tu pandai berbicara saja namun kerja tak seberapa.
  3. Diri sendiri pun tak betul tapi nak tegur-tegur orang. Dia tu perfect sangat ke?
  4. Tegur orang bukan main tapi asap rokok keluar berkepul-kepul, macam mana orang nak makan nasihat kalau asap yang kau hidang.
  5. Unzur ma qola wala tanzur man qola. (Saidina Ali bin Abi Talib R.A)
  6. Dengar apa yang dikatakan, bukan siapa yang berkata-kata.
  7. Subhanallah!
Bersyukurlah kerana masih ada orang yang mahu memberi peringatan kepada kita, walaupun orang yang mengingatkan itu tidaklah kita sukai. Sesungguhnya ubat yang terbaik datang bersama rasa pahit.

*tiada kaitan dengan yang hidup atau yang mati, cuma tulisan semata* wink^^

Sunday, April 17, 2011

Adab Bergurau


  1. Niat yang benar untuk menghilangkan rasa penat, bosan dan lesu.

  2. Tidak berlebihan.

  3. Tidak bergurau dengan orang yang tak suka bergurau.

  4. Tidak bergurau dengan perkara-perkara yang serius seperti soal talak. (A: Abang ceraikan ayang.. B: Apa?? Kenapa bang? Kenapa?? A: April Fool!!! Hahe, lukenabeb!)

  5. Tidak bertujuan menakut-nakutkan seorang Muslim.

  6. Berkata benar walaupun sedang bergurau.

  7. Tidak memperlekeh individu tertentu.

  8. Tidak bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk.

  9. Tidak banyak ketawa (berdekah-dekah).

  10. Bergurau dengan orang yang sesuai.

April Fool bukan budaya Islam.

Monday, April 4, 2011

Kerana Cinta Gaza - Lima

BAB 5

Seminggu sudah berlalu namun Balqis masih tidak mahu menghubungi Amar. Amar ada cuba menelefon Balqis beberapa kali namun setelah asyik tidak dijawab, Amar pun sudah malas mahu menelefonnya lagi. Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menyegerakan kerja-kerja mengedit gambar-gambar dan video perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha minggu lalu. Lagi cepat siap, lagi cepat dia menerima bayarannya. Hari ini Qassim akan singgah ke studio untuk mengambil album dan dvd-dvd yang sudah siap Amar sediakan lantas membayar upah yang dijanjikan. Amar merasa lega dan bangga setiap kali hasil seninya berjaya disiapkan, yang mana akan dimuatnaik ke dalam blognya sebagai kegiatan promosi. Promosi secara dalam talian telah sedikit-sebanyak membantu Amar mengembangkan perkhidmatannya dan menjadikan studionya satu langkah ke hadapan.

Gambar-gambar terbaik yang pernah Amar ambil sepanjang perkhidmatannya juga ada dipilih untuk merealisasikan impiannya untuk menerbitkan sebuah buku bergambar berkaitan perkahwinan. Setiap pasangan pengantin yang mendapatkan perkhidmatannya sudah menandatangani surat kebenaran atau model release untuknya menggunakan gambar-gambar mereka bagi diterbitkan dalam buku sulungnya nanti. Setakat ini Amar sudah berjaya menghimpunkan kira-kira lima puluh gambar terbaik daripada pelbagai perkahwinan yang dihadirinya dan dia berhasrat untuk mendapatkan lima puluh lagi gambar untuk melengkapkan bukunya itu kelak.

Deruman enjin kereta yang berhenti betul-betul di hadapan studionya mematikan angan Amar. Pintu kereta dibuka dan Qassim yang berkaca mata hitam keluar dari celah-celah kereta mewah berwarna putih itu. Qassim berjalan memasuki studio Amar dan terus duduk di atas kerusi berhadapan dengan Amar.

“Siap?” soal Qassim sambil membuka cermin mata gelapnya, lantas meletakkannya di atas meja di sebelahnya.

“Amboi, dengan tak bagi salamnya, terus tanya siap ke tak. Duitnya mana?” balas Amar.

“Ada ni. Dalam sampul ni,” ujar Qassim sambil mengeluarkan sampul coklat berlipat daripada poket bajunya, lantas menyerahkan kepada Amar. Amar pun menyambut sampul tersebut.

“Ha, kiralah. Takut-takut tak cukup ke, terlebih ke, hehe,” Qassim gelak sendiri.

“Isy, takkan aku nak kira depan kau, nanti tak cukup aku cakaplah, kalau terlebih diam-diam sudah,” Amar pula tergelak. Amar bingkas bangun dan mendapatkan sebuah kotak di atas meja kerjanya. Di dalam kotak tersebut terdapat sebuah album besar yang cantik, dan beberapa keping dvd yang siap dengan muka depannya sekali. Amar lantas meletakkannya di hadapan Qassim.

“Ini dia semuanya. Kau balik tengoklah, semua aku dah check, dvd semua boleh baca punya. Tak ada yang tersekat-sekat. Album ni pula khas aku buat istimewa untuk kau dengan Leha.” Amar menunjukkan hasil kerjanya kepada Qassim.

Qassim membelek-belek album tersebut sambil tersenyum sendirian. Satu persatu helaian muka album tersebut dibukanya.

Handsome juga aku ni kan,” kata Qassim tanpa mengalihkan pandangannya daripada album tersebut.

“Orang profesional punya kerja, kalau tak handsome pun boleh jadi kacak macam model dalam gambar,” Amar berkata sambil tergelak. Qassim hanya tersengih mendengarkan usikan Amar.

“Kau ni, nasib baik kau pandai ambil gambar, tak sia-sia aku keluar duit bayar kau. Pandai juga kau ni ya,” puji Qassim.

“He, tengok oranglah. Kalau tak pandai, aku tak beranilah buka perniagaan macam ni Sim,” balas Amar. Terbit rasa bangga/bongkak(?) di hatinya. Qassim meneliti pula muka depan dvd yang ada dan mengira jumlahnya sambil mengangguk-angguk.

“Ok cukup,” katanya sendiri. Kemudian dia pun mengemaskannya semula ke dalam kotak yang diberikan oleh Amar itu tadi. Amar hanya melihat sahaja.

“Oh ya, Amar, kalau aku tawarkan kau satu lagi job kau nak tak? Bukan akulah sebenarnya tapi ni kerja dengan abah aku. Lagi lumayan ni kau tau,” kata Qassim sambil memandang tepat ke muka Amar.

Perkataan lumayan tersebut sangat menarik perhatian Amar. Sudah tentu peluang sebegini tidak mahu dilepaskannya begitu sahaja, walaupun dia belum mengetahui apakah kerja yang hendak ditawarkan oleh Qassim, atau bapa si Qassim itu.

Job apa? Aku rekabentuk grafik dengan ambil gambar retilah, kalau nak kena kerja dengan abah kau buat rumah aku tak reti,” jawab Amar. Amar hanya mengetahui bahawa bapa Qassim, Datuk Shukur menjalankan projek-projek perumahan sahaja, tiada projek perniagaan lain selain itu.

“Ke situ pula. Ini job ambil gambarlah. Kalau kau buat, boleh makan puluh ribu tau. Lima angka tu. Nak tak?” ujar Qassim. Mata Amar membulat. Sungguh dia sudah tertarik.

“Kerja apa?”

***************************************************************************************

“Kau nak pergi Asia Barat?” soal Qassim.

“Mana? Mesir? Lubnan? Jordan? Syria?”

“Palestin.” Senyap. Qassim memandang tepat ke arah Amar. Matanya tak berkelip. Sejurus kemudian dia tergelak besar dan bersandar di atas kerusi yang didudukinya. Amar hanya memandang gelagat Qassim dan akhirnya ikut tergelak sama beberapa ketika. Keadaan kembali senyap semula beberapa jurus. Yang kedengaran hanyalah bunyi kenderaan yang ulang-alik di hadapan studio Amar.

“Amar.”

“Ya.” Amar menekan perutnya setelah penat ketawa.

“Aku serius ni. Kau nak pergi Palestin tak? Kau ambil gambar, kau balik. Selesai. Bukannya pergi seorang diri je,” Qassim cuba meyakinkan Amar.

Amar hanya memandang Qassim. Senyap lagi. Kemudian dia memandang ke luar studionya. Mencari-cari sesuatu yang tidak pasti.

“Berapa abah kau nak bayar?” tanya Amar.

“Aku tak pasti, tapi kau akan dibayar oleh abah aku untuk dokumentasi program bantuan kemanusiaan kumpulan dia, ribu jugalah. Kumpulan Lembah Aman dia punya tu. Kemudian kau ada job untuk dua paper yang nakkan gambar-gambar daripada sana. Sambil menyelam minum air bro. Banyak upah ni. Duit, Mar, duit,” kata Qassim.

Amar mencongak sendiri di dalam benaknya. Mengambil gambar untuk suratkhabar memang menjanjikan wang yang bukan sedikit, apatah lagi jika gambar-gambar yang diambil itu berasal daripada kawasan bergolak seperti Palestin. Jika dia menerima kerja itu, dia juga boleh mengumpulkan gambar-gambar khas untuk dijadikan sebuah buku gambar berkaitan Palestin pula, tentu laku nanti.

Paper mana yang nak gambar-gambar tu?” soal Amar lagi.

Qassim melihat ke atas dan memejamkan matanya, mahu mencari-cari nama suratkhabar yang dinyatakan oleh bapanya sebelum ini.

“Alah aku terlupalah. Tapi ada dua. Satu Melayu satu orang putih. Kau terimalah, aku malas nak cari orang lagi ni. Ni abah aku yang minta tolong aku carikan, jadi kalau ikut aku, aku nampak kau je,” jawab Qassim.

“Tapi abah kau pun nak bayar aku jugalah ya? Kira aku ada tiga employers? Macam mana dengan penerbangan, penginapan, makan minum aku?”

“Aah, kira kau ada tiga boslah. Bayaran pun dapat tiga sumber. Itu yang boleh cecah lima angka tu. Pasal makan minum apa semua tu, mestilah kumpulan abah aku tu tanggung, kau jangan risaulah.”

“Nantilah aku fikirkan. Aku nak tanya Balqis,” ujar Amar.

Kalau diikutkan hati, memang sudah diterima tawaran lumayan itu. Namun dia ingin menjaga hati Balqis. Dia ingin berkongi dengan Balqis. Dia tiada sesiapa lagi selain Balqis. Itu pun Balqis masih nak meraguinya lagi. Amar seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim As-Saufi. Ayahnya tidak pernah dikenalinya kerana dia telah meninggal sejak dia masih dalam kandungan lagi. Semenjak kematian ayahnya, ibunya pula jadi tidak keruan. Akhirnya ibunya juga meninggal dunia ketika hendak melahirkan Amar. Tinggallah Amar sebatang kara, tiada saudara yang hendak ambil peduli. Lantas dia diserahkan ke rumah anak-anak yatim itulah sehingga dia berjaya menjejakkan kaki ke universiti dan bertemu dengan Balqis.

Malam ini dia bercadang untuk mengajak Balqis makan malam bersama sempena mendapat bayaran daripada Qassim itu tadi. Dan menceritakan berkenaan tawaran kerja bapa Qassim itu kepadanya.

************************************************************************************

Jawablah, jawablah, getus hati kecil Amar sambil menekapkan telefon bimbit ke telinga kanannya. Panggilan-panggilannya tidak dijawab langsung oleh Balqis. Mesej yang dihantarnya tidak juga berbalas. Ikutkan hati, ingin saja Amar menelefon Anis untuk bercakap dengan Balqis, namun nombor telefon Anis tak pula dipunyainya.

“Ah, orang telefon tak nak angkat. Merajuklah sampai bila-bila,” kata Amar lalu melemparkan telefon bimbitnya ke atas tilam yang empuk di biliknya. Amar pun berbaring sambil memejamkan matanya. Kata-kata Qassim yang menjanjikan pendapatan yang lumayan itu sangat menggodanya. Dia sudah terbayang-bayang sejumlah wang yang ditulis di atas cek untuk dirinya. Bolehlah mencukupkan wang simpanannya. Bolehlah cepat-cepat kahwin. Balqis pun tak merajuk lagi. Tahun ini juga boleh kahwin. Tapi orang telefon dia tak nak jawab, huh.

Lantas Amar duduk di atas katilnya dan mencapai telefonnya semula. Dia mencari-cari nama Qassim dan menekan butang panggil. Dia menanti panggilannya dijawab dengan hati berdebar-debar.