Saturday, January 29, 2011

Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Paderi Jones

  1. Dia dan kawannya masih di warung meneguk sisa kopi o dan membelek akhbar ketika kawannya itu bertanya, "Kau kenal dengan paderi Terry Jones?"
  2. Dia menjawab, "Paderi Jones yang nak membakar al-Quran dulu tu? Mestilah kenal, dengan misainya ala Hulk Hogannya itu.''
  3. Kawannya berkata, ''Sekarang dia nak buat benda lain pula, Hari Membakar al-Quran dah tak jadi, sekarang dia nak buat Hari Menghakimi al-Quran. Dia cabar sesiapa yang dapat membuktikan al-Quran tak bersalah terhadap jenayah dan keganasan untuk tampil membela al-Quran. Kalau al-Quran terbukti bersalah, al-Quran akan dihukum dengan dibakar, ditembak atau apa-apa lagi yang difikirkan relevan oleh juri mahkamah tu nanti!''
  4. Dia menjawab, "Masa nilah orang yang bijak mengkaji kitab ALLAH semacam Ahmad Deedat itu diperlukan, kita buktikan al-Quran itu benar,"
  5. Kawannya pula berkata dengan semangat, "Benar! Sedang mereka tak sedar bahawa Bible mereka yang beraneka itu yang salah, bahkan ada ayat lucah di dalamnya!''.
  6. Dia berkata, "Eh, kau tahu tentang itu?" Kawannya pun menjawab dengan bangga, "Mestilah! Aku pun baca juga tulisan-tulisan Ahmad Deedat itu!"
  7. Dia bertanya lagi, "Eh, kau tahu tak ayat al-Quran ada berapa semuanya?" Kawannya hanya diam lantas meneguk kopi o itu.

Saturday, January 22, 2011

Kerana Cinta Gaza - Empat

Terima kasih ya kepada semua yang berziarah dan follow namun untuk beberapa hari ini saya tak dapat untuk membalas follow semuanya. Insha ALLAH nanti ya! Klik SINI untuk Kerana Cinta Gaza bahagian SATU hingga TIGA.

    BAB 4

    Majlis perkahwinan Qassim dengan isterinya Nur Zaleha berlangsung dengan sangat meriah. Ramai tetamu yang hadir pada hari itu. Daripada sanak-saudara, sahabat-handai, rakan-rakan satu sekolah dan jiran tetangga. Namun tidak pula kelihatan rakan-rakan sekuliah Qassim ketika di universiti dahulu, kecuali Amar. Itu pun kerana Amar ditugaskan untuk mengambil gambar. Qassim memang tidak begitu digemari oleh rakan-rakannya ketika belajar dahulu. Majlis perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha yang gemilang itu diadakan di Dewan Bankuet Hotel Regency yang ditempah khas untuk menampung banjiran tetamu yang telah diundang. Seluruh dewan disimbahi lampu keemasan, menyerikan lagi persalinan pengantin yang serba putih mutiara bersulamkan benang ungu.

    Di celah-celah kemeriahan dan kesibukan orang ramai yang hadir, Amar mengacukan lensa kamera DSLRnya dan cuba untuk mengabadikan momen-momen yang bermakna. Dia tidak pula berpakaian baju Melayu seperti kebanyakan tetamu yang lain, cuma kemeja lengan pendek dengan vest hitam serta seluar khakis. Di bahunya tergalas sebuah beg kamera dan sebuah lagi kamera DLSR dengan lensa telefoto untuknya mengambil gambar daripada jarak jauh. Untuk mengambil gambar yang berkualiti dan cantik dilihat, cantik dicetak, perkara yang paling utama adalah komposisi gambar itu sendiri. Penggunaan simetri, permainan bokeh dan garisan-garisan, lead in lines, rule of third dan sebagainya perlu bijak dimanipulasikan dalam keadaan majlis sebegini yang sibuk dengan ramai orang.

    Kali ini Amar berpasangan dengan Tony bagi melaksanakan kerja mengambil gambar dan merakam video perkahwinan Qassem dengan Nur Zaleha untuk memastikan tiada momen berharga yang terlepas daripada lensa kamera mereka. Dia sudah banyak kali bekerjasama dengan Tony dan dia sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Tony juga tidak pernah meminta upah yang mahal kerana dia seorang jurutera TNB yang menjadikan fotografi tidak lebih daripada sebagai satu hobi sahaja. Hal ini yang lebih menggembirakan Amar kerana sudah tentu dia dapat mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan dirinya sendiri.

    Amar yang mempunyai ijazah dalam rekabentuk grafik tidak berjaya mencari pekerjaan yang memuaskan hatinya sebelum ini. Gaji yang diterima tidak cukup baginya, lantas Amar memohon pinjaman bank dan memulakan studionya sendiri. Perniagaannya menawarkan perkhidmatan fotografi untuk apa jua acara serta mengambil tempahan untuk membuat kain rentang serta papan tanda iklan. Setakat ini dialah tuan dan dialah juga kuli. Sekali-sekala dia akan meminta bantuan orang seperti Tony untuk mengendalikan majlis-majlis yang besar sebegini. Pendapatan yang diterimanya lumayan sedikit berbanding dengan gajinya ketika bekerja di bawah orang lain dahulu, namun semuanya bergantung kepada jumlah tempahan kerja yang diterimanya.

    “Amar, bila nak buat photoshoot di luar?” soal Tony setelah dia melabuhkan punggung di sebelahnya yang sedang menikmati hidangan nasi minyak itu. Majlis telah berakhir dan para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan dewan.

    “Entahlah Tony, kita kena tunggu, jumpa pengantin dulu. Tengok jadual macam mana. Kau tak makan ke?” soal Amar setelah menelan suapan nasinya.

    “Aku makan nantilah. Ambil bungkus saja kot. Jadi yang outdoor tu nak buat kat mana?” tanya Tony sambil membelek-belek imej yang telah ditangkapnya menggunakan DSLRnya yang besar lagi mahal itu. Tony menggunakan Canon EOS 5D Mark III, sedangkan Amar menggunakan Canon 7D dan Nikon D90.

    “Itu pun aku tak pasti lagi. Asyik pergi tasik saja. Aku fikir kebun getah pun ok. Sesekali buat kelainan, hehe.” Amar sengih sambil menjeling untuk melihat imej yang dirakam oleh Tony. Tony memandang Amar seraya tersenyum. Kedua-duanya tergelak.

    “Aku on saja, Amar. Baru mencabar kreativiti,” ujar Tony seraya meleraikan lensa daripada badan kameranya. Lantas dia memasukkannya kemas-kemas ke dalam beg kamera yang disandangnya. Tony bangun dan memandang sekeliling.

    “Aku nak pergi jumpa pengantin, ambil nasi dan terus balik. Apa-apa nanti kau roger akulah, ok? Nak pindahkan gambar-gambar ni kemudian nak enhance warna dia ke apa ke malam ni sebelum tidur,” kata Tony lagi.

    “Tak mau teman aku makan ke?” soal Amar.

    “Tak maulah. Aku nak balik terus lepas ni. Esok aku kerja kau tahu.”

    “Alah, makan sekejap je.”

    “Tak naklah. Aku bukan kenal pun, kawan kau yang kahwin. Ha, kalau kau yang kahwin aku makanlah. Haha.”

    “Haha, iyalah Tony oi. Oklah, terima kasih ya tolong aku lagi. Nanti aku bagitahu apa-apa perkembangan, kita buat outdoor photoshoot pula dengan pengantin ni,” kata Amar. Tony hanya tersenyum dan meninggalkan Amar yang masih mengunyah di meja makan tersebut.

    ***************************************************************************************

    Selang beberapa jurus bahu Amar ditepuk. Amar berpaling dan mendapati Qassim berdiri di sisinya.

    “Cukup ke makan? Tambahlah lagi.”

    “Cukuplah ni, biasanya aku tak makan kat majlis orang macam ni, tapi sebab kau yang kahwin, aku makanlah juga,” Amar mengelap mulutnya dengan tisu yang disediakan di atas meja.

    Qassim lantas menarik kerusi di sebelah Amar dan menoleh ke kanan dan ke kiri. Matanya mencari-cari.

    “Mana pekerja kau tu?”

    “Siapa? Yang ambil gambar tadi?”

    “Iyalah, kau bawa seorang pekerja saja kan,” Qassim mencapai seulas buah oren yang ada dihadapannya lantas memasukkannya ke dalam mulut. “Tak sempat nak makan lagi, hehe”. Qassim menyengih.

    “Hehe, makanlah. Yang aku bawa tadi tu bukan pekerja tapi kawan aku juga. Tony tu ada kerja bagus dah tapi dia tolong-tolong aku je ambil gambar kalau ada event besar macam kau punya majlis ni. Aku bagilah upah sikit kat dia,” ujar Amar. Qassim mengangguk-angguk. Diambilnya seulas lagi buah oren dan menyuapkannya ke dalam mulut.

    “Habis dia tak makan ke?” soal Qassim.

    “Dia ambil nasi bungkus je katanya. Dia tak jumpa kau dulu ke sebelum balik?”

    “Tak ada pun. Dia jumpa abah aku kot.”

    “Hmm..” Amar pula mengangguk.

    “Kau dengan Qis bila lagi?”

    “Apa dia yang bila?”

    “Kahwinlah, apa lagi.” Jawab Qassim tersenyum. “Bercinta bagai nak rak masa kat U dulu.”

    “Tunggulah ada rezeki. Aku nak juga buat event macam kau ni. NI tengah mengumpul danalah ni. Lainlah kalau kau nak support.” Amar menggesel-geselkan ibu jari dan jari telunjuknya ke arah Qassim. Amar baru teringat yang Balqis tidak ada menghubunginya lagi sejak pertengkaran mereka yang bersaksikan Pantai Tanjung Bidara tempoh hari. Masih merajuk lagi agaknya si Balqis ni.

    “Haha, aku kahwin ni pun abah aku yang support. Nak bayar kau ambil gambar je guna duit aku tau. Kau ni bukan nak ambil gambar free.

    “Kalau free lagi lambatlah aku kahwin kau tahu,” Amar meneguk baki air oren yang berada di dalam gelasnya. Perlahan-lahan dia menelan. Setelah itu dia meletakkan gelas tersebut di hadapannya dan menggapai beg kamera di sebelahnya.

    “Aku ingat nak gerak dululah, kau susunlah jadual kau, urusan macam mana baju pengantin kau tu untuk outdoor photoshoot. Nanti kalau dah confirm kau bagitahu akulah ya,” Amar menghulurkan salam kepad Qassim. Tangannya disambut lantas mereka berdiri bersama-sama.

    “Em, iyalah. Nanti apa-apa hal aku telefon. Terima kasihlah Amar,” kata Qassim.

    “Oklah Sim, selamat pengantin baru. Kirim salam kat isteri kau, haha,” Amar mengusik dan meninggalkan meja tersebut. Qassim hanya tersengih.

Thursday, January 20, 2011

Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Rasa Canggung

  1. Dia dan kawannya sedang duduk-duduk santai di warung hujung simpang. Menikmati secangkir kopi o pada pagi cuti Thaipusam. Kawannya asyik dengan akhbar yang dibaca.
  2. "Kita ni kena rajin membaca. Membaca ni amalan mulia. Kita sebagai remaja ni yang kena set example kepada budak-budak tu,'' kata kawannya sambil memuncungkan bibir ke luar warung, ke arah budak-budak dua tiga orang yang sedang berjalan di situ.
  3. Dia hanya mengerling, "Aku tak baca paper ni." Kawannya mendengus, "Engkau memang, apa yang baca. Aku ni kalau sehari tak baca paper tak senang duduk tau. Canggung je rasanya. Macam tak lengkap hidup."
  4. Dia menjawab, "Yela, aku tak baca paper ni, aku baca paper orang putih. Tapi aku taklah sehebat kau, canggung kalau tak baca paper. Cuma aku harap akan lebih ramai orang yang akan rasa canggung bila sehari tak baca al-Quran. Tak dapat sehari dua muka, satu muka pun jadi. Paper tu lagi banyak muka."
  5. Kawannya diam sejenak tanpa mengalihkan mata daripada menatap akhbar. "Alah, baca kalau tak faham apa guna," ujarnya perlahan.
  6. Dia pun menjawab, "Sedang nak baca al-Quran pun berat tangan, inikan pula harap nak buka tafsir sekali. Tapi oklah tu kalau dalam hati tu rasa canggung kalau tak baca walau sebaris cuma ayat al-Quran dalam sehari yang 24 jam ni."
  7. Dia dan kawannya meneguk kopi o lagi.

Wednesday, January 19, 2011

Hujung Tali Kasut (Tag)

Tag bermaksud 'hujung tali kasut' juga 'label' serta 'ikut'. =) Saya jarang bertag-tag ini namun saya telah ditag oleh dua orang blogger iaitu ima dan shahsyaz dengan entri yang sama jadi saya akan menjawabnya. Mungkin bagus untuk semua bertaaruf dan menjadikan saya lebih bertanggungjawab atas semua tulisan saya di sini. =)

25 Perkara Tentang Saya
  1. Saya sangat gemar membaca dan menulis cerpen serta sajak, juga sedang menyiapkan sebuah novel sulung, hehe.
  2. Sangat meminati nasyid namun terkesan juga dengan kreativiti arrangement A Thousand Suns oleh Linkin Park, Galt Aureus serta si genius Matthew Bellamy daripada Muse.
  3. Terlibat dengan aktiviti nasyid ni semenjak sekolah rendah sehinggalah tamat varsity years. Oh ya, pernah juga saya menyuntik elemen arrangement Muse pada percussion dalam salah satu persembahan kami, hehe.
  4. Meminati sukan bola keranjang, bola sepak serta ragbi dan badminton juga lompat tinggi.
  5. Saya meminati seni fotografi, memanipulasi foto, videografi, dan graphic designing.
  6. Sedang cuba menambahkan berat.
  7. Meminati warna putih, ungu, hijau muda dan biru.
  8. Kebanyakan baju berwarna putih.
  9. Suka melukis juga. Belum berkesempatan untuk memuatnaik lukisan-lukisan saya di sini, insha ALLAH nanti-nantilah.
  10. Bencikan asap rokok.
  11. Gemar menonton rancangan Top Gear.
  12. Tidak begitu menggemari air sejuk dan berais.
  13. Tidak menyukai susu penuh krim dan susu segar. Susu coklat bolehlah juga, hehe.
  14. Tidak gemar susu sejat dalam minuman, lebih menyukai teh 'o' namun masih boleh minum teh tarik.
  15. A techno-geek namun tidaklah membeli.
  16. Suka mempelajari silap mata dan suka mempraktikkannya kepada murid-murid! Hehe.
  17. Mampu berucap, berdebat dan berforum namun tak begitu mahir bersosial secara langsung.
  18. Mengidam ke Tanah Suci Makkah A.S.A.P.
  19. Tidak menyukai sayuran kekacang namun baharu belajar makan kacang panjang.
  20. Need to brush up my Arabic. Sungguh sudah lost. Satu kerugian yang amat sangat.
  21. Meminati karya Haji Abdul Malik Karim Amrullah (Hamka) dan Faisal Tehrani. Baca juga Ramlee Awang Murshid.
  22. Lebih meminati karya Melayu dan Inggeris lama serta tidak mainstream.
  23. Pencinta coklat.
  24. Menggunakan wangian lima kali sehari.
  25. Akan bertunang insha ALLAH.

Tuesday, January 18, 2011

Cenderahati Untuk Semua (Now Everyone Can Buy)


  1. Pening nak pilih cenderahati? Saya ingin buat promosi percuma (hehe) kepada kalian satu kedai online yang tak kurang hebat cenderahatinya. Sesuai untuk kalian yang nak bagi tunang ke, buat hantaran kahwin ke, bagi pada cikgu ke, bagi roomate ke, bagi umi mama ayah dan abi pun boleh! Hehe. Untuk apa-apa occasionlah!
  2. Ada bantal, rantai kunci, gambar puzzle, mug, mug magic (keluar gambar apabila dimasukkan air panas!), tile bergambar, baju T, baju T mini dan macam-macam lagi. Setakat ini mug magic itu yang paling laris. Di bawah ini adalah contoh produk mereka, namun ada banyak lagi yang tak muat untuk saya paparkanlah di sini. Harga pun berpatutan, perkhidmatan pun pantas. =)



  3. Sesiapa yang pandai design bolehlah design gambar ikut kesukaan hati mereka, atau kalian boleh pilih template dan font yang mereka pamerkan di laman Facebook mereka.
  4. Untuk maklumat lanjut, bolehlah hubungi mereka di ejen1509@gmail.com atau klik laman Facebook mereka untuk melihat lebih banyak di SINI.


PGM: Kami Bantah Scarfs and Shawls!

  1. Pertubuhan Gadis-gadis Moden (PGM) semalam menyatakan bantahan terhadap arahan pemakaian tudung dalam kalangan penuntut-penuntut Melayu di IPTA seluruh negara. Presiden PGM, Cik Siti Aubrey binti Mohd John menyuarakan pendirian mereka itu yang disepakati oleh kesemua ahli yang berdaftar dengan PGM di setiap negeri di Malaysia.
  2. Mereka mendakwa bahawa arahan pemakaian tudung itu merupakan satu pencabulan hak asasi manusia bagi golongan hawa yang selama ini diwakili oleh pertubuhan itu. Mereka mengecam arahan itu sebagai menghalang kebebasan kaum hawa untuk menuntut ilmu dan bersosial dengan masyarakat.
  3. "Ini merupakan satu tindakan yang mendoube standardkan kami. Cuba jika dikeluarkan arahan supaya kaum lelaki diwajibkan memakai kopiah, atau dilarang memakai seluar pendek ketika bermain bola? Ini tidak adil bagi kami," Cik Siti Aubrey dilaporkan berkata.
  4. Beliau juga menegaskan bahawa pemakaian tudung tidak akan menurunkan kadar jenayah rogol di negara ini. Bahkan beliau menyatakan statistik menunjukkan bahawa mereka yang dirogol merupakan gadis-gadis yang tidak memasuki IPTA dan memakai tudung (termasuk tudung sempurna dan tidak sempurna). Hal ini membuktikan bahawa pemakaian tudung hanya akan meningkatkan lagi tahap inkuiri seseorang lelaki terhadap seseorang wanita.
  5. Dalam pada itu, Scarf and Shawl Society (Triple S) menyatakan arahan pemakaian tudung itu merupakan satu titik tolak kebangkitan fesyen Muslimah. Wakilnya dilaporkan berkata seseorang gadis bertudung itu tidak perlu rasa terkongkong untuk bergaya kerana pemakaian tudung sudah menjadi trend fesyen dalam kalangan artis masa kini yang cukup in. "Ambillah sehelai selendang dan balutlah rambut anda sekreatif mungkin. Hasilnya tidak terjangka!" ujar wakil tersebut lagi.id="BLOGGER_PHOTO_ID_5563409070345732690" />
    *Satira Semata-mata*
    Sengaja mencuba untuk menulis satira, harap lihat di sebaliknya ya? Sekarang, cuba lihat senarai semak di bawah ini =)

    Senarai semak "Terserah Anda"
    Klik untuk pembesaran ya!


Sunday, January 16, 2011

Shh! Azan!

  1. Kalau saat lagu Negaraku berkumandang kita berdiri tegak, senyap tanda hormat, namun saat azan berkumandang, apakah yang kita lakukan?
  2. Sekarang timbul isu seorang peguam menegur bahawa laungan azan di kawasan perumahannya terlalu kuat dan bising serta menganggu hak asasi manusianya maka apakah yang kita selaku umat Islam di bumi Islam lakukan?
  3. Marah? Tangkap dan humban dalam cengkaman ISA? Penjarakan kerana dia menyentuh isu agama yang termaktub Islam sebagai agama rasmi dalam perlembagaan?
  4. Nabi Muhammad SAW menunjukkan akhlak mulia dan lembut, sebab itu orang jahiliah tertarik dengan Islam yang Baginda SAW bawa. Nama pun orang jahiliah maka kita kena tunjukkan kebenaran dengan kelembutan pada yang jahil (tak tahu). Sebab itu Nabi SAW tak marah walau dibaling najis dan dilontar batu.
  5. "Maka disebabkan rahmat ALLAH-lah kamu berlaku lemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri daripada sekelilingmu. Kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah keampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan itu." (Surah Ali Imran 3:159)
  6. Sesuai dengan ayat ALLAH SWT dan teladan NABI SAW, patutlah kita panggil orang yang terganggu hak asasinya itu dan tunjukkan kecantikan di sebalik laungan azan itu sendiri, bukan sebaliknya. Wallahualam.

Ringan-ringan
Polan A sedang mengunyah makanan bersama-sama dengan Polan B, kemudian kedengaran suara azan berkumandang di udara. Dengan pantas Polan B berhenti makan dan memandang Polan A dengan serius seraya berkata:

Polan B: Eh, orang azan, mana boleh makan!
Polan A: Ha? Ye ke? Tak tau pulak!
Polan B: Ye la.. Kalau dia makan, macam mana dia nak azan. Mulut penuh dengan makanan.

Friday, January 14, 2011

Diet Oh Diet!

  1. Apakah itu diet? Diet bukanlah menahan lapar, itu mengikat perut namanya. Diet ini merupakan pola pemakanan kita. Cara kita makan, dan apa yang kita makan sehari-hari. Semua orang punya diet yang tersendiri. Atlet dengan diet tinggi protein dan karbohidrat, ibu mengandung dengan diet yang...
  2. Mahu mendapatkan tubuh yang langsing? Tegap?Apakah tips untuk diet yang hebat dan berkesan? Mudah saja, ikutlah diet qudwah hasanah kita, Nabi Muhammad SAW. Nescaya kita akan memperoleh tubuh yang sihat, seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Abdullah Mahmood yang mana Baginda SAW tak pernah sakit perut sepanjang hayatnya, kerana baginda sangat pandai menjaga pemakanannya.
  3. Apakah contoh pemakanan tersebut?
  • Jangan mencampurkan makanan laut dengan makanan darat sebagai lauk dalam satu hidangan.
  • Contohnya makan nasi putih dengan lauk ayam goreng, kemudian ada pula ikan kering.
  • Makan buah dulu sebelum makan nasi, not the other way round. Jangan kata makan buah selepas makan nasi, konon-konon mencuci mulut. Nak ikut Nabi ke, nak ikut orang putih? Hehe.
  • Jangan campur buah dengan susu, sebagai contoh: yogurt atau koktel. Kalau nak susu, susulah saja. Kalau buah, buahlah saja. Ambil yogurt yang kosong, bukan yogurt dengan strawberi dan sebagainya itu. Konon-konon berkhasiat dan baik untuk usus... Lagi sekali, nak ikut Nabi ke, nak ikut orang putih? Hehe.

Berikut adalah senarai lengkap makanan yang JANGAN dicampur ya:
  1. SUSU dengan DAGING
  2. SUSU dengan BUAH
  3. SUSU dengan IKAN
  4. SUSU dengan AYAM
  5. SUSU dengan CUKA
  6. IKAN dengan AYAM
  7. IKAN dengan DAGING
  8. IKAN dengan DAUN SALAD
Lagi, jangan lupa baca doa sebelum dan selepas makan! Berhenti sebelum kenyang! =)

Wednesday, January 12, 2011

Serangga Apakah?

  1. Pagi tadi saya menangkap gambar untuk memenuhi masa senggang. Saya tidak tahu apakah jenis serangga yang saya lihat 'bertenggek' di celah-celah pokok bunga matahari yang mama saya tanam.
  2. Ini adalah imej serangga tersebut.

  3. Kemudian saya pergi ke kedai sebentar, tak sampai sepuluh minit saya keluar. Apabila sampai ke rumah lantas saya pun mengambil kamera semula untuk menyambung aktiviti menangkap gambar tadi. Namun salah satu daripada serangga itu sudah bertukar kepada ini. Wallah! Kulitnya sudah terkupas!



  4. Sesungguhnya ciptaan ALLAH SWT sangat unik dan pelbagai, sampai kita mati nanti pun masih ada saja makhluk ciptaan ALLAH SWT (dalam konteks binatang) yang kita tak pernah lihat, bukan?

Finally I changed the layout of my blog, from all black to all white! Well, there are a little bit of orange and green. And a new, simple header (banner) too.

Tuesday, January 11, 2011

Photography 101: Nothing new, just a Flickr.

It has been some time since I last wrote an entry in English, which the English entries were mainly about photography. I did a Flickr account some time ago, but somehow I slipped the ID and the password from my mind (getting old already, but Dr Tuah Iskandar al-Haj would be mad if we blame ageing for forgetfulness, if you read his books) therefore I couldn't accessed my own Flickr account.

So I did another account and I thought, okay, it's new year, 1432H and 2011 and this could be a rebranding step for my photography activities. I can look between my photos and pick the best and get rid of the tak jadi ones, as if there is anybody that cares to look at my Flickr, hahe. So I would like you to visit my new Flickr account by clicking here, however there are only a few photos there because I still need to arrange my photos in the disks. So do visit here whenever you are free ya. Thanks!

Sunday, January 9, 2011

Ayat-Ayat Syifa' dan Air Zamzam

Kita tidak boleh berputus asa dalam berusaha mengubati penyakit, walau apa jua penyakit yang kita hidapi. Di bawah adalah ayat-ayat syifa' (ubat/penyembuh) yang terdapat dalam al-Quran. Ada enam semuanya yang ditemui oleh Imam Abu Qasim Qushairi yang digunakan untuk merawat anaknya.

Surah at-Taubah ayat 14



Surah Yunus ayat 57


Surah an-Nahl ayat 69


Surah al-Isra' ayat 82

Surah Asy-Syua'ara' ayat 80


juga Surah Fussilat ayat 44


Jangan lupa juga mencuba dengan air zamzam juga ya. Saya sendiri pun ingin mencari air zamzam. Sedang al-Allamah Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah mencuba mengubat dirinya dengan air zamzam yang dibacakan al-Fatihah berulang kali. Namun harus diingat minum air zamzam harus diikut adabnya ya.

Thursday, January 6, 2011

Kerana Cinta Gaza - Tiga

BAB 3

“Kenapa ni Qis?” soal Anis setelah melihat temannya itu menghempaskan diri ke atas katilnya. Balqis hanya mendiamkan diri dan merenung ke arah syiling.

“Aku rasa Amar tu dah tak suka kat akulah,” kata Balqis. Anis hanya memandang kelakuan Balqis itu daripada jauh. Dia hanya tersenyum. Biarpun usia mereka sama namun gadis sunti berumur 26 tahun itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Perangainya yang manja itu memang sudah difahami. Anis memang sudah masak dengan pasang surut kisah percintaan Amar dan Balqis semenjak dia duduk serumah dengan Balqis. Dalam seminggu, atau paling kuat pun dua minggu, pasti mereka akan bergaduh kecil.

“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Anis. Dia bangun dan mendapatkan Balqis yang sedang berbaring di katil sambil memeluk bantal goleknya.

“Aku ajak kahwin pun dia tak nak,” ujar Balqis. Dia memusing-musingkan cincin pemberian Amar semasa di universiti dulu yang tersarung di jari manisnya. Cincin yang sudah tersarung selama tiga tahun dan bertukar-tukar duduk jarinya. Sekejap di jari manis kanan, sekejap di jari manis kiri, semuanya kerana perubahan saiz jarinya akibat kegemukan sementara.

“Janganlah bersikap kebudak-budakan Balqis. Cuba bawa berbincang elok-elok. Mesti dia ada sebab dia,” kata Anis cuba memujuk.

“Alah, sebab yang sama saja setiap kali. Duit, duit, dana. Bosan!”

“Sabarlah Balqis. Dia pun dah kenal keluarga kau, keluarga kau pun dah kenal dia, dah suka dia. Takkan lari punya dia. Tapi kau janganlah memaksa,” ujar Anis lembut.

“Aku ajak bertunang pun tak nak. Nak kahwin teruslah katanya. Tunang seharilah, itulah, inilah, apalah. Dulu masa di universiti, dia yang nak sangat bertunang cepat. Bercerita bukan main lagi. Mak aku juga yang bising sekarang ni kau tahu,” bebel Balqis lagi. Balqis bingkas bangun dan mencapai tuala yang tersidai. Tudungnya dileraikan dan dia melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Dia membuka pili dan mengisi air ke dalam tab mandi.

“Aku nak berendam lama-lama, nak tidur sekejap,” lantas Balqis menutup pintu gelongsor bilik mandi tersebut. Anis hanya memandangnya.

**********************************************************************************

“Balqis! Telefon kau berbunyi ni!” jerit Anis sambil memegang telefon bimbit Balqis.

“Alah, jawabkanlah,” ujar Balqis dari dalam bilik mandi.

“Ni Amar telefon ni, tak nak angkat ke?” soal Anis. Di skrin telefon bimbit tersebut tertera nama dan gambar pemanggil. Sudah dua kali berturut-turut telefon Balqis berbunyi.

“Amar? Tak apa, kau jawabkanlah. Cakaplah aku sibuk,” kata Balqis lagi yang sedang berendam di dalam tab mandi itu. Anis pun mengangkat bahu dan menekan telefon bimbit tersebut untuk menjawab panggilan.

“Hello assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam, eh ni siapa?” kedengaran suara Amar dari sebelah hujung.

“Ni Anis, kawan rumah Balqis. Dia sibuk. Nak tinggal pesan?”

“Oh..sibuk.. Em, tak ada apa-apa, saja nak telefon. Ingatkan nak tanya dia samada dia nak pergi tak ke majlis kahwin kawan kami dulu masa kat U sebab dia ada dapat kad,” balas Amar dengan suara sedikit kecewa. Bukan suara Balqis yang diharapkan itu yang kedengaran.

Klik sini untuk bahagian Satu dan Dua.

Tuesday, January 4, 2011

Cerpen: BCC UNTUK AYAH



Muhammad Hamzah memusingkan stereng kereta yang dipandunya ke sebelah kanan. Perlahan-lahan dia membelok masuk demi mengelakkan percikan air dari lecak yang terdapat di bahu jalan tersebut. Sayang sungguh jika badan kereta Nissan Sunny 130Y yang baru dicat semula berwarna putih champion yang dipandunya itu tercalit noda-noda campuran tanah dan air yang keperangan itu.

Lantas fikiran Muhammad Hamzah terlontar pada barisan rim sport yang baru sahaja ditukarkannya bersama tayar-tayar yang baru. Aduhai, jangan-jangan sudah kotor rim ni, getus hati kecilnya. Ikutkan hati ingin sahaja dia memberhentikan keretanya ke tepi jalan dan membersihkan rim-rim tersebut seandainya sudah terpalit lumpur. Suatu perasaan seperti orang yang pertama kali memiliki kereta. Namun batas masa yang semakin suntuk tidak mengizinkannya berbuat demikian. Dia harus sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Hujan renyai yang menemaninya sejak tadi mencuri sedikit masa yang diperlukan untuk dia sampai ke sana. Ini semua salah si Tan. Kalau dia cepat-cepat buat kereta ni, taklah aku tergesa-gesa begini.

“Ini 15 inci sudah cukuplah bos. You punya enjin pun standard punya kan?” ujar Tan sambil mengesat pangkal keningnya lantas meninggalkan kesan minyak di situ. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk tanpa memandang ke arah Tan, sebaliknya dia melihat-lihat tayar kereta Nissan Sunny tersebut.

“Kalau 16 ke 17 ke, tak boleh ke Tan?” Muhammad Hamzah mengerling.

“Boleh tu boleh bos, tapi dengan enjin 1300cc ini macam, kalau you kasi taruk rim lagi besar daripada 15 inci, nanti kurang kuasa, kurang sesaran. Nanti silap-silap, you punya bacaan speedometer pun tak tepat tau,” ujar Tan lagi.

“Em, bolehlah. 15 inci pun oklah. Kasi warna perak tau. Sama macam warna rim asal tadi.”

Muhammad Hamzah meningkatkan kelajuan keretanya. Bunyi enjin yang sangat dikenalinya itu menderu dalam keheningan malam yang dingin itu. Tidak disangkanya enjin tersebut masih boleh digunakan lagi. Baguslah, sekurang-kurangnya nadi kereta tersebut masih sama seperti yang pernah digunakan oleh ayahnya dahulu.

Muhammad Hamzah masih ingat lagi peristiwa itu yang tersimpan segar dalam ingatannya. Ketika kereta Nissan Sunny putih tersebut baharu lagi dibeli oleh ayahnya, sewaktu itu dia baru sahaja berumur 10 tahun. Ayahnya pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta yang belum pernah dilihatnya selama ini. Muhammad Hamzah sungguh teruja hinggakan dia pernah menghabiskan masa sepetang di dalam kereta tersebut dengan mendengar radio sambil berangan-angan di hadapan stereng kereta sehingga dia terlelap di situ.

Kereta itu dibeli sebagai kereta second hand dengan harga RM20 000 jika dia tidak silap. Kereta itu amat penting memandangkan saiz keluarganya yang semakin bertambah, semakin membesar. Menaiki motor sudah tidak relevan lagi. Namun hanya kereta itu yang mampu dibeli oleh ayahnya ketika itu dan dia sangat bersyukur dengannya. Banyak jasa yang telah ditabur oleh kereta tersebut dalam menghantarnya ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari tanpa jemu dan kini kereta tersebut telah ‘dihidupkan’ kembali setelah sekian lama terbiar di belakang rumah ayahnya. Pernah ada orang yang hendak membeli kereta tersebut namun ayahnya enggan menjualkannya walaupun sudah tersadai begitu. Mungkin lebih baik begitu bagi ayahnya. Sejak adik-beradiknya mempunyai kerja masing-masing, kereta tersebut tidak digunakan lagi, dan ayahnya hanya menggunakan motor sahaja untuk ke mana-mana.

Jika kereta ayah tersebut telah banyak berjasa, maka sudah tentu ayah lebih banyak lagi budinya kepada Muhammad Hamzah dan adik-beradiknya. Pengorbanan ayah untuk membuat pinjaman demi membeli kereta tersebut untuk menjamin keselesaan anak-anaknya bersekolah dan mengharungi hidup sangatlah dihargainya, namun tiada pula kata-kata seperti ‘saya sayang ayah’ yang terpancar dari bibirnya kerana Muhammad Hamzah merasakan agak janggal untuk melakukan sebegitu. Dia tidak pernah menzahirkan ucapan kasih kepada ayahnya sendiri dan kadangkala terbit rasa kesal di hatinya dengan sikapnya sendiri. Sungguh dia menyintai ayahnya dan mahu menjaga segala keperluannya namun lafaz kasih sahaja yang masih terpendam. Baginya cukuplah perbuatannya sahaja yang mewakili rasa kasihnya yang dalam.

Mus. Mus. Mustakim…” baca ayahnya sambil menggenggam sebiji cili hijau di dalam tangan kanannya. Suasana senyap beberapa jurus.

Ihdinaous sirotol moustakim…” baca Muhammad Hamzah pula dengan suara perlahan. Air mata bergenang di kelopak matanya. Sudah berulang kali dia membaca ayat yang sama sahaja.

Mus. Bukan mous. Huruf sin tu bukan huruf sod. Ni cili hijau dah tunggu ni. Baca betul-betul.” Ayah menggentel-gentel cili hijau tersebut di hadapan Muhammad Hamzah. Setitik dua air mata Muhammad Hamzah jatuh ke atas lembaran muqaddam tersebut. Hatinya menggerutu. Sekejap aku baca bunyi sod, sekejap bunyi tsa. Macam mana nak buat bunyi sin. Lantas malam itu Muhammad Hamzah merasalah makan cili hijau mentah-mentah di hadapan ayahnya dan sejak itu dia tidak pernah lagi silap dalam membunyikan ketiga-tiga huruf arab tersebut.

Muhammad Hamzah tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa itu. Sungguh ayahnya telah banyak berbudi kepada mereka adik-beradik. Segala tunjuk ajar ayah meresap masuk ke dalam sanubari Muhammad Hamzah. Terima kasih ayah.

Patutlah perjalanan itu terasa sunyi, rupa-rupanya radio kereta tersebut tidak dihidupkan. Muhammad Hamzah mencapai punat radio yang terdapat di sisinya. Radio Blaupunkt kereta tersebut yang asal sudah diganti dengan versi baharu, dengan sistem bunyi yang baharu juga. Boleh memainkan audio berformat mp3, wma, ogg dan sebagainya yang dia sendiri tidak pernah ambil tahu wujud formatnya. Disediakan juga sebuah alat kawalan jauh untuk radio tersebut, namun Muhammad Hamzah merasakan agak kelakar untuk menggunakannya kerana dia dengan mudah boleh menekan-nekan punat radio kereta tersebut tanpa memerlukan sebuah alat kawalan jauh untuk melakukannya. Oh, mungkin alat kawalan jauh itu untuk orang di tempat duduk belakang agaknya. Eh, tapi minta sajalah sesiapa sahaja yang ada di hadapan untuk tolong menekannya. Atau hulurkan saja tangan ke hadapan untuk menekan radio tersebut seperti yang sering dilakukannya ketika kecil dahulu sewaktu ayahnya memandu untuk menghantarnya ke sekolah. Muhammad Hamzah masih merasakan alat kawalan jauh itu tidak memberi sebarang nilai tambah, namun dia menerimanya sahaja kerana itulah yang dia dapat bersama set radio yang baru dipasangnya petang tadi dan dia tidak kerugian apa-apa.

“Lusa baru siap? Apa ni Tan? Dah seminggu aku hantar ni.”

Spare part payah cari bos. Bukan radiator saja bos, itu kipas pun sama. Lainlah kalau you tukar enjin baru,” jawab Tan.

Muhammad Hamzah kegeraman.

“Kalau tak boleh buat, jangan berjanji Tan. Bukan sikit aku bayar ni. Aku tak kira, aku nak guna esok, esok pagi kena siap. Nak hantar cat pula kau tahu. Patut hari ni aku dah dapat ambil kereta ni. Esok petang nak guna kau tau.”

“Alamak sorry bos. Bukan sengaja punya. Kita pun tak mau menyusahkan klien kita. Tak apa untuk you kita kerja overtime punya. Spare part sampai ini petang, kita kasi buat you punya kereta, kita sanggup tak tidur malam punya untuk you,” Tan cuba memujuk.

“Pandailah kau ya. Pastikan esok pagi siap tau. Ha, muffler dah tukar belum? Ke masih yang berkarat punya?” soal Muhammad Hamzah sambil bergerak ke belakang kereta. Tan mengekorinya daripada belakang dan menunjukkan kepada Muhammad Hamzah.

“Ini you jangan risau, sudah lama kita buat. Tapi ini muffler besar sikit dari yang lama punya. Yang lama punya macam batang paip saja. Kasi ekzos you bergaya sikit oh?”

“Ha nasib baik kau dah buat. Kalau tak aku tarik kereta aku ni bagi orang lain saja buatkan. Em, besar ni cukuplah, jangan besar sangat sebab enjin pun standard.”

“Wah betul-betul. You pun sudah faham, bolehlah buka bengkel lepas ini,” ujar Tan sambil tergelak besar.

Muhammad Hamzah tersenyum.

“Kalau aku buka bengkel, tak lakulah kedai kau nanti.” Tan tergelak lagi.

Papan tanda Lapangan Terbang Kepala Batas menyambut kehadiran Muhammad Hamzah dengan kereta ‘barunya’ sejurus selepas dia membelok ke simpang tersebut. Tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut pada waktu malam begini. Hanya barisan lampu jalan yang berderet-deret melimpahkan cahaya kuning yang menemani perjalanannya. Muhammad Hamzah mengerling jam digital keretanya. Em, patut lima minit lagi sampailah penerbangan itu. Sedang elok saja aku tiba ni, tak perlulah menunggu lama-lama.

Muhammad Hamzah memandu keretanya mendaki bukit untuk ke kawasan mengambil penumpang yang berhadapan dengan pintu utama lapangan terbang kecil tersebut. Kelihatan tiga empat buah kenderaan sudah berada di situ, bersedia untuk menjemput penumpang mereka masing-masing. Ada yang menanti di hadapan kenderaan, ada yang menunggu sahaja di dalam kereta.

Muhammad Hamzah memperlahankan keretanya ke sebelah kiri jalan dan memberhentikannya di situ. Kemudian dia pun keluar daripada keretanya dan berjalan ke arah pintu utama lapangan terbang tersebut. Muhammad Hamzah berjalan laju-laju dan memasuki kawasan lobi lapangan terbang tersebut yang lenggang. Hanya terdapat pekerja-pekerja lapangan terbang dan petugas-petugas syarikat penerbangan di kaunter tiket syarikat masing-masing. Mereka memandangnya lantas tersenyum dan Muhammad Hamzah hanya melemparkan senyuman tawar ke arah mereka. Muhammad Hamzah memang tidak tahu bermesra.

Selang dua tiga jurus, kelihatan kelibat-kelibat manusia berjalan dengan mengheret beg-beg troli daripada kawasan ketibaan dan disambut oleh para petugas di situ. Mata Muhammad Hamzah meliar untuk mencari-cari sesusuk tubuh yang dikenalinya, namun tidak kelihatan. Satu demi satu penumpang berlalu sehinggalah kepada penumpang yang terakhir namun tidak juga dijumpai apa yang dicarinya. Muhammad Hamzah mula kaget. Dia melihat papan tanda ketibaan. Sepatutnya sudah tiba. Bahkan lima minit tadi.

Tiba-tiba belakang bahu kanannya ditepuk perlahan.

“Kau cari siapa Hamzah?”

Muhammad Hamzah segera berpaling. Suara yang amat dikenalinya itu membuatkannya tersenyum sendiri.

“Sudah lama ayah sampai?” soal Muhammad Hamzah lantas menghulurkan salam dan dicium tangan mulia ayahnya itu.

“Adalah beberapa minit. Pergi tandas sekejap tadi. Transit sekejap saja di KLIA, terus ke mari. Sudahlah, ayah nak berehat. Jom hantar ayah balik.” Ayahnya mengangkat beg di sisi namun cepat-cepat diambil oleh Muhammad Hamzah. Mereka pun berjalan beriringan ke arah pintu utama.

“Ayah ada belikan sikit barang-barang masa umrah. Bolehlah bahagi-bahagi kau dengan isteri kau. Dengan kakak abang kau,” ujar ayahnya. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk.

“Terima kasih ayah,” Muhammad Hamzah menjawab. “Ayah tunggu sini dulu, saya masukkan barang-barang dalam kereta, lepas itu saya bawa kereta ke sini.”

“Tak apalah, ayah larat lagi nak jalan. Mana kau letak kereta kau?” Ayahnya melihat-lihat ke kanan dan kiri. Muhammad Hamzah tersenyum lagi.

“Ayah tengok kereta putih tu.”

“Kau dah tukar kereta ke Hamzah?”

“Eh, taklah ayah. Takkan ayah tak kenal kereta tu?” Mereka menghampiri kereta Nissan Sunny tersebut. Ayahnya memerhatikan segenap penjuru kereta itu dengan rasa tidak percaya. Keletihan kerana penerbangan tadi langsung tidak dirasainya lagi. Dadanya berdebar-debar.

“Inilah kereta ayah dahulu, BCC 7171. Saya sudah hantar untuk dibaikpulih masa ayah pergi umrah hari tu. Selamat hari lahir, ayah,” ujar Muhammad Hamzah sambil mengunjukkan kunci kereta tersebut kepada ayahnya yang ternyata tidak mampu bersuara.

Mata ayah Muhammad Hamzah berkaca-kaca, lalu mereka dua beranak pun berpelukan.

Saturday, January 1, 2011

Photography 101: Niat (Intentions)


Kali ini saya bukan hendak berbicara tentang aspek teknikal sesuatu fotografi, bukan juga aspek seni daripada segi komposisi, teknik editing atau sebagainya. Cuma mahu kita merenung kembali, apakah niat kita selama ini semasa kita melibatkan diri dalam fotografi ini. Adakah gambar-gambar yang kita compose and capture itu untuk menunjuk-nunjuk kehandalan kita bermain dengan kamera atau menunjukkan kecanggihan gears yang kita miliki?

Marilah kita sedar/insaf bahawa seni fotografi ni sebenarnya bertujuan untuk menunjukkan kebesaran ALLAH SWT yang Maha Kuasa. Biar orang yang melihat gambar-gambar yang kita tunjukkan itu sampai berkata "Oh, hebatnya!" Bukan tukang gambar tu yang hebat, tapi pujian itu kepada ALLAH SWT, oleh kerana gambar-gambar bunga, air terjun, embun, kucing, bayi dan sebagainya yang kita tangkap itu menzahirkan kekuasaan ciptaan ALLAH SWT. Kita cuma membantu menunjukkan apa yang sudah sedia dicipta oleh ALLAH SWT, bukan?


Seperkara lagi, biarlah gambar-gambar yang kita ambil itu tidak mendedahkan aurat orang lain, atau mendedahkan aib mereka. Hmm, pasti kita tak nak dividen daripada saham buruk tu kan... Bayangkan, berapa ramai orang yang punya akses kepada gambar-gambar tu...