Ketika si bulan menjengah membawa khabaran
satu Ramadhan datang mengkelek keberkatan
namun tetamu seterusnya yang kau pandang
si Syawal yang belum tentu dapat kau pegang.
Semasa seruan selawat dan mersiknya lagu furqan
berkumandang saban malam
kau sibuk meratah dan mengunyah
umpama esok tak akan jumpa lagi
melepaskan pula huluran keampunan
yang pasti sukar kau temukan.
Tarbiah Ramadhan singgahnya tak lama
pastikan hujungnya membawa gembira
menggengam ijazah tanda berjaya
mengurus nafsu mendidik jiwa
sebagai bekalan menghadap
sebelas bulan seterusnya.