Sunday, June 24, 2012

Pavlova

Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani.

  1. Banyak dugaan yang melanda hidup kebelakangan ini. Pancaroba yang hadir dalam pelbagai bentuk cuba menggugah kesabaran dan kecekalan yang baharu nak berputik dalam diri. Sungguh, kadangkala ujian yang datang itu tidak pernah dijangka, tidak pernah terfikir akan muncul kecuali dalam drama-drama televisyen sahaja, hehe. Namun inilah realiti kehidupan yang baharu sahaja nak dilangkah oleh seorang anak muda (?) seperti saya, haha.
  2. Hati yang tidak kuat menempuh ujian yang pelbagai rupa itu dengan mudahnya akan cepat mengalah dan akan mengambil tindakan kurang cerdik yang bukan sahaja tidak menyumbang ke arah menyelesaikan masalah tersebut bahkan turut memakan diri sendiri dan menjejaskan hablumminannas yang terbina selama ini. Alahai alahai.
  3. Jadi apabila kita disinggahi ujian, maka sambutlah ujian tersebut dengan senyuman seperti mana kita menyambut tetamu yang datang, atau seperti mana seorang cikgu kelas menyambut kehadiran ibu bapa yang hadir untuk Hari Terbuka di sekolah. Cakap (atau tulis) memang kelihatannya mudah namun melaksanakannya amatlah sukar. Nak menggariskan secebis senyuman tatkala ujian datang menerpa kita merupakan usaha yang sangat berat umpama cuba menyebut huruf O tanpa memuncungkan mulut.
  4. "Boleh buat tapi sukar." Ini pesimis. Tukarkan kepada optimis. "Sukar tapi boleh buat".
  5. Dalam pada itu kita kena beringat selalu bahawa ALLAH S.W.T takkan meletakkan ujian itu kepada kita lebih daripada apa yang kita mampu tanggung. Jadi apa yang kita lalui itu semua sudah dinilai oleh ALLAH S.W.T sebagai 'burden-proof' kepada kita. *tiada perkataan burden-proof, harap maklum.
  6. Daripada merengek dengan ujian yang kita hadapi itu, tak kiralah apa jenis ujian pun samada sakit perut, dibenci oleh rakan sekerja/sekuliah, demam, pokai, tayar pancit, laptop rosak, kawan guna ubat gigi sampai habis atau lain-lain, semuanya mampu kita tanggung.
  7. Kalau rasa tak mampu juga dan rasa memang sikap pesimis dan negatif itu tak berjaya dikikis, cuba bayangkan pula bagaimanakah ujian yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Palestin dan Syria itu sekarang ini. Saat ini. Kau ado?