Friday, September 4, 2009

Ketika Murid Menjadi Guru


Akhirnya dibuka juga hadiah-hadiah itu. Ada bermacam jenis, bentuk dan saiz. Sudah lama juga saya peram hadiah-hadiah yang diberikan oleh murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Pinang kepada saya tempoh hari sempena tamatnya praktikum yang saya jalani di sekolah tersebut selama kurang lebih dua bulan. Bukan tidak sudi membuka tetapi agak sayang untuk menodai balutan hadiah mereka. Sengaja juga saya peram dan membuka kesemuanya sempena hari lahir yang baru berlalu. Mungkin mencari tambahan sebab yang istimewa untuk menambah keasyikan menatap hadiah yang mereka bagi itu. :)

Syahdu melihat kandungan hadiah-hadiah mereka. Keikhlasan kanak-kanak tersebut jelas terpancar melalui kata-kata yang tertulis di situ dan indahnya perasaan mengenang pengalaman bersama mereka. Tidak pernah saya mengharapkan hadiah daripada mereka seperti ini dan sekarang saya mengerti bagaimana perasaan guru saya dahulu apabila dihargai oleh anak muridnya. Memang tidak semua yang memberi hadiah dan tidak pula saya meminta, namun saya berasa tidak sampai hati apabila melihat kawan-kawan mereka yang iri kerana tidak dapat memberi hadiah kepada saya ketika itu. Begitu naifnya seorang kanak-kanak yang harus dibimbing agar tidak tersasar dalam perjalanannya menjadi dewasa. Memang seorang guru yang baik itu akan terkesan dalam hidup seseorang murid walaupun ia telah dewasa kelak, dan saya sendiri mempunyai memori tentang beberapa orang guru dan muallim yang mengesankan dan saya pasti semua orang begitu.


Saya amat berharap agar dapat melakukan bunga yang terbaik dalam persilatan arena pendidikan selagi saya memegang nama seorang guru, dan saya juga berimpian untuk menunjukkan contoh yang baik kepada murid-murid saya agar sekurang-kurangnya mereka berjaya meningkatkan diri mereka satu aras lebih baik daripada sebelumnya. Saya sendiri tidak pasti berapa lama saya akan bergelumang dengan tanggungjawab di sekolah rendah, menjadi seorang guru untuk beberapa waktu dan mungkin beralih ke atmosfera yang berbeza di waktu yang lainnya; namun saya berharap saya mampu menjadi pemangkin perubahan dalam hidup salah seorang murid saya kelak. Amiin.

Terima kasih cikgu.

5 comments:

Anonymous said...

guru dahulu adalah lilin yg membakar dirinya demi menerangi alam.
namun,guru sekarang adalah lampu kalimantang yang sentiasa setia menyala memberi cahaya buat si buta yang alpa.andai lampu kalimantang itu terbakar,ia akan segera diganti tanpa perlu menunggu mancis @ lighter..
salam perjuangan buat semua bakal guru :))

izuan said...

salam perjuangan kembali. semoga kita kekal sabar kelak, amiin.

Anonymous said...

amin :)

Lan Bingka said...

salam..gambar ni cantik la..

izuan said...

salam.. terima kasih.. gambar sekolah kebangsaan bukit pinang di kedah yang telah mendapat sentuhan perisian Adobe Photoshop CS4. boleh dikira sebagai deviant art juga kot.. :)