Sunday, November 27, 2011

Jauhi Sombong, Dekati Hijrah

  1. Salam Maal Hijrah 1433! Semoga penghijrahan kita sehari-hari dalam mengejar status hamba ALLAH yang lebih baik di mata-NYA* kekal konsisten dan meningkat grafnya walaupun berdikit-dikit pergerakannya.
  2. Jangan biarkan angka tinggal angka. Berikan makna yang bererti bagi setiap anjakan angka tersebut dengan berusaha memperbaiki diri kita ini.
  3. Seiring itu, marilah kita mengamalkan penggunaan kalendar Hijrah juga dalam rutin kita seharian. Jangan hanya menyedari kehadiran kalendar Hijrah sewaktu bulan Ramadhan dan Syawal sahaja ya.
  4. Mari mulakan tahun baharu ini dengan menjauhi sifat sombong dan bangga diri. Berikut adalah panduan yang diberikan oleh Imam al-Ghazali dalam mengelakkan diri kita daripada terjerumus dalam sifat sombong:
  • jika berjumpa kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak tersebut lebih mulia kerana mereka belum melakukan banyak dosa.
  • jika berjumpa orang tua, anggaplah orang tua tersebut lebih mulia kerana mereka telah banyak amal ibadahnya.
  • jika berjumpa orang jahil, anggaplah dia lebih mulia kerana dia berbuat dosa dalam keadaan tidak tahu sedangkan kita sebaliknya.
  • jika berjumpa orang jahat, anggaplah dia lebih mulia kerana mungkin suatu hari dia akan bertaubat sedangkan kita belum tentu.
  • jika berjumpa orang kafir, katakan dalam hati bahawa mungkin suatu hari nanti dia akan memeluk Islam dan segala dosanya yang lalu akan diampunkan.
*mata-NYA bukan bermaksud menyamakan sifat ALLAH SWT dengan fitrah manusia yang mempunyai mata, namun frasa tersebut digunakan sebagai pelengkap kefahaman dalam konteks ayat.

1 comment:

blog-tips-kurus said...

Thanks bagi panduan tu, w/pon ada yg berat utk dilaksanakan..