Friday, December 31, 2010

Kufi dan Kufi-kufi

Saya telah membaca satu artikel dalam akhbar tempatan beberapa hari yang lalu berkenaan seni Kufi, iaitu sejenis seni kaligrafi yang unik. Tuan Shukor Yahya telah membawakan seni tersebut ke negara kita dan menggelarkannya sebagai kufi-kufi. Saya sangatlah tertarik dan teringin mencubanya sendiri. Di bawah ini adalah hasil saya yang pertama. =)



Cubaan di atas adalah hasil eksperimentasi saya sendiri, kira versi saya tanpa berpandukan mana-mana tulisan kufi. Kemudian saya telah ketemu panduan menulis kufi-kufi oleh Tuan Shukor himself dan berikut adalah hasil kedua saya. Seronok tau apabila berjaya membuat kufi-kufi ni, namun ada sedikit perkara yang saya improvise dalam kufi-kufi di bawah ni.




Cara membacanya adalah dari bawah kiri ke kanan (tulisan jawi ya), kemudian sambung terus secara menegak ke atas, kemudian dari atas terus saja membaca mengikut sambungan, semacam seni fractal. Makin ke dalam. Cubalah!

Siapa boleh baca apa yang tertulis di dalam kedua-dua kufi yang saya hasilkan? Kedua-duanya benda yang sama. Tiada hadiah ya untuk yang berjaya. =)

Wednesday, December 29, 2010

Ukiran Kasih Sahabat


Rona mawar yang menyelaputi jalinan perkasihan

Masih segar walau masanya telah berlalu pergi

Imbauan tawa tangismu bagaikan baru semalam terjadi.

Sakit perit yang kita tempuhi menjadi bukti

Kukuhnya tali persaudaraan ini

Berparut tidak namun terkesan di qalbi.

Jalan ilmu yang kita susuri bersama

Sudah tiba ke persimpangannya

Kau dan aku menurut pula denai berbeza

Menuju destinasi yang tidak serupa.

Walau jalan itu tidak bertabur bunga

Terkadang datang onak menduga

Namun kita cekal berpimpin tangan hingga ke akhirnya.

Kenangi ikrar setia bersama

Ukiran kisah kasih kita

Jangan terhakis pudar terbiar

Diratah usia yang pantas mengejar.

Sunday, December 26, 2010

Pemeriksaan Doktor (lagi)

Tanggal 24 Disember 2010 merupakan hari yang kesekian kalinya untuk memenuhi temujanji dengan doktor pakar. Apabila ditenung-tenung kad temujanji, rupa-rupanya sudah hampir dua tahun berulang-alik ke hospital. Sudah dua hospital menjadi tempat berjanji, Hospital Sultanah Bahyah di Alor Star dan Hospital Sultanah Fatimah di Muar. Dan sekarang, bulan Mei 2011 pula akan menjadi tarikh seterusnya dalam jadual pemeriksaan. Tapi bukanlah sakit kronik (alhamdulillah), cuma tonsil dan tiroid yang membengkak dengan sedikit jangkitan. Mungkin menjadi masalah bagi para doktor mengesan apabila kedua-duanya membengkak sekali. Ikuti kisah dan bicara saya dengan doktor di sini. (klik ya!)

Syukur kerana tiroid sudah berhenti membusung, cukup sebesar ini, darah sudah normal, maka tidak perlulah membuang tiroid ni. Tonsil pula sudah semakin bagus, cuma masih ada tonsil stones yang kadang-kala mengganggu. Sepanjang dua tahun berulang-alik ke hospital dan memakan aneka ubatan dan semburan yang para doktor berikan, cukup ku berharap agar segalanya ini menjadi kifarah terhadap semua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan. Amiin.

Wah, malam ni ada perlawanan bola sepak Malaysia menentang Indonesia!

Friday, December 24, 2010

PMR oh PMR

Akhirnya keputusan PMR sudah pun diumumkan, maka berbondong-bondonglah para pelajar Tingkatan 3 2010 serta ibu bapa mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan masing-masing. Tahniah buat yang berjaya mengenggam 8A dan 9A dan buat yang gagal, it is not the end of the world. Adik saya juga tidak terkecuali daripada menerima tekanan kerana dia perlu mendapat 8A dalam PMR. kerana semua adik-beradik sebelumnya sudah berjaya mendapat 8A. Sudah tentu dia tidak mahu menjadi kambing hitam dengan merubah sejarah keluarga tersebut. Namun alhamdulillah dia berjaya (walaupun dia agak playful dan seorang gamer sejati), dan saya kadang-kadang kasihan dengan para pelajar yang terlalu ditekan oleh ibu bapa untuk mencapai sebanyak mungkin A dalam peperiksaan. Namun inilah sistem pendidikan kita yang bertunjangkan silibus dan gred peperiksaan. Dalam pada itu, diharap minat para pelajar juga dapat dipupuk, kerana tanpa minat, maka lahirlah pekerja-pekerja yang tak produktif, rasuah dan sebagainyalah. Hmm, dah macam karangan berbentuk artikel/rencana PMR..