- Dia menyelak-nyelak helaian tabloid pagi itu. Kawannya yang dari tadi duduk bertentangan dengannya hanya membaca bahagian belakang tabloid tersebut, bahagian Sukan. Berita kemenangan skuad Harimau Malaya mengekalkan penguasaan pingat emas acara bola sepak Sukan Sea 2011 berselang-seli dengan pujian melambung terhadap pemain-pemain muda seperti Nazmi Faiz Mansor dan Baddrol Bakhtiar.
- "Kau tengok, bangga aku dengan budak-budak muda ni, tahan bermain di tengah-tengah lautan merah penyokong Indonesia yang tak lekang dengan ejekan. Aku tengok macam-macam diorang ejek kita. Malingsia, malaysial.. Upin Ipin pun jadi bahan!"
- Dia lantas meletakkan tabloid tersebut di atas meja lalu menghirup kopi o panas yang setia menanti di sisi sejak tadi dengan perlahan-lahan. Lantas diletakkannya cangkir kopi itu semula seraya berkata, "Biarlah. Kita jangan ikutkan sangat mereka tu."
- Kawannya membantah, "Mana boleh! Indogs tu perlu diajar! Kurang ajar. Mana semangat patriotik kau?"
- Dia tersenyum. "Aku sokong bersukan untuk negara, tapi aku tak sokong perselisihan sesama saudara Islam semata-mata kerana sukan. Kita jangan terpedaya dengan suapan 4F Yahudi tu, Fashion, Football, Food and Fun."
- Kawannya berfikir sejenak. Diam dua tiga jurus. "Alah, ini namanya provokasi dalam sukan. Dia uji mental kita dengan ejekan macam tu, kita pun provoke-lah juga, bukan?"
- Dia tersenyum lagi. "Aku sokong dan suka bila Malaysia menang. Tapi semangat kesukanan tu penting, kita bersahabat melalui sukan, bukan bermusuhan. Akhlak kita dijaga di mana-mana. Kalau mati masa provoke orang tu, agak-agak husnul khatimah ke su'ul khatimah?"
Tuesday, December 6, 2011
Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi Untuk Harimau Malaya!
Thursday, December 1, 2011
Nota Cinta!
Monday, November 28, 2011
Kerana Cinta Gaza
BAB 7
“Ada apa-apa soalan yang hendak diutarakan? Anyone?” soal Datuk Shukur sebaik sahaja menamatkan pembentangannya berkenaan misi kemanusiaan mereka yang ke sekian kalinya ke wilayah bergolak Palestin. Semua yang mendengar hanya mengangguk-angguk tanda faham. Hal ini kerana ini bukanlah kali pertama mereka sekumpulan menjejakkan kaki ke sana. Kumpulan Lembah Aman sudah beberapa kali pergi ke Palestin untuk menyalurkan bantuan berupa makanan, pakaian dan ubat-ubatan kepada masyarakat Palestin yang tertindas.
Bahkan kumpulan mereka sudah berhasil membina sebuah hospital kecil di sana yang ditubuhkan dengan menggunakan dana mereka sendiri dan juga kutipan derma daripada masyarakat Malaysia yang prihatin. Hospital tersebut yang dibina untuk menggantikan hospital lama yang telah musnah dibom tentera laknat Yahudi, ditadbir sendiri oleh masyarakat Palestin yang berkelayakan. Kumpulan Lembah Aman hanya menyediakan kemudahan infrastruktur sahaja dan menyerahkannya kepada kerajaan Palestin untuk diuruskan. Tahun ini kedatangan mereka masih dengan tujuan yang sama, iaitu untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan, di samping memantau pembinaan sebuah bangunan sekolah pula di sebuah daerah kecil di sana. Semua ini dilakukan atas dasar persaudaraan sesama Islam dan kemanusiaan.
“Boleh Datuk terangkan tujuan kita mengupah seorang jurufoto dalam misi kita kali ini?” soal seorang daripada ahli kumpulan sambil mengangkat tangan kanannya.
“Adakah kita mahukan publisiti dalam kerja-kerja amal kita sekarang?” soalnya lagi. Mendengarkan soalan tersebut, Datuk Shukur tersenyum.
“Baiklah, saya perkenalkan jurufoto yang dimaksudkan ialah Encik Amar,” kata Datuk Shukur sambil menunjuk ke arah Amar yang sedang leka duduk sambil bermain permainan sudoku di dalam telefon bimbitnya. Amar tersentak sedikit lantas tersenyum kambing sambil mengangkat tangannya separa.
“Motif kita bawa jurufoto ni, supaya dia boleh mendokumentasikan segala kerja kita dengan dua tujuan. Yang pertama, sebagai bukti penggunaan dana yang telah dikumpulkan selama ini untuk dibentangkan selepas misi ini nanti. Kalau orang tanya, mana pergi dana itu, apa bukti kita dah guna dengan betul, kita boleh tunjukkan. Ini dia. Dan yang kedua, kita boleh menggunakan dokumentasi tersebut sebagai penggalak untuk orang ramai, turut sama menyumbang untuk misi-misi yang akan datang. Itu niat kita. Bukan nak menunjuk-nunjuk apa, yang penting kita sendiri tu betulkan niat kita.
Lagi pula, ada pihak akhbar sebenarnya ingin menyelitkan jurufoto mereka bersama-sama dalam misi kita ni, namun tiada daripada jurufoto mereka yang sanggup nak ikut kita. Jadi mereka tanya kalau-kalau kita ada jurufoto sendiri, mereka nak bayar untuk gambar-gambar yang kita ada nanti. Penglibatan akhbar dalam misi kita ni mampu menarik penyumbang, bukan? Kira hal ni secara tak langsung selaras dengan tujuan kita yang kedua tadi. Jadi itulah sebabnya adanya Encik Amar ni dengan kita, dan bayaran daripada akhbar untuk gambar-gambar tu nanti, biarlah Encik Amar je yang ambil, sebab tu usaha dia,” terang Datuk Shukur dengan panjang lebar. Semua mengangguk-angguk lagi. Termasuklah Amar. Ayat terakhir yang diucapkan oleh Datuk Shukur sangat menggembirakan hatinya. Duit, duit dan duit. Amar tersengih-sengih sendirian. Dia kembali menatap telefon bimbitnya untuk menyambung permainan sudoku yang tertangguh tadi.
**************************************************************************************
Balqis menatap skrin telefon bimbitnya. Posisi baringnya bertukar-tukar. Sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Ditutup dan dibuka kunci telefon bimbit tersebut, seolah-olah sedang menanti panggilan seseorang.
“Tau pula kau rindu. Orang tu call kau tak nak angkat,” ujar Anis tanpa memandang temannya itu sambil menyelak-nyelak sebuah majalah di atas katilnya.
Balqis hanya menjeling dan mendengus sendirian. Memang betul kata Anis. Sudah hampir dua minggu mereka tidak berhubung. Tidak, bukan tidak berhubung tetapi dia yang enggan menjawab panggilan Amar. Sekarang rasakan sendiri penangan rindu setelah Amar berhenti untuk cuba menelefonnya atau menghantarkan pesanan SMS. Padan muka kau, Balqis. Hatinya memberontak tetapi entah mengapa masih enggan mengalah pula.
“Telefonlah Amar tu Balqis. Janganlah diikutkan hati kau tu sangat. Dia dah berapa lama call kau tak angkat. Kasihan dia tau,” Anis menambah lagi.
Kata-kata Anis menyayat-nyayat ego Balqis yang sudah hampir dua minggu bertapak kukuh, yang kian dilemahkan oleh rasa rindu yang mengigit-gigit jiwanya. Cuma terkadang dia berasa marah dengan Amar yang seakan melewatkan-lewatkan janjinya untuk mengambilnya sebagai seorang isteri yang sah di sisi agama. Namun Balqis sedar, kalau dia merajuk lama-lama, nanti Amar pula yang berkecil hati. Lihatlah sekarang, Amar sudah tidak cuba untuk menelefonnya lagi.
Balqis lantas bangun dan berjalan keluar bilik untuk menuju ke ruang tamu.
“Eh, nak ke mana pula tu? Takkan marah dengan aku kot?” soal Anis melihatkan pergerakan Balqis yang tiba-tiba.
“Nak telefon buah hatilah!”
Anis tersenyum.
*************************************************************************************
Amar membuka pintu bilik tetamu itu dengan longlai. Perlahan sahaja langkahnya. Lama betullah mereka ni bermesyuarat. Ingatkan bila tanya tadi tu dah nak habis dah. Lepas tu ada jamuan ringan pula. Makan makan makan. Amar mengeluh.
Amar menarik beg sandang yang dibawanya ke Johor petang tadi ke atas katil. Dia menyelongkar beg tersebut untuk mencari-cari sesuatu.
“Mana pula aku letak charger telefon ni. Tak bawa ke ni?” tangan Amar ligat mengeluarkan barang-barang yang berkecamuk di dalam beg itu, namun tiada langsung barang yang dikehendakinya.
Telefonnya mati semasa mereka sedang bermesyuarat tadi kerana dia sibuk bermain permainan sudoku di dalam telefon bimbitnya sehingga kehabisan bateri. Namun pengecasnya pula tertinggal di Melaka. Amar mendengus kecil dan mencampakkan telefonnya ke atas katil. Dia pun menghempaskan diri ke atas tilam tersebut dan memejamkan matanya. Terus sahaja Amar terlelap kerana kepenatan serta kekenyangan.
Sunday, November 27, 2011
Jauhi Sombong, Dekati Hijrah
- Salam Maal Hijrah 1433! Semoga penghijrahan kita sehari-hari dalam mengejar status hamba ALLAH yang lebih baik di mata-NYA* kekal konsisten dan meningkat grafnya walaupun berdikit-dikit pergerakannya.
- Jangan biarkan angka tinggal angka. Berikan makna yang bererti bagi setiap anjakan angka tersebut dengan berusaha memperbaiki diri kita ini.
- Seiring itu, marilah kita mengamalkan penggunaan kalendar Hijrah juga dalam rutin kita seharian. Jangan hanya menyedari kehadiran kalendar Hijrah sewaktu bulan Ramadhan dan Syawal sahaja ya.
- Mari mulakan tahun baharu ini dengan menjauhi sifat sombong dan bangga diri. Berikut adalah panduan yang diberikan oleh Imam al-Ghazali dalam mengelakkan diri kita daripada terjerumus dalam sifat sombong:
- jika berjumpa kanak-kanak, anggaplah kanak-kanak tersebut lebih mulia kerana mereka belum melakukan banyak dosa.
- jika berjumpa orang tua, anggaplah orang tua tersebut lebih mulia kerana mereka telah banyak amal ibadahnya.
- jika berjumpa orang jahil, anggaplah dia lebih mulia kerana dia berbuat dosa dalam keadaan tidak tahu sedangkan kita sebaliknya.
- jika berjumpa orang jahat, anggaplah dia lebih mulia kerana mungkin suatu hari dia akan bertaubat sedangkan kita belum tentu.
- jika berjumpa orang kafir, katakan dalam hati bahawa mungkin suatu hari nanti dia akan memeluk Islam dan segala dosanya yang lalu akan diampunkan.
Wednesday, November 23, 2011
Timelapse Using My Phone and Apocalypse.
- Four hours of image recording on my Nokia C6-01 with 5 seconds time interval.
- The song used is Arasy Dunia by Hafiz Hamidun featuring Ali XPDC. The song is own by Hafiz Hamidun, not me. I just asked his permission to use the song (but he never reply, haha).
- The reason I used the song is because; together with the video, they provide some apocalyptic feeling.
- Kiamat sudah dekat!
Friday, November 18, 2011
Musolla Ibnu Khaldun 1432H
- This is a video that I made for the surau in my school. Not much time spent (given) on working on the video so the quality is somewhat adequate.
- My gears are getting old. I need to get fresh and new gears to record, edit and render videos. Well, for the time being I will stick with what I have because I need the money for something else that is far more important, that will be happening in the coming 2012.
- I also did a few new timelapse videos using my phone, but as I said, my gears are getting old, somehow the laptop could not handle it.
- As for the surau video, I hope that not only the pupils (as shown in the video above) will spent some of their daily minutes (or hour) in the surau to recite the Quran or performing solat in jamaah, but WE will do the same.
- Visit your nearest surau or masjid.
Wednesday, November 9, 2011
Gaya Memandu dan Sticker
- Saya ada terbaca satu artikel yang menarik berkenaan gaya pemanduan golongan Muslimin dan Muslimat di atas jalan raya serta kaitannya dengan akhlak mereka. Hal ini mengusik hati saya kerana sedikit-sebanyak pasti ada yang terkena kepada diri kita sendiri, bukan? Kadang-kala kita akan tergesa-gesa di atas jalan raya tanpa memikirkan natijah perbuatan kita memandu dengan cara sebegitu.
- Rancang pemanduan kita sebaiknya. Bergerak awal untuk mengelakkan ketergesaan. Sebenarnya cara kita memandu menjadi petunjuk akhlak kita sendiri. Kita mungkin bersopan-santun di hadapan orang ramai, memendam amarah dan kecil hati yang dialami sehari-hari, namun melampiaskannya di atas jalan raya ketika memandu kereta. Pedal minyak ditekan seolah-olah kaki tu nak tembus ke bawah. Itulah jalan mazmumah ye kawan-kawan (literally).
- Kadang-kala kereta kita gah dengan sticker 'Islam Gaya Hidup' dan 'ILuvIslam' namun mencelah dan memotong dengan berbahaya sekali. Jelaslah sticker tersebut hanya hiasan. 'Islam Gaya Hidup' tapi bukan dalam 'gaya pemanduan'. Sticker tu hanya stick di cermin kereta kita, not in our mind.
- Semoga kita beringat selalu dalam memandu. Semoga memandu itu menjadi ibadah yang mudah. Amiin.
Saturday, September 10, 2011
Bangkit
Palitan lumpur ini sukar digugah;
Monday, September 5, 2011
Susulan Kematian Arwah Noramfaizul Mohd Nor
- Bendera Malaysia yang seakan-akan bendera Amerika Syarikat. Bendera Malaysia yang dipaparkan mungkin menyebabkan beberapa golongan yang terang-terangan anti-Amerika berasa kurang senang lantas melepaskan tembakan tersebut. Bahkan nama Malaysia itu sendiri asing dalam kalangan rakyat Somalia (yang kita maklum kurang hubungan dengan dunia luar) maka hanya Amerika Syarikat sahajalah yang bermain di minda mereka. Untuk mengelakkan hal sebegini berulang, maka sebarang bantuan kemanusian haruslah dinaungi oleh badan bebas dan diwakili dengan logo-logo antarabangsa seperti PBB, seperti mana bantuan yang diberikan kepada Gaza yang dijalankan di bawah Lifeline 4 Gaza.
- Kelab yang bertanggungjawab menyatakan mereka sudah mendapatkan persetujuan daripada kedua-dua pihak yang bertelagah untuk menyampaikan bantuan kemanusiaan. Walaubagaimana pun, kita seharusnya mengelakkan sebarang penglibatan dengan pihak yang berkonflik dan menggunakan orang tengah atau tentera pengaman yang neutral kerana mereka tidak mempunyai sebarang perjanjian gencatan senjata dalam misi kemanusiaan. Lagi pula, Somalia sedang dilanda kemarau, kebuluran dan penyakit, maka sudah tentu semua pihak yang bertelagah mahu mendapatkan bantuan tersebut.
- Tidak perlulah kita mengusung pasukan media yang ramai dalam misi kemanusiaan untuk publisiti.
- Misi bantuan kemanusiaan harus mengelak daripada menyentuh kawasan bergolak. Jika perlu, sebaiknya bantuan diserahkan kepada pihak yang berkuasa di kawasan tersebut untuk menguruskannya.
Saturday, August 13, 2011
Tulis Buat Diri (Ramadhan Reminder!)
Friday, August 5, 2011
Lord of Ramadan!
- Ahlan wa sahlan ya Ramadhan! Universiti Ramadhan menjelma lagi dengan menawarkan seribu ganjaran dalam mendidik jiwa kita yang gersang.
- Mari menjadi murid yang belajar semula berkenaan apa itu solat jamaah, tadarus al-Quran, infaq, selawat dan zikir.
- Suka lagu ni, menaikkan semangat Ramadhan! Pelbagai bahasa dari Inggeris, Arab, Turki dan Jerman! Selamat beramal!
Tuesday, July 26, 2011
Satu Lagi Sebab Untuk Kita Tidak Menggemari Singapura
- Mungkin musim bola sepak yang melanda meluap-luapkan kemarahan kita kepada Singapura! Betapa kita berharap pasukan kebangsaan Harimau Malaya akan berjaya menumpaskan pasukan Lions itu dengan jaringan yang besar dalam 2nd leg di Bukit Jalil nanti insha ALLAH.
- Namun kita punya satu lagi sebab untuk tidak menggemari Singapura kerana insiden berikut. Salah seorang sukarelawan Malaysia yang terlibat dengan flotilla Mavi Marmara tempoh hari, yang merupakan seorang survivor serangan komando yahudi laknatullah, telah dilarang memasuki negara Singapura kerana keterlibatannya dengan flotilla tersebut!
- Passport Tuan Haji Jamuliddin bin Elias diperiksa, beliau ditahan di dalam bilik imigresen dan disoal siasat berkenaan kerja amalnya itu. Ingat pengganas kot... Beliau dilarang memasuki Singapura meskipun tujuannya untuk lawatan kerja, dan dipesan kepada pemandu pelancong yang ingin memasuki Singapura agar tidak membawa rokok, gula-gula getah dan akhir sekali jangan dibawa Haji Jamuliddin bersama.
- Terserlah sudah betapa Singapura itu menurut zionis.
- Malaysia lawan Singapura di Bukit Jalil.
Friday, July 22, 2011
Oh Ibu Oh Ayah!
- Apabila sudah mula bekerjaya, berdikari dan memegang gaji, hidup di atas kaki sendiri.
- Namun hati terkadang sunyi, mengenangkan rindunya kehidupan lalu sebagai anak kecil yang dijaga oleh kasihnya ibu dan sayangnya bapa. Kehidupan yang mana perlakuan kita diperhatikan mereka, dan silapnya kita ditegur.
- Berharganya masa itu yang 24 jamnya di sisi mereka, sedangkan kini dalam sebulan belum tentu dapat berjumpa.
- Sesalnya kini kerana ketika dulu tidak terfikir nikmatnya bersama.
- Hargailah ibu dan bapa sementara masih adanya mereka.
Thursday, July 7, 2011
Sepintas: Pantun Enam Kerat Dalam Gambar!
- Sudah lama tak tangkap gambar sebab sibuk dengan urusan dunia. :P
- Sudah lama juga tak melukis, lepas ni insha ALLAH akan cuba muatnaik lukisan. :P lagi sekali.
- Sudah lama juga tak menulis...
- Bunga mama lagi.
- Menarik tak tajuk entri gambar ni? Bersama hayati maksud pantun tersebut ya! Wassalam.
Tuesday, July 5, 2011
In memories of the friendship.
Sunday, July 3, 2011
Tuesday, June 28, 2011
Kem Motivasi Tahun Enam, Kem Kaizen Pontian
- Alhamdulillah program Kem Motivasi Tahun Enam di Kem Kaizen, Pontian, Johor berlangsung dengan selamat.
- Pelbagai aktiviti yang mereka (dan kami para guru!) lalui seumpama memanjat gunung, night walk, merentas halangan dan sebagainya. Memang seronok, makan pun kenyang, alhamdulillah! :)
- Semoga kem ni sedikit-sebanyak dapat unwind otak murid-murid yang penat belajar di samping menyuntik sedikit aura baru dalam belajar lantas bersedia dalam menghadapi UPSR yang mendatang. Amiin.
- Saksikanlah kehebatan cabaran yang dilalui oleh murid-murid dalam video di atas! Yeah! Salam israk mikraj!
Saturday, June 11, 2011
29 Cara Untuk Jadi (Dan Kekal) Kreatif!
- Cubalah lakukan, semua orang mempunyai kreativiti, cuma tidak digali. :)
- Untuk point nombor 21, jangan ikut peraturan itu bermakna jangan diikutkan sangat peraturan berkreatif. Sebagai contoh, dalam fotografi. Sometimes you have to break from the rule of third or lead-in-line to make a good shot.
- Langkah-langkah di atas disyorkan oleh Paulzii. Selamat mencuba!
Thursday, June 9, 2011
Dari Jementah ke Melaka
- Cuti dua minggu digunakan untuk menanda tiga ratus lebih set kertas peperiksaan pertengahan tahun yang berlalu sebelum cuti bermula hari itu.
- Setelah penat menanda dan membuat kerja-kerja terjemahan yang ditempah oleh klien, dapat juga berjalan-jalan dengan keluarga tercinta ke Melaka.
- Seronok walaupun penat, namun masa yang berkualiti itu sungguh priceless. Berikut adalah beberapa gambar haiwan yang dilihat di Taman Rama-Rama dan Reptilia juga Taman Buaya Melaka. Subhanallah!
Monday, June 6, 2011
Bintang-bintang Dari Anak
Friday, June 3, 2011
From Jementah to Klang (The Engagement)
Alhamdulillah majlis pertunangan berlangsung dengan selamat walaupun diuji pelbagai dugaan.
Saturday, May 21, 2011
Kerana Cinta Gaza - Enam
BAB 6
Amar memandu keretanya penuh berhati-hati menyusuri jalan yang sibuk itu. Semua orang berpusu-pusu keluar untuk makan tengahari dan menjemput anak di sekolah pada waktu sebegini. Perjalanannya ke pusat bandar Melaka adalah untuk menemui bapa Qassim iaitu Datuk Shukur di pejabat cawangan syarikatnya di situ. Syarikat Datuk Shukur beribu pejabat di Johor Bahru, namun Datuk Shukur telah turun ke cawangan syarikatnya di Melaka untuk bermesyuarat dan kesempatan itu diambil olehnya untuk bertemu dengan Amar sendiri. Datuk Shukur ingin berbincang dengan Amar tentang kerja yang ditawarkannya sambil menikmati makan tengahari. Itulah yang dikatakan oleh Qassim dalam perbualannya di telefon tempoh hari.
Amar membelokkan keretanya ke dalam perkarangan sebuah bangunan besar yang tersergam indah di tengah-tengah bandar Melaka. Tidak sukar untuk dia mencari kawasan letak kereta kerana kebanyakannya sudah kosong. Setelah mengunci kenderaannya, Amar pun berjalan ke arah pintu masuk utama bangunan itu. Tidak sampai pun lima langkah dia mengorak, kelihatan seorang lelaki separuh umur yang sedikit berisi keluar daripada tempat duduk belakang sebuah kereta BMW hitam yang diletakkan di tepi bangunan tersebut.
“Amar! Amar! Amar kan?” jerit lelaki tersebut.
Amar segera menoleh dan mengenali raut wajah lelaki tersebut. Rupa-rupanya Datuk Shukur sudah menantikannya di situ. Lantas Amar pun berlari-lari anak untuk mendapatkannya.
“Maaflah Datuk, saya lambat sikit. Macam mana Datuk kenal saya?” soal Amar sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Salamnya disambut erat.
“Qassim. Dia ada beritahu pakcik, yang Amar bawa kereta Persona ungu tu, itu yang pakcik kenal tu,” jawab Datuk Shukur tanpa melepaskan salamnya. Amar hanya tersenyum sendiri.
“Mari, mari kita pergi makan.” Datuk Shukur menarik tangan Amar memasuki kereta BMWnya itu. Dengan pantas pintunya ditutup dan sejurus kemudian kereta tersebut meluncur laju tetapi senyap di atas jalan raya. Hati Amar seronok.
*******************************************************************************
“Makanlah Amar, kenapa tak makan?” soal Datuk Shukur setelah melihat Amar belum lagi menjamah makanannya yang baru tiba. Habislah aku kalau nak bayar ni, patut aku keluarkan duit dulu tadi, bisik hati kecil Amar. Restoran yang dipilih oleh Datuk Shukur bertaraf enam bintang dan makanannya semua mahal-mahal belaka. Menyesal pula bermanis mulut kata nak belanja masa dalam kereta tadi, gerutu hati Amar lagi.
“Tak apa, saya yang belanja. Sebab saya yang nak jumpa Amar kan?” kata Datuk Shukur lagi seolah-olah dapat membaca fikiran Amar. Amar tersipu-sipu malu.
“Bukan macam tu, Datuk. Panas, nak tunggu dia sejuk sikit,” Amar cuba berdalih.
“Isy, kalau dah sejuk, dah tak sedaplah. Makan, makan, makan,” kata Datuk Shukur lagi. Amar pun menggapai sudu dan garpu yang ada di hadapannya dan mula menyuap. Memang sedap makanan di sini, sebab harganya pun sedap. Amar menelan perlahan-lahan setiap suapannya.
“Ok, berkenaan hal ke Palestin tu,” Datuk Shukur menelan makanannya, “saya dan kumpulan Lembah Aman akan bertolak minggu depan. Sekali dengan awaklah, Amar. Misi kita ni untuk mengagihkan bantuan makanan, pakaian dan barangan dapur, perubatan dan memantau projek pembinaan sekolah di sana yang dijalankan di bawah kumpulan kita ni. Tugas awak, Amar, saya nak awak dokumentasikan perjalanan kita di sana nanti, dan segala aktiviti kita di sana untuk pembentangan selepas kita balik ke Malaysia dalam bentuk gambar dan sedikit video kalau awak mampu.”
Amar mengangguk-angguk sahaja. Dia meneguk air yang ada di hadapannya sambil memandang ke arah Datuk Shukur.
“Kita pergi dalam seminggu sahaja. Selesai saja urusan kita di sana, kita baliklah. Awak ada apa-apa nak tanya?” soal Datuk Shukur sambil meletakkan sudu dan garpunya ke sisi, lantas mengelap mulutnya dengan sehelai napkin.
“Em, saya boleh saja buat semua itu, Datuk. Kebetulan memang saya tiada menerima sebarang tempahan kerja dalam masa itu,” jawab Amar jujur. Dia menyambung mengunyah makanannya. Semuanya perlu dihabiskan, rugi kalau tak habis ni.
“Parents awak tak kisah ke awak pergi?” soal Datuk Shukur sambil merenung Amar. Kedua tangannya disatukan di hadapan mukanya.
“Oh, tak kisah Datuk,” balas Amar pendek tanpa memandang ke arah Datuk Shukur. Malas pula dia mahu bercerita panjang tentang dirinya yang anak yatim dan sebagainya.
“Kalau macam tu tak apalah. Oklah. Nanti petang ikut saya balik Johor Bahru. Kita buat meeting dengan ahli kumpulan Lembah Aman yang lain yang nak ke Palestin sama malam nanti. Kita briefing sikit. Amar tak ada hal kan?”
“Boleh saja Datuk.”
****************************************************************************************
Hati Amar berbunga-bunga sebaik sahaja kereta BMW mewah yang membawanya bersama Datuk Shukur memasuki perkarangan bangunan moden yang terletak menghadap Selat Tebrau itu. Di bahagian atas bangunan tersebut tersergam barisan huruf-huruf gergasi yang membentuk kata “Lembah Aman”. Besar juga bangunan kumpulan ini, hati Amar berbisik. Tapi kenapakah aku tak pernah dengar apa-apa yang besar dan hebat pun tentangnya? Atau aku yang tak pernah nak ambil peduli? Amar tersenyum seorang diri.
Amar dan Datuk Shukur keluar daripada kereta dan berjalan beriringan memasuki bangunan tersebut. Terdapat dua orang pengawal yang berada di hadapan pintu masuk utama itu. Melihatkan kehadiran Datuk Shukur, salah seorang daripada mereka pun lantas mendapatkannya dan mengucapkan salam. Pengawal tersebut mengiringi mereka sehingga ke pintu masuk utama tersebut. Datuk Shukur berhenti sebentar dan berborak-borak dengan pengawal tersebut. Sejurus kemudian, pengawal itu pun kelihatan mengeluarkan segugus kunci daripada poket seluarnya dan menyerahkannya kepada Datuk Shukur.
“Ok Amar, sekarang dah nak Maghrib. Awak ambil kunci ni. Awak naik lif ke tingkat lima. Belok kanan dan cari bilik pertama sekali sebelah kiri. Itu bilik tetamu. Gunakan kunci nombor 13 ni untuk masuk bilik tu. Awak mandilah dan bersiap-siap. Solat dan sebagainyalah. Pukul lapan malam saya panggil semula untuk makan malam dan kita meeting terus lepas tu,” kata Datuk Shukur.
Amar mengangguk-angguk dan mencapai kunci yang diserahkan kepadanya.
“Ok, Datuk. Tingkat lima, kanan, kiri, tiga belas,” balas Amar ringkas. Amar pun berjalan menaiki lif dan menuju ke biliknya. Begini rupanya gaya orang kaya bekerja. Tak kira masa. Apa-apalah, janji aku dibayar.
Sesampainya Amar di bilik tetamu itu, Amar terus menjatuhkan dirinya di atas katil yang serba empuk itu. Dia menghembuskan nafas yang panjang menikmati keselesaan katil yang disediakan itu. Matanya dipejam-pejam. Langsung tidak terlintas di fikirannya tentang Balqis lagi.
Monday, May 16, 2011
Hari Guru SK Bandar Putra 2011
Monday, May 2, 2011
Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Non-Halal
- Dia meletakkan cangkir kopinya ke atas meja setelah dihirup sekali dua air yang masih berasap-asap itu. "Aku nak tanya kau sesuatu," soalnya kepada kawannya yang sedang asyik membelek akhbar pada hari cuti umum Hari Pekerja.
- Kawannya lantas meletakkan akhbar tersebut itu ke atas meja dan melihat ke arah dia. "Tanyalah."
- "Kenapa seksyen yang menjual arak dan daging babi di shopping complex menulis perkataan NON-HALAL pada kawasan tu?"
- Kawannya lantas tergelak selama lima minit mendengarkan soalan tersebut lantas menjawab, "Sudah tentulah dia tulis sebab benda-benda tu TAK HALAL untuk dimakan."
- Dia pun bertanya lagi. "Lantas mengapa tak ditulis HARAM saja? Kenapa non-halal?"
- Kawannya pun terdiam lima minit sebelum menjawab, "Untuk menjaga hati orang bukan Islam yang makan benda-benda tu kot."
- Dia pun berkata, "Mereka takkan terasa hati sebab hukum HALAL-HARAM tak tergunapakai untuk mereka pun, so apa salahnya letak HARAM instead of NON-HALAL. Kalau nak jaga hati juga, letakkan HARAM FOR MUSLIM. Barulah yang Muslim ni tak TERRRRRAMBIL setin-dua jolly shandy."
Monday, April 25, 2011
Sakit Telinga, Sakit Hati!
- Aku benci betullah orang yang buat-buat pandai ni.
- Cakap 'itu tak betul, ini tak betul'! Sedang diri tu pandai berbicara saja namun kerja tak seberapa.
- Diri sendiri pun tak betul tapi nak tegur-tegur orang. Dia tu perfect sangat ke?
- Tegur orang bukan main tapi asap rokok keluar berkepul-kepul, macam mana orang nak makan nasihat kalau asap yang kau hidang.
- Unzur ma qola wala tanzur man qola. (Saidina Ali bin Abi Talib R.A)
- Dengar apa yang dikatakan, bukan siapa yang berkata-kata.
- Subhanallah!
Sunday, April 17, 2011
Adab Bergurau
- Niat yang benar untuk menghilangkan rasa penat, bosan dan lesu.
- Tidak berlebihan.
- Tidak bergurau dengan orang yang tak suka bergurau.
- Tidak bergurau dengan perkara-perkara yang serius seperti soal talak. (A: Abang ceraikan ayang.. B: Apa?? Kenapa bang? Kenapa?? A: April Fool!!! Hahe, lukenabeb!)
- Tidak bertujuan menakut-nakutkan seorang Muslim.
- Berkata benar walaupun sedang bergurau.
- Tidak memperlekeh individu tertentu.
- Tidak bergurau dengan tangan dan kata-kata yang buruk.
- Tidak banyak ketawa (berdekah-dekah).
- Bergurau dengan orang yang sesuai.
April Fool bukan budaya Islam.
Monday, April 4, 2011
Kerana Cinta Gaza - Lima
BAB 5
Seminggu sudah berlalu namun Balqis masih tidak mahu menghubungi Amar. Amar ada cuba menelefon Balqis beberapa kali namun setelah asyik tidak dijawab, Amar pun sudah malas mahu menelefonnya lagi. Sekurang-kurangnya, dapat juga dia menyegerakan kerja-kerja mengedit gambar-gambar dan video perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha minggu lalu. Lagi cepat siap, lagi cepat dia menerima bayarannya. Hari ini Qassim akan singgah ke studio untuk mengambil album dan dvd-dvd yang sudah siap Amar sediakan lantas membayar upah yang dijanjikan. Amar merasa lega dan bangga setiap kali hasil seninya berjaya disiapkan, yang mana akan dimuatnaik ke dalam blognya sebagai kegiatan promosi. Promosi secara dalam talian telah sedikit-sebanyak membantu Amar mengembangkan perkhidmatannya dan menjadikan studionya satu langkah ke hadapan.
Gambar-gambar terbaik yang pernah Amar ambil sepanjang perkhidmatannya juga ada dipilih untuk merealisasikan impiannya untuk menerbitkan sebuah buku bergambar berkaitan perkahwinan. Setiap pasangan pengantin yang mendapatkan perkhidmatannya sudah menandatangani surat kebenaran atau model release untuknya menggunakan gambar-gambar mereka bagi diterbitkan dalam buku sulungnya nanti. Setakat ini Amar sudah berjaya menghimpunkan kira-kira lima puluh gambar terbaik daripada pelbagai perkahwinan yang dihadirinya dan dia berhasrat untuk mendapatkan lima puluh lagi gambar untuk melengkapkan bukunya itu kelak.
Deruman enjin kereta yang berhenti betul-betul di hadapan studionya mematikan angan Amar. Pintu kereta dibuka dan Qassim yang berkaca mata hitam keluar dari celah-celah kereta mewah berwarna putih itu. Qassim berjalan memasuki studio Amar dan terus duduk di atas kerusi berhadapan dengan Amar.
“Siap?” soal Qassim sambil membuka cermin mata gelapnya, lantas meletakkannya di atas meja di sebelahnya.
“Amboi, dengan tak bagi salamnya, terus tanya siap ke tak. Duitnya mana?” balas Amar.
“Ada ni. Dalam sampul ni,” ujar Qassim sambil mengeluarkan sampul coklat berlipat daripada poket bajunya, lantas menyerahkan kepada Amar. Amar pun menyambut sampul tersebut.
“Ha, kiralah. Takut-takut tak cukup ke, terlebih ke, hehe,” Qassim gelak sendiri.
“Isy, takkan aku nak kira depan kau, nanti tak cukup aku cakaplah, kalau terlebih diam-diam sudah,” Amar pula tergelak. Amar bingkas bangun dan mendapatkan sebuah kotak di atas meja kerjanya. Di dalam kotak tersebut terdapat sebuah album besar yang cantik, dan beberapa keping dvd yang siap dengan muka depannya sekali. Amar lantas meletakkannya di hadapan Qassim.
“Ini dia semuanya. Kau balik tengoklah, semua aku dah check, dvd semua boleh baca punya. Tak ada yang tersekat-sekat. Album ni pula khas aku buat istimewa untuk kau dengan Leha.” Amar menunjukkan hasil kerjanya kepada Qassim.
Qassim membelek-belek album tersebut sambil tersenyum sendirian. Satu persatu helaian muka album tersebut dibukanya.
“Handsome juga aku ni kan,” kata Qassim tanpa mengalihkan pandangannya daripada album tersebut.
“Orang profesional punya kerja, kalau tak handsome pun boleh jadi kacak macam model dalam gambar,” Amar berkata sambil tergelak. Qassim hanya tersengih mendengarkan usikan Amar.
“Kau ni, nasib baik kau pandai ambil gambar, tak sia-sia aku keluar duit bayar kau. Pandai juga kau ni ya,” puji Qassim.
“He, tengok oranglah. Kalau tak pandai, aku tak beranilah buka perniagaan macam ni Sim,” balas Amar. Terbit rasa bangga/bongkak(?) di hatinya. Qassim meneliti pula muka depan dvd yang ada dan mengira jumlahnya sambil mengangguk-angguk.
“Ok cukup,” katanya sendiri. Kemudian dia pun mengemaskannya semula ke dalam kotak yang diberikan oleh Amar itu tadi. Amar hanya melihat sahaja.
“Oh ya, Amar, kalau aku tawarkan kau satu lagi job kau nak tak? Bukan akulah sebenarnya tapi ni kerja dengan abah aku. Lagi lumayan ni kau tau,” kata Qassim sambil memandang tepat ke muka Amar.
Perkataan lumayan tersebut sangat menarik perhatian Amar. Sudah tentu peluang sebegini tidak mahu dilepaskannya begitu sahaja, walaupun dia belum mengetahui apakah kerja yang hendak ditawarkan oleh Qassim, atau bapa si Qassim itu.
“Job apa? Aku rekabentuk grafik dengan ambil gambar retilah, kalau nak kena kerja dengan abah kau buat rumah aku tak reti,” jawab Amar. Amar hanya mengetahui bahawa bapa Qassim, Datuk Shukur menjalankan projek-projek perumahan sahaja, tiada projek perniagaan lain selain itu.
“Ke situ pula. Ini job ambil gambarlah. Kalau kau buat, boleh makan puluh ribu tau. Lima angka tu. Nak tak?” ujar Qassim. Mata Amar membulat. Sungguh dia sudah tertarik.
“Kerja apa?”
***************************************************************************************
“Kau nak pergi Asia Barat?” soal Qassim.
“Mana? Mesir? Lubnan? Jordan? Syria?”
“Palestin.” Senyap. Qassim memandang tepat ke arah Amar. Matanya tak berkelip. Sejurus kemudian dia tergelak besar dan bersandar di atas kerusi yang didudukinya. Amar hanya memandang gelagat Qassim dan akhirnya ikut tergelak sama beberapa ketika. Keadaan kembali senyap semula beberapa jurus. Yang kedengaran hanyalah bunyi kenderaan yang ulang-alik di hadapan studio Amar.
“Amar.”
“Ya.” Amar menekan perutnya setelah penat ketawa.
“Aku serius ni. Kau nak pergi Palestin tak? Kau ambil gambar, kau balik. Selesai. Bukannya pergi seorang diri je,” Qassim cuba meyakinkan Amar.
Amar hanya memandang Qassim. Senyap lagi. Kemudian dia memandang ke luar studionya. Mencari-cari sesuatu yang tidak pasti.
“Berapa abah kau nak bayar?” tanya Amar.
“Aku tak pasti, tapi kau akan dibayar oleh abah aku untuk dokumentasi program bantuan kemanusiaan kumpulan dia, ribu jugalah. Kumpulan Lembah Aman dia punya tu. Kemudian kau ada job untuk dua paper yang nakkan gambar-gambar daripada sana. Sambil menyelam minum air bro. Banyak upah ni. Duit, Mar, duit,” kata Qassim.
Amar mencongak sendiri di dalam benaknya. Mengambil gambar untuk suratkhabar memang menjanjikan wang yang bukan sedikit, apatah lagi jika gambar-gambar yang diambil itu berasal daripada kawasan bergolak seperti Palestin. Jika dia menerima kerja itu, dia juga boleh mengumpulkan gambar-gambar khas untuk dijadikan sebuah buku gambar berkaitan Palestin pula, tentu laku nanti.
“Paper mana yang nak gambar-gambar tu?” soal Amar lagi.
Qassim melihat ke atas dan memejamkan matanya, mahu mencari-cari nama suratkhabar yang dinyatakan oleh bapanya sebelum ini.
“Alah aku terlupalah. Tapi ada dua. Satu Melayu satu orang putih. Kau terimalah, aku malas nak cari orang lagi ni. Ni abah aku yang minta tolong aku carikan, jadi kalau ikut aku, aku nampak kau je,” jawab Qassim.
“Tapi abah kau pun nak bayar aku jugalah ya? Kira aku ada tiga employers? Macam mana dengan penerbangan, penginapan, makan minum aku?”
“Aah, kira kau ada tiga boslah. Bayaran pun dapat tiga sumber. Itu yang boleh cecah lima angka tu. Pasal makan minum apa semua tu, mestilah kumpulan abah aku tu tanggung, kau jangan risaulah.”
“Nantilah aku fikirkan. Aku nak tanya Balqis,” ujar Amar.
Kalau diikutkan hati, memang sudah diterima tawaran lumayan itu. Namun dia ingin menjaga hati Balqis. Dia ingin berkongi dengan Balqis. Dia tiada sesiapa lagi selain Balqis. Itu pun Balqis masih nak meraguinya lagi. Amar seorang anak yatim piatu yang dibesarkan di rumah anak-anak yatim As-Saufi. Ayahnya tidak pernah dikenalinya kerana dia telah meninggal sejak dia masih dalam kandungan lagi. Semenjak kematian ayahnya, ibunya pula jadi tidak keruan. Akhirnya ibunya juga meninggal dunia ketika hendak melahirkan Amar. Tinggallah Amar sebatang kara, tiada saudara yang hendak ambil peduli. Lantas dia diserahkan ke rumah anak-anak yatim itulah sehingga dia berjaya menjejakkan kaki ke universiti dan bertemu dengan Balqis.
Malam ini dia bercadang untuk mengajak Balqis makan malam bersama sempena mendapat bayaran daripada Qassim itu tadi. Dan menceritakan berkenaan tawaran kerja bapa Qassim itu kepadanya.
************************************************************************************
Jawablah, jawablah, getus hati kecil Amar sambil menekapkan telefon bimbit ke telinga kanannya. Panggilan-panggilannya tidak dijawab langsung oleh Balqis. Mesej yang dihantarnya tidak juga berbalas. Ikutkan hati, ingin saja Amar menelefon Anis untuk bercakap dengan Balqis, namun nombor telefon Anis tak pula dipunyainya.
“Ah, orang telefon tak nak angkat. Merajuklah sampai bila-bila,” kata Amar lalu melemparkan telefon bimbitnya ke atas tilam yang empuk di biliknya. Amar pun berbaring sambil memejamkan matanya. Kata-kata Qassim yang menjanjikan pendapatan yang lumayan itu sangat menggodanya. Dia sudah terbayang-bayang sejumlah wang yang ditulis di atas cek untuk dirinya. Bolehlah mencukupkan wang simpanannya. Bolehlah cepat-cepat kahwin. Balqis pun tak merajuk lagi. Tahun ini juga boleh kahwin. Tapi orang telefon dia tak nak jawab, huh.
Lantas Amar duduk di atas katilnya dan mencapai telefonnya semula. Dia mencari-cari nama Qassim dan menekan butang panggil. Dia menanti panggilannya dijawab dengan hati berdebar-debar.
Saturday, February 19, 2011
Semoga Dunia Berada Di Tanganku, Namun Bukan Di Hatiku!
- Kerjaya guru memang mulia, namun bukan semudah yang disangka umum.
- Bagaimana dengan guru yang masuk lewat ke kelas tanpa sebarang aral, halalkah gajinya?
- Bagaimana dengan guru yang keluar awal dari kelas tanpa sebarang sebab yang membenarkannya, halalkah gajinya?
- Bagaimana pula dengan guru yang tidak berusaha memahamkan murid-murid yang tidak faham akan isi pelajaran hanya kerana mereka murid-murid kelas belakang?
- Guru sebegini beralasan murid-murid kelas belakang memang lembam, maka cukuplah diterangkan sekadarnya, lantas sebulatnya menyerahkan kepada keupayaan murid-murid sahaja untuk menghadamkan ilmu tanpa mencari alternatif pengajaran yang sesuai dengan tahap murid-murid itu sendiri.
- Halalkah gajinya?
- Semoga dunia berada di tanganku, namun bukan di hatiku.
Tuesday, February 15, 2011
Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O Cinta
- Dia dan kawannya menatap-natap akhbar pada hari itu tatkala dia tiba-tiba sahaja memalingkan mukanya ke arah kawannya seraya bertanya, "Apa rancanganmu pada hari cuti sebegini?"
- Kawannya meletakkan akhbar tersebut ke atas meja lantas menjawab, "Aku akan ke hotel Besar Lagi Mewah untuk membeli pakej makan malam+sarapan serta penginapan yang disediakan oleh pihak hotel sempena 14 Februari ini,"
- Dia hanya memandang kawannya tanpa kata dan apabila hal ini disedari oleh kawannya, terus kawannya berkata, "Kau jangan nak samakan aku dengan mereka, aku tak sambut Hari Kekasih atau Hari Valentine itu, aku pergi ke hotel itu pun bersama isteriku, yang sah lagi halal!"
- Dia masih diam tanpa bicara, lantas kawannya pun menambah, "Aku tak sambut tanggal 14 Februari yang dijaja masyarakat Barat itu, ok. Aku cuma mengambil kesempatan sempena pakej makan dan inap yang murah yang disediakan oleh hotel itu saja! Tak lebih dari itu!"
- Dia menghulurkan tangan mencapai cangkir kopi o yang di atas meja lantas meneguknya perlahan-lahan. Kawannya yang tidak berpuas hati berkata, "Terpulanglah jika kau mahu memandang serong akan niatku, aku cuma menggunakan duitku sendiri untuk membeli pakej murah itu untuk diriku dan isteri tanpa sebarang niat untuk menyambut Hari Valentine, sama seperti engkau juga yang membeli dan makan limau serta oren pada Tahun Baharu Cina tanpa niat untuk menyambutnya!"
- Dia yang dari tadi membisu kini bersuara, "Aku tak berkata apa-apa pun. Aku ingatkan kau nak berkata tentang program Maulud Nabi pada cuti 12 Rabiul awal ini. Iyalah, tanggal yang sama di mana Junjungan Besar kita Muhammad S.A.W dilahirkan, berhijrah dan meninggal."
- Kawannya hanya terdiam lantas meneguk cangkir kopi o-nya pula.
Friday, February 11, 2011
Diganjar di Penghulu Hari
- La ilaha illallah.
- Pendek saja bukan? Cuba baca sekali lagi, tetapi cubalah baca dengan lebih asyik - bukan seperti peluru sesat.
- Sekarang cuba sebut juga Subhanallah, juga Allahuakhbar, juga selawat atas junjungan Nabi Muhammad SAW. Modalnya sedikit, ganjarnya banyak.
- Kalau malas juga, sebutkan dalam hati saja.
- Hari ini Jumaat, banyak pahala berselawat pada hari Jumaat, percuma sahaja! Apa lagi yang kita mahukan?
- Tidakkah pernah sedetik terkadang kita merasa betapa kurangnya amal kita yang mudah ini dibandingkan dengan kesalahan yang meluncur deras di celah-celah waktu sepanjang hari ini?
- Hasbi ALLAH. Ya Robbi, anta maksudi!
Saturday, February 5, 2011
Anak-anak rantau
- Akhirnya penempatan kami sudah diketahui, maka bertaburanlah kami ke seluruh pelusuk negara.
- Wajah-wajah setiap sahabat yang tetap kekal di hati. Berjuanglah demi agama dan negara.
Tuesday, February 1, 2011
Eh! Tak Payahlah!
- Eh, tak payahlah pergi masjid, bukan kena bayaran masuk pun masjid tu!
- Eh, tak payahlah wudhuk, bukan wudhuk guna api dan bara pun tapi guna air je!
- Eh, tak payahlah solat, bukan solat lima jam pun tapi lima minit je!
- Eh, tak payahlah berzikir, bukan kena gerakkan gunung pun tapi gerakkan lidah je!
- Eh, tak payahlah berselawat, bukan kena berjuang dengan hujung pedang pun tapi berjuang di hujung lisan je!
- Eh, tak payahlah bersedekah, bukan wajib bagi sejuta ringgit pun tapi sepuluh sen pun tak apa!
Saturday, January 29, 2011
Dia dan Kawannya: Secangkir Kopi O dan Paderi Jones
- Dia dan kawannya masih di warung meneguk sisa kopi o dan membelek akhbar ketika kawannya itu bertanya, "Kau kenal dengan paderi Terry Jones?"
- Dia menjawab, "Paderi Jones yang nak membakar al-Quran dulu tu? Mestilah kenal, dengan misainya ala Hulk Hogannya itu.''
- Kawannya berkata, ''Sekarang dia nak buat benda lain pula, Hari Membakar al-Quran dah tak jadi, sekarang dia nak buat Hari Menghakimi al-Quran. Dia cabar sesiapa yang dapat membuktikan al-Quran tak bersalah terhadap jenayah dan keganasan untuk tampil membela al-Quran. Kalau al-Quran terbukti bersalah, al-Quran akan dihukum dengan dibakar, ditembak atau apa-apa lagi yang difikirkan relevan oleh juri mahkamah tu nanti!''
- Dia menjawab, "Masa nilah orang yang bijak mengkaji kitab ALLAH semacam Ahmad Deedat itu diperlukan, kita buktikan al-Quran itu benar,"
- Kawannya pula berkata dengan semangat, "Benar! Sedang mereka tak sedar bahawa Bible mereka yang beraneka itu yang salah, bahkan ada ayat lucah di dalamnya!''.
- Dia berkata, "Eh, kau tahu tentang itu?" Kawannya pun menjawab dengan bangga, "Mestilah! Aku pun baca juga tulisan-tulisan Ahmad Deedat itu!"
- Dia bertanya lagi, "Eh, kau tahu tak ayat al-Quran ada berapa semuanya?" Kawannya hanya diam lantas meneguk kopi o itu.
Saturday, January 22, 2011
Kerana Cinta Gaza - Empat
BAB 4
Majlis perkahwinan Qassim dengan isterinya Nur Zaleha berlangsung dengan sangat meriah. Ramai tetamu yang hadir pada hari itu. Daripada sanak-saudara, sahabat-handai, rakan-rakan satu sekolah dan jiran tetangga. Namun tidak pula kelihatan rakan-rakan sekuliah Qassim ketika di universiti dahulu, kecuali Amar. Itu pun kerana Amar ditugaskan untuk mengambil gambar. Qassim memang tidak begitu digemari oleh rakan-rakannya ketika belajar dahulu. Majlis perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha yang gemilang itu diadakan di Dewan Bankuet Hotel Regency yang ditempah khas untuk menampung banjiran tetamu yang telah diundang. Seluruh dewan disimbahi lampu keemasan, menyerikan lagi persalinan pengantin yang serba putih mutiara bersulamkan benang ungu.
Di celah-celah kemeriahan dan kesibukan orang ramai yang hadir, Amar mengacukan lensa kamera DSLRnya dan cuba untuk mengabadikan momen-momen yang bermakna. Dia tidak pula berpakaian baju Melayu seperti kebanyakan tetamu yang lain, cuma kemeja lengan pendek dengan vest hitam serta seluar khakis. Di bahunya tergalas sebuah beg kamera dan sebuah lagi kamera DLSR dengan lensa telefoto untuknya mengambil gambar daripada jarak jauh. Untuk mengambil gambar yang berkualiti dan cantik dilihat, cantik dicetak, perkara yang paling utama adalah komposisi gambar itu sendiri. Penggunaan simetri, permainan bokeh dan garisan-garisan, lead in lines, rule of third dan sebagainya perlu bijak dimanipulasikan dalam keadaan majlis sebegini yang sibuk dengan ramai orang.
Kali ini Amar berpasangan dengan Tony bagi melaksanakan kerja mengambil gambar dan merakam video perkahwinan Qassem dengan Nur Zaleha untuk memastikan tiada momen berharga yang terlepas daripada lensa kamera mereka. Dia sudah banyak kali bekerjasama dengan Tony dan dia sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Tony juga tidak pernah meminta upah yang mahal kerana dia seorang jurutera TNB yang menjadikan fotografi tidak lebih daripada sebagai satu hobi sahaja. Hal ini yang lebih menggembirakan Amar kerana sudah tentu dia dapat mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan dirinya sendiri.
Amar yang mempunyai ijazah dalam rekabentuk grafik tidak berjaya mencari pekerjaan yang memuaskan hatinya sebelum ini. Gaji yang diterima tidak cukup baginya, lantas Amar memohon pinjaman bank dan memulakan studionya sendiri. Perniagaannya menawarkan perkhidmatan fotografi untuk apa jua acara serta mengambil tempahan untuk membuat kain rentang serta papan tanda iklan. Setakat ini dialah tuan dan dialah juga kuli. Sekali-sekala dia akan meminta bantuan orang seperti Tony untuk mengendalikan majlis-majlis yang besar sebegini. Pendapatan yang diterimanya lumayan sedikit berbanding dengan gajinya ketika bekerja di bawah orang lain dahulu, namun semuanya bergantung kepada jumlah tempahan kerja yang diterimanya.
“Amar, bila nak buat photoshoot di luar?” soal Tony setelah dia melabuhkan punggung di sebelahnya yang sedang menikmati hidangan nasi minyak itu. Majlis telah berakhir dan para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan dewan.
“Entahlah Tony, kita kena tunggu, jumpa pengantin dulu. Tengok jadual macam mana. Kau tak makan ke?” soal Amar setelah menelan suapan nasinya.
“Aku makan nantilah. Ambil bungkus saja kot. Jadi yang outdoor tu nak buat kat mana?” tanya Tony sambil membelek-belek imej yang telah ditangkapnya menggunakan DSLRnya yang besar lagi mahal itu. Tony menggunakan Canon EOS 5D Mark III, sedangkan Amar menggunakan Canon 7D dan Nikon D90.
“Itu pun aku tak pasti lagi. Asyik pergi tasik saja. Aku fikir kebun getah pun ok. Sesekali buat kelainan, hehe.” Amar sengih sambil menjeling untuk melihat imej yang dirakam oleh Tony. Tony memandang Amar seraya tersenyum. Kedua-duanya tergelak.
“Aku on saja, Amar. Baru mencabar kreativiti,” ujar Tony seraya meleraikan lensa daripada badan kameranya. Lantas dia memasukkannya kemas-kemas ke dalam beg kamera yang disandangnya. Tony bangun dan memandang sekeliling.
“Aku nak pergi jumpa pengantin, ambil nasi dan terus balik. Apa-apa nanti kau roger akulah, ok? Nak pindahkan gambar-gambar ni kemudian nak enhance warna dia ke apa ke malam ni sebelum tidur,” kata Tony lagi.
“Tak mau teman aku makan ke?” soal Amar.
“Tak maulah. Aku nak balik terus lepas ni. Esok aku kerja kau tahu.”
“Alah, makan sekejap je.”
“Tak naklah. Aku bukan kenal pun, kawan kau yang kahwin. Ha, kalau kau yang kahwin aku makanlah. Haha.”
“Haha, iyalah Tony oi. Oklah, terima kasih ya tolong aku lagi. Nanti aku bagitahu apa-apa perkembangan, kita buat outdoor photoshoot pula dengan pengantin ni,” kata Amar. Tony hanya tersenyum dan meninggalkan Amar yang masih mengunyah di meja makan tersebut.
***************************************************************************************
Selang beberapa jurus bahu Amar ditepuk. Amar berpaling dan mendapati Qassim berdiri di sisinya.
“Cukup ke makan? Tambahlah lagi.”
“Cukuplah ni, biasanya aku tak makan kat majlis orang macam ni, tapi sebab kau yang kahwin, aku makanlah juga,” Amar mengelap mulutnya dengan tisu yang disediakan di atas meja.
Qassim lantas menarik kerusi di sebelah Amar dan menoleh ke kanan dan ke kiri. Matanya mencari-cari.
“Mana pekerja kau tu?”
“Siapa? Yang ambil gambar tadi?”
“Iyalah, kau bawa seorang pekerja saja kan,” Qassim mencapai seulas buah oren yang ada dihadapannya lantas memasukkannya ke dalam mulut. “Tak sempat nak makan lagi, hehe”. Qassim menyengih.
“Hehe, makanlah. Yang aku bawa tadi tu bukan pekerja tapi kawan aku juga. Tony tu ada kerja bagus dah tapi dia tolong-tolong aku je ambil gambar kalau ada event besar macam kau punya majlis ni. Aku bagilah upah sikit kat dia,” ujar Amar. Qassim mengangguk-angguk. Diambilnya seulas lagi buah oren dan menyuapkannya ke dalam mulut.
“Habis dia tak makan ke?” soal Qassim.
“Dia ambil nasi bungkus je katanya. Dia tak jumpa kau dulu ke sebelum balik?”
“Tak ada pun. Dia jumpa abah aku kot.”
“Hmm..” Amar pula mengangguk.
“Kau dengan Qis bila lagi?”
“Apa dia yang bila?”
“Kahwinlah, apa lagi.” Jawab Qassim tersenyum. “Bercinta bagai nak rak masa kat U dulu.”
“Tunggulah ada rezeki. Aku nak juga buat event macam kau ni. NI tengah mengumpul danalah ni. Lainlah kalau kau nak support.” Amar menggesel-geselkan ibu jari dan jari telunjuknya ke arah Qassim. Amar baru teringat yang Balqis tidak ada menghubunginya lagi sejak pertengkaran mereka yang bersaksikan Pantai Tanjung Bidara tempoh hari. Masih merajuk lagi agaknya si Balqis ni.
“Haha, aku kahwin ni pun abah aku yang support. Nak bayar kau ambil gambar je guna duit aku tau. Kau ni bukan nak ambil gambar free.”
“Kalau free lagi lambatlah aku kahwin kau tahu,” Amar meneguk baki air oren yang berada di dalam gelasnya. Perlahan-lahan dia menelan. Setelah itu dia meletakkan gelas tersebut di hadapannya dan menggapai beg kamera di sebelahnya.
“Aku ingat nak gerak dululah, kau susunlah jadual kau, urusan macam mana baju pengantin kau tu untuk outdoor photoshoot. Nanti kalau dah confirm kau bagitahu akulah ya,” Amar menghulurkan salam kepad Qassim. Tangannya disambut lantas mereka berdiri bersama-sama.
“Em, iyalah. Nanti apa-apa hal aku telefon. Terima kasihlah Amar,” kata Qassim.
“Oklah Sim, selamat pengantin baru. Kirim salam kat isteri kau, haha,” Amar mengusik dan meninggalkan meja tersebut. Qassim hanya tersengih.