Wednesday, January 12, 2011

Serangga Apakah?

  1. Pagi tadi saya menangkap gambar untuk memenuhi masa senggang. Saya tidak tahu apakah jenis serangga yang saya lihat 'bertenggek' di celah-celah pokok bunga matahari yang mama saya tanam.
  2. Ini adalah imej serangga tersebut.

  3. Kemudian saya pergi ke kedai sebentar, tak sampai sepuluh minit saya keluar. Apabila sampai ke rumah lantas saya pun mengambil kamera semula untuk menyambung aktiviti menangkap gambar tadi. Namun salah satu daripada serangga itu sudah bertukar kepada ini. Wallah! Kulitnya sudah terkupas!



  4. Sesungguhnya ciptaan ALLAH SWT sangat unik dan pelbagai, sampai kita mati nanti pun masih ada saja makhluk ciptaan ALLAH SWT (dalam konteks binatang) yang kita tak pernah lihat, bukan?

Finally I changed the layout of my blog, from all black to all white! Well, there are a little bit of orange and green. And a new, simple header (banner) too.

Tuesday, January 11, 2011

Photography 101: Nothing new, just a Flickr.

It has been some time since I last wrote an entry in English, which the English entries were mainly about photography. I did a Flickr account some time ago, but somehow I slipped the ID and the password from my mind (getting old already, but Dr Tuah Iskandar al-Haj would be mad if we blame ageing for forgetfulness, if you read his books) therefore I couldn't accessed my own Flickr account.

So I did another account and I thought, okay, it's new year, 1432H and 2011 and this could be a rebranding step for my photography activities. I can look between my photos and pick the best and get rid of the tak jadi ones, as if there is anybody that cares to look at my Flickr, hahe. So I would like you to visit my new Flickr account by clicking here, however there are only a few photos there because I still need to arrange my photos in the disks. So do visit here whenever you are free ya. Thanks!

Sunday, January 9, 2011

Ayat-Ayat Syifa' dan Air Zamzam

Kita tidak boleh berputus asa dalam berusaha mengubati penyakit, walau apa jua penyakit yang kita hidapi. Di bawah adalah ayat-ayat syifa' (ubat/penyembuh) yang terdapat dalam al-Quran. Ada enam semuanya yang ditemui oleh Imam Abu Qasim Qushairi yang digunakan untuk merawat anaknya.

Surah at-Taubah ayat 14



Surah Yunus ayat 57


Surah an-Nahl ayat 69


Surah al-Isra' ayat 82

Surah Asy-Syua'ara' ayat 80


juga Surah Fussilat ayat 44


Jangan lupa juga mencuba dengan air zamzam juga ya. Saya sendiri pun ingin mencari air zamzam. Sedang al-Allamah Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah mencuba mengubat dirinya dengan air zamzam yang dibacakan al-Fatihah berulang kali. Namun harus diingat minum air zamzam harus diikut adabnya ya.

Thursday, January 6, 2011

Kerana Cinta Gaza - Tiga

BAB 3

“Kenapa ni Qis?” soal Anis setelah melihat temannya itu menghempaskan diri ke atas katilnya. Balqis hanya mendiamkan diri dan merenung ke arah syiling.

“Aku rasa Amar tu dah tak suka kat akulah,” kata Balqis. Anis hanya memandang kelakuan Balqis itu daripada jauh. Dia hanya tersenyum. Biarpun usia mereka sama namun gadis sunti berumur 26 tahun itu sudah dianggap seperti adiknya sendiri. Perangainya yang manja itu memang sudah difahami. Anis memang sudah masak dengan pasang surut kisah percintaan Amar dan Balqis semenjak dia duduk serumah dengan Balqis. Dalam seminggu, atau paling kuat pun dua minggu, pasti mereka akan bergaduh kecil.

“Kenapa kau cakap macam tu?” soal Anis. Dia bangun dan mendapatkan Balqis yang sedang berbaring di katil sambil memeluk bantal goleknya.

“Aku ajak kahwin pun dia tak nak,” ujar Balqis. Dia memusing-musingkan cincin pemberian Amar semasa di universiti dulu yang tersarung di jari manisnya. Cincin yang sudah tersarung selama tiga tahun dan bertukar-tukar duduk jarinya. Sekejap di jari manis kanan, sekejap di jari manis kiri, semuanya kerana perubahan saiz jarinya akibat kegemukan sementara.

“Janganlah bersikap kebudak-budakan Balqis. Cuba bawa berbincang elok-elok. Mesti dia ada sebab dia,” kata Anis cuba memujuk.

“Alah, sebab yang sama saja setiap kali. Duit, duit, dana. Bosan!”

“Sabarlah Balqis. Dia pun dah kenal keluarga kau, keluarga kau pun dah kenal dia, dah suka dia. Takkan lari punya dia. Tapi kau janganlah memaksa,” ujar Anis lembut.

“Aku ajak bertunang pun tak nak. Nak kahwin teruslah katanya. Tunang seharilah, itulah, inilah, apalah. Dulu masa di universiti, dia yang nak sangat bertunang cepat. Bercerita bukan main lagi. Mak aku juga yang bising sekarang ni kau tahu,” bebel Balqis lagi. Balqis bingkas bangun dan mencapai tuala yang tersidai. Tudungnya dileraikan dan dia melangkah masuk ke dalam bilik mandi. Dia membuka pili dan mengisi air ke dalam tab mandi.

“Aku nak berendam lama-lama, nak tidur sekejap,” lantas Balqis menutup pintu gelongsor bilik mandi tersebut. Anis hanya memandangnya.

**********************************************************************************

“Balqis! Telefon kau berbunyi ni!” jerit Anis sambil memegang telefon bimbit Balqis.

“Alah, jawabkanlah,” ujar Balqis dari dalam bilik mandi.

“Ni Amar telefon ni, tak nak angkat ke?” soal Anis. Di skrin telefon bimbit tersebut tertera nama dan gambar pemanggil. Sudah dua kali berturut-turut telefon Balqis berbunyi.

“Amar? Tak apa, kau jawabkanlah. Cakaplah aku sibuk,” kata Balqis lagi yang sedang berendam di dalam tab mandi itu. Anis pun mengangkat bahu dan menekan telefon bimbit tersebut untuk menjawab panggilan.

“Hello assalamualaikum,”

“Waalaikumsalam, eh ni siapa?” kedengaran suara Amar dari sebelah hujung.

“Ni Anis, kawan rumah Balqis. Dia sibuk. Nak tinggal pesan?”

“Oh..sibuk.. Em, tak ada apa-apa, saja nak telefon. Ingatkan nak tanya dia samada dia nak pergi tak ke majlis kahwin kawan kami dulu masa kat U sebab dia ada dapat kad,” balas Amar dengan suara sedikit kecewa. Bukan suara Balqis yang diharapkan itu yang kedengaran.

Klik sini untuk bahagian Satu dan Dua.

Tuesday, January 4, 2011

Cerpen: BCC UNTUK AYAH



Muhammad Hamzah memusingkan stereng kereta yang dipandunya ke sebelah kanan. Perlahan-lahan dia membelok masuk demi mengelakkan percikan air dari lecak yang terdapat di bahu jalan tersebut. Sayang sungguh jika badan kereta Nissan Sunny 130Y yang baru dicat semula berwarna putih champion yang dipandunya itu tercalit noda-noda campuran tanah dan air yang keperangan itu.

Lantas fikiran Muhammad Hamzah terlontar pada barisan rim sport yang baru sahaja ditukarkannya bersama tayar-tayar yang baru. Aduhai, jangan-jangan sudah kotor rim ni, getus hati kecilnya. Ikutkan hati ingin sahaja dia memberhentikan keretanya ke tepi jalan dan membersihkan rim-rim tersebut seandainya sudah terpalit lumpur. Suatu perasaan seperti orang yang pertama kali memiliki kereta. Namun batas masa yang semakin suntuk tidak mengizinkannya berbuat demikian. Dia harus sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Hujan renyai yang menemaninya sejak tadi mencuri sedikit masa yang diperlukan untuk dia sampai ke sana. Ini semua salah si Tan. Kalau dia cepat-cepat buat kereta ni, taklah aku tergesa-gesa begini.

“Ini 15 inci sudah cukuplah bos. You punya enjin pun standard punya kan?” ujar Tan sambil mengesat pangkal keningnya lantas meninggalkan kesan minyak di situ. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk tanpa memandang ke arah Tan, sebaliknya dia melihat-lihat tayar kereta Nissan Sunny tersebut.

“Kalau 16 ke 17 ke, tak boleh ke Tan?” Muhammad Hamzah mengerling.

“Boleh tu boleh bos, tapi dengan enjin 1300cc ini macam, kalau you kasi taruk rim lagi besar daripada 15 inci, nanti kurang kuasa, kurang sesaran. Nanti silap-silap, you punya bacaan speedometer pun tak tepat tau,” ujar Tan lagi.

“Em, bolehlah. 15 inci pun oklah. Kasi warna perak tau. Sama macam warna rim asal tadi.”

Muhammad Hamzah meningkatkan kelajuan keretanya. Bunyi enjin yang sangat dikenalinya itu menderu dalam keheningan malam yang dingin itu. Tidak disangkanya enjin tersebut masih boleh digunakan lagi. Baguslah, sekurang-kurangnya nadi kereta tersebut masih sama seperti yang pernah digunakan oleh ayahnya dahulu.

Muhammad Hamzah masih ingat lagi peristiwa itu yang tersimpan segar dalam ingatannya. Ketika kereta Nissan Sunny putih tersebut baharu lagi dibeli oleh ayahnya, sewaktu itu dia baru sahaja berumur 10 tahun. Ayahnya pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta yang belum pernah dilihatnya selama ini. Muhammad Hamzah sungguh teruja hinggakan dia pernah menghabiskan masa sepetang di dalam kereta tersebut dengan mendengar radio sambil berangan-angan di hadapan stereng kereta sehingga dia terlelap di situ.

Kereta itu dibeli sebagai kereta second hand dengan harga RM20 000 jika dia tidak silap. Kereta itu amat penting memandangkan saiz keluarganya yang semakin bertambah, semakin membesar. Menaiki motor sudah tidak relevan lagi. Namun hanya kereta itu yang mampu dibeli oleh ayahnya ketika itu dan dia sangat bersyukur dengannya. Banyak jasa yang telah ditabur oleh kereta tersebut dalam menghantarnya ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari tanpa jemu dan kini kereta tersebut telah ‘dihidupkan’ kembali setelah sekian lama terbiar di belakang rumah ayahnya. Pernah ada orang yang hendak membeli kereta tersebut namun ayahnya enggan menjualkannya walaupun sudah tersadai begitu. Mungkin lebih baik begitu bagi ayahnya. Sejak adik-beradiknya mempunyai kerja masing-masing, kereta tersebut tidak digunakan lagi, dan ayahnya hanya menggunakan motor sahaja untuk ke mana-mana.

Jika kereta ayah tersebut telah banyak berjasa, maka sudah tentu ayah lebih banyak lagi budinya kepada Muhammad Hamzah dan adik-beradiknya. Pengorbanan ayah untuk membuat pinjaman demi membeli kereta tersebut untuk menjamin keselesaan anak-anaknya bersekolah dan mengharungi hidup sangatlah dihargainya, namun tiada pula kata-kata seperti ‘saya sayang ayah’ yang terpancar dari bibirnya kerana Muhammad Hamzah merasakan agak janggal untuk melakukan sebegitu. Dia tidak pernah menzahirkan ucapan kasih kepada ayahnya sendiri dan kadangkala terbit rasa kesal di hatinya dengan sikapnya sendiri. Sungguh dia menyintai ayahnya dan mahu menjaga segala keperluannya namun lafaz kasih sahaja yang masih terpendam. Baginya cukuplah perbuatannya sahaja yang mewakili rasa kasihnya yang dalam.

Mus. Mus. Mustakim…” baca ayahnya sambil menggenggam sebiji cili hijau di dalam tangan kanannya. Suasana senyap beberapa jurus.

Ihdinaous sirotol moustakim…” baca Muhammad Hamzah pula dengan suara perlahan. Air mata bergenang di kelopak matanya. Sudah berulang kali dia membaca ayat yang sama sahaja.

Mus. Bukan mous. Huruf sin tu bukan huruf sod. Ni cili hijau dah tunggu ni. Baca betul-betul.” Ayah menggentel-gentel cili hijau tersebut di hadapan Muhammad Hamzah. Setitik dua air mata Muhammad Hamzah jatuh ke atas lembaran muqaddam tersebut. Hatinya menggerutu. Sekejap aku baca bunyi sod, sekejap bunyi tsa. Macam mana nak buat bunyi sin. Lantas malam itu Muhammad Hamzah merasalah makan cili hijau mentah-mentah di hadapan ayahnya dan sejak itu dia tidak pernah lagi silap dalam membunyikan ketiga-tiga huruf arab tersebut.

Muhammad Hamzah tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa itu. Sungguh ayahnya telah banyak berbudi kepada mereka adik-beradik. Segala tunjuk ajar ayah meresap masuk ke dalam sanubari Muhammad Hamzah. Terima kasih ayah.

Patutlah perjalanan itu terasa sunyi, rupa-rupanya radio kereta tersebut tidak dihidupkan. Muhammad Hamzah mencapai punat radio yang terdapat di sisinya. Radio Blaupunkt kereta tersebut yang asal sudah diganti dengan versi baharu, dengan sistem bunyi yang baharu juga. Boleh memainkan audio berformat mp3, wma, ogg dan sebagainya yang dia sendiri tidak pernah ambil tahu wujud formatnya. Disediakan juga sebuah alat kawalan jauh untuk radio tersebut, namun Muhammad Hamzah merasakan agak kelakar untuk menggunakannya kerana dia dengan mudah boleh menekan-nekan punat radio kereta tersebut tanpa memerlukan sebuah alat kawalan jauh untuk melakukannya. Oh, mungkin alat kawalan jauh itu untuk orang di tempat duduk belakang agaknya. Eh, tapi minta sajalah sesiapa sahaja yang ada di hadapan untuk tolong menekannya. Atau hulurkan saja tangan ke hadapan untuk menekan radio tersebut seperti yang sering dilakukannya ketika kecil dahulu sewaktu ayahnya memandu untuk menghantarnya ke sekolah. Muhammad Hamzah masih merasakan alat kawalan jauh itu tidak memberi sebarang nilai tambah, namun dia menerimanya sahaja kerana itulah yang dia dapat bersama set radio yang baru dipasangnya petang tadi dan dia tidak kerugian apa-apa.

“Lusa baru siap? Apa ni Tan? Dah seminggu aku hantar ni.”

Spare part payah cari bos. Bukan radiator saja bos, itu kipas pun sama. Lainlah kalau you tukar enjin baru,” jawab Tan.

Muhammad Hamzah kegeraman.

“Kalau tak boleh buat, jangan berjanji Tan. Bukan sikit aku bayar ni. Aku tak kira, aku nak guna esok, esok pagi kena siap. Nak hantar cat pula kau tahu. Patut hari ni aku dah dapat ambil kereta ni. Esok petang nak guna kau tau.”

“Alamak sorry bos. Bukan sengaja punya. Kita pun tak mau menyusahkan klien kita. Tak apa untuk you kita kerja overtime punya. Spare part sampai ini petang, kita kasi buat you punya kereta, kita sanggup tak tidur malam punya untuk you,” Tan cuba memujuk.

“Pandailah kau ya. Pastikan esok pagi siap tau. Ha, muffler dah tukar belum? Ke masih yang berkarat punya?” soal Muhammad Hamzah sambil bergerak ke belakang kereta. Tan mengekorinya daripada belakang dan menunjukkan kepada Muhammad Hamzah.

“Ini you jangan risau, sudah lama kita buat. Tapi ini muffler besar sikit dari yang lama punya. Yang lama punya macam batang paip saja. Kasi ekzos you bergaya sikit oh?”

“Ha nasib baik kau dah buat. Kalau tak aku tarik kereta aku ni bagi orang lain saja buatkan. Em, besar ni cukuplah, jangan besar sangat sebab enjin pun standard.”

“Wah betul-betul. You pun sudah faham, bolehlah buka bengkel lepas ini,” ujar Tan sambil tergelak besar.

Muhammad Hamzah tersenyum.

“Kalau aku buka bengkel, tak lakulah kedai kau nanti.” Tan tergelak lagi.

Papan tanda Lapangan Terbang Kepala Batas menyambut kehadiran Muhammad Hamzah dengan kereta ‘barunya’ sejurus selepas dia membelok ke simpang tersebut. Tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut pada waktu malam begini. Hanya barisan lampu jalan yang berderet-deret melimpahkan cahaya kuning yang menemani perjalanannya. Muhammad Hamzah mengerling jam digital keretanya. Em, patut lima minit lagi sampailah penerbangan itu. Sedang elok saja aku tiba ni, tak perlulah menunggu lama-lama.

Muhammad Hamzah memandu keretanya mendaki bukit untuk ke kawasan mengambil penumpang yang berhadapan dengan pintu utama lapangan terbang kecil tersebut. Kelihatan tiga empat buah kenderaan sudah berada di situ, bersedia untuk menjemput penumpang mereka masing-masing. Ada yang menanti di hadapan kenderaan, ada yang menunggu sahaja di dalam kereta.

Muhammad Hamzah memperlahankan keretanya ke sebelah kiri jalan dan memberhentikannya di situ. Kemudian dia pun keluar daripada keretanya dan berjalan ke arah pintu utama lapangan terbang tersebut. Muhammad Hamzah berjalan laju-laju dan memasuki kawasan lobi lapangan terbang tersebut yang lenggang. Hanya terdapat pekerja-pekerja lapangan terbang dan petugas-petugas syarikat penerbangan di kaunter tiket syarikat masing-masing. Mereka memandangnya lantas tersenyum dan Muhammad Hamzah hanya melemparkan senyuman tawar ke arah mereka. Muhammad Hamzah memang tidak tahu bermesra.

Selang dua tiga jurus, kelihatan kelibat-kelibat manusia berjalan dengan mengheret beg-beg troli daripada kawasan ketibaan dan disambut oleh para petugas di situ. Mata Muhammad Hamzah meliar untuk mencari-cari sesusuk tubuh yang dikenalinya, namun tidak kelihatan. Satu demi satu penumpang berlalu sehinggalah kepada penumpang yang terakhir namun tidak juga dijumpai apa yang dicarinya. Muhammad Hamzah mula kaget. Dia melihat papan tanda ketibaan. Sepatutnya sudah tiba. Bahkan lima minit tadi.

Tiba-tiba belakang bahu kanannya ditepuk perlahan.

“Kau cari siapa Hamzah?”

Muhammad Hamzah segera berpaling. Suara yang amat dikenalinya itu membuatkannya tersenyum sendiri.

“Sudah lama ayah sampai?” soal Muhammad Hamzah lantas menghulurkan salam dan dicium tangan mulia ayahnya itu.

“Adalah beberapa minit. Pergi tandas sekejap tadi. Transit sekejap saja di KLIA, terus ke mari. Sudahlah, ayah nak berehat. Jom hantar ayah balik.” Ayahnya mengangkat beg di sisi namun cepat-cepat diambil oleh Muhammad Hamzah. Mereka pun berjalan beriringan ke arah pintu utama.

“Ayah ada belikan sikit barang-barang masa umrah. Bolehlah bahagi-bahagi kau dengan isteri kau. Dengan kakak abang kau,” ujar ayahnya. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk.

“Terima kasih ayah,” Muhammad Hamzah menjawab. “Ayah tunggu sini dulu, saya masukkan barang-barang dalam kereta, lepas itu saya bawa kereta ke sini.”

“Tak apalah, ayah larat lagi nak jalan. Mana kau letak kereta kau?” Ayahnya melihat-lihat ke kanan dan kiri. Muhammad Hamzah tersenyum lagi.

“Ayah tengok kereta putih tu.”

“Kau dah tukar kereta ke Hamzah?”

“Eh, taklah ayah. Takkan ayah tak kenal kereta tu?” Mereka menghampiri kereta Nissan Sunny tersebut. Ayahnya memerhatikan segenap penjuru kereta itu dengan rasa tidak percaya. Keletihan kerana penerbangan tadi langsung tidak dirasainya lagi. Dadanya berdebar-debar.

“Inilah kereta ayah dahulu, BCC 7171. Saya sudah hantar untuk dibaikpulih masa ayah pergi umrah hari tu. Selamat hari lahir, ayah,” ujar Muhammad Hamzah sambil mengunjukkan kunci kereta tersebut kepada ayahnya yang ternyata tidak mampu bersuara.

Mata ayah Muhammad Hamzah berkaca-kaca, lalu mereka dua beranak pun berpelukan.

Saturday, January 1, 2011

Photography 101: Niat (Intentions)


Kali ini saya bukan hendak berbicara tentang aspek teknikal sesuatu fotografi, bukan juga aspek seni daripada segi komposisi, teknik editing atau sebagainya. Cuma mahu kita merenung kembali, apakah niat kita selama ini semasa kita melibatkan diri dalam fotografi ini. Adakah gambar-gambar yang kita compose and capture itu untuk menunjuk-nunjuk kehandalan kita bermain dengan kamera atau menunjukkan kecanggihan gears yang kita miliki?

Marilah kita sedar/insaf bahawa seni fotografi ni sebenarnya bertujuan untuk menunjukkan kebesaran ALLAH SWT yang Maha Kuasa. Biar orang yang melihat gambar-gambar yang kita tunjukkan itu sampai berkata "Oh, hebatnya!" Bukan tukang gambar tu yang hebat, tapi pujian itu kepada ALLAH SWT, oleh kerana gambar-gambar bunga, air terjun, embun, kucing, bayi dan sebagainya yang kita tangkap itu menzahirkan kekuasaan ciptaan ALLAH SWT. Kita cuma membantu menunjukkan apa yang sudah sedia dicipta oleh ALLAH SWT, bukan?


Seperkara lagi, biarlah gambar-gambar yang kita ambil itu tidak mendedahkan aurat orang lain, atau mendedahkan aib mereka. Hmm, pasti kita tak nak dividen daripada saham buruk tu kan... Bayangkan, berapa ramai orang yang punya akses kepada gambar-gambar tu...

Friday, December 31, 2010

Kufi dan Kufi-kufi

Saya telah membaca satu artikel dalam akhbar tempatan beberapa hari yang lalu berkenaan seni Kufi, iaitu sejenis seni kaligrafi yang unik. Tuan Shukor Yahya telah membawakan seni tersebut ke negara kita dan menggelarkannya sebagai kufi-kufi. Saya sangatlah tertarik dan teringin mencubanya sendiri. Di bawah ini adalah hasil saya yang pertama. =)



Cubaan di atas adalah hasil eksperimentasi saya sendiri, kira versi saya tanpa berpandukan mana-mana tulisan kufi. Kemudian saya telah ketemu panduan menulis kufi-kufi oleh Tuan Shukor himself dan berikut adalah hasil kedua saya. Seronok tau apabila berjaya membuat kufi-kufi ni, namun ada sedikit perkara yang saya improvise dalam kufi-kufi di bawah ni.




Cara membacanya adalah dari bawah kiri ke kanan (tulisan jawi ya), kemudian sambung terus secara menegak ke atas, kemudian dari atas terus saja membaca mengikut sambungan, semacam seni fractal. Makin ke dalam. Cubalah!

Siapa boleh baca apa yang tertulis di dalam kedua-dua kufi yang saya hasilkan? Kedua-duanya benda yang sama. Tiada hadiah ya untuk yang berjaya. =)

Wednesday, December 29, 2010

Ukiran Kasih Sahabat


Rona mawar yang menyelaputi jalinan perkasihan

Masih segar walau masanya telah berlalu pergi

Imbauan tawa tangismu bagaikan baru semalam terjadi.

Sakit perit yang kita tempuhi menjadi bukti

Kukuhnya tali persaudaraan ini

Berparut tidak namun terkesan di qalbi.

Jalan ilmu yang kita susuri bersama

Sudah tiba ke persimpangannya

Kau dan aku menurut pula denai berbeza

Menuju destinasi yang tidak serupa.

Walau jalan itu tidak bertabur bunga

Terkadang datang onak menduga

Namun kita cekal berpimpin tangan hingga ke akhirnya.

Kenangi ikrar setia bersama

Ukiran kisah kasih kita

Jangan terhakis pudar terbiar

Diratah usia yang pantas mengejar.

Sunday, December 26, 2010

Pemeriksaan Doktor (lagi)

Tanggal 24 Disember 2010 merupakan hari yang kesekian kalinya untuk memenuhi temujanji dengan doktor pakar. Apabila ditenung-tenung kad temujanji, rupa-rupanya sudah hampir dua tahun berulang-alik ke hospital. Sudah dua hospital menjadi tempat berjanji, Hospital Sultanah Bahyah di Alor Star dan Hospital Sultanah Fatimah di Muar. Dan sekarang, bulan Mei 2011 pula akan menjadi tarikh seterusnya dalam jadual pemeriksaan. Tapi bukanlah sakit kronik (alhamdulillah), cuma tonsil dan tiroid yang membengkak dengan sedikit jangkitan. Mungkin menjadi masalah bagi para doktor mengesan apabila kedua-duanya membengkak sekali. Ikuti kisah dan bicara saya dengan doktor di sini. (klik ya!)

Syukur kerana tiroid sudah berhenti membusung, cukup sebesar ini, darah sudah normal, maka tidak perlulah membuang tiroid ni. Tonsil pula sudah semakin bagus, cuma masih ada tonsil stones yang kadang-kala mengganggu. Sepanjang dua tahun berulang-alik ke hospital dan memakan aneka ubatan dan semburan yang para doktor berikan, cukup ku berharap agar segalanya ini menjadi kifarah terhadap semua kesalahan dan dosa yang pernah dilakukan. Amiin.

Wah, malam ni ada perlawanan bola sepak Malaysia menentang Indonesia!

Friday, December 24, 2010

PMR oh PMR

Akhirnya keputusan PMR sudah pun diumumkan, maka berbondong-bondonglah para pelajar Tingkatan 3 2010 serta ibu bapa mereka ke sekolah untuk mengambil keputusan masing-masing. Tahniah buat yang berjaya mengenggam 8A dan 9A dan buat yang gagal, it is not the end of the world. Adik saya juga tidak terkecuali daripada menerima tekanan kerana dia perlu mendapat 8A dalam PMR. kerana semua adik-beradik sebelumnya sudah berjaya mendapat 8A. Sudah tentu dia tidak mahu menjadi kambing hitam dengan merubah sejarah keluarga tersebut. Namun alhamdulillah dia berjaya (walaupun dia agak playful dan seorang gamer sejati), dan saya kadang-kadang kasihan dengan para pelajar yang terlalu ditekan oleh ibu bapa untuk mencapai sebanyak mungkin A dalam peperiksaan. Namun inilah sistem pendidikan kita yang bertunjangkan silibus dan gred peperiksaan. Dalam pada itu, diharap minat para pelajar juga dapat dipupuk, kerana tanpa minat, maka lahirlah pekerja-pekerja yang tak produktif, rasuah dan sebagainyalah. Hmm, dah macam karangan berbentuk artikel/rencana PMR..