Tuesday, January 4, 2011

Cerpen: BCC UNTUK AYAH



Muhammad Hamzah memusingkan stereng kereta yang dipandunya ke sebelah kanan. Perlahan-lahan dia membelok masuk demi mengelakkan percikan air dari lecak yang terdapat di bahu jalan tersebut. Sayang sungguh jika badan kereta Nissan Sunny 130Y yang baru dicat semula berwarna putih champion yang dipandunya itu tercalit noda-noda campuran tanah dan air yang keperangan itu.

Lantas fikiran Muhammad Hamzah terlontar pada barisan rim sport yang baru sahaja ditukarkannya bersama tayar-tayar yang baru. Aduhai, jangan-jangan sudah kotor rim ni, getus hati kecilnya. Ikutkan hati ingin sahaja dia memberhentikan keretanya ke tepi jalan dan membersihkan rim-rim tersebut seandainya sudah terpalit lumpur. Suatu perasaan seperti orang yang pertama kali memiliki kereta. Namun batas masa yang semakin suntuk tidak mengizinkannya berbuat demikian. Dia harus sampai ke destinasi tepat pada waktunya. Hujan renyai yang menemaninya sejak tadi mencuri sedikit masa yang diperlukan untuk dia sampai ke sana. Ini semua salah si Tan. Kalau dia cepat-cepat buat kereta ni, taklah aku tergesa-gesa begini.

“Ini 15 inci sudah cukuplah bos. You punya enjin pun standard punya kan?” ujar Tan sambil mengesat pangkal keningnya lantas meninggalkan kesan minyak di situ. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk tanpa memandang ke arah Tan, sebaliknya dia melihat-lihat tayar kereta Nissan Sunny tersebut.

“Kalau 16 ke 17 ke, tak boleh ke Tan?” Muhammad Hamzah mengerling.

“Boleh tu boleh bos, tapi dengan enjin 1300cc ini macam, kalau you kasi taruk rim lagi besar daripada 15 inci, nanti kurang kuasa, kurang sesaran. Nanti silap-silap, you punya bacaan speedometer pun tak tepat tau,” ujar Tan lagi.

“Em, bolehlah. 15 inci pun oklah. Kasi warna perak tau. Sama macam warna rim asal tadi.”

Muhammad Hamzah meningkatkan kelajuan keretanya. Bunyi enjin yang sangat dikenalinya itu menderu dalam keheningan malam yang dingin itu. Tidak disangkanya enjin tersebut masih boleh digunakan lagi. Baguslah, sekurang-kurangnya nadi kereta tersebut masih sama seperti yang pernah digunakan oleh ayahnya dahulu.

Muhammad Hamzah masih ingat lagi peristiwa itu yang tersimpan segar dalam ingatannya. Ketika kereta Nissan Sunny putih tersebut baharu lagi dibeli oleh ayahnya, sewaktu itu dia baru sahaja berumur 10 tahun. Ayahnya pulang ke rumah dengan menaiki sebuah kereta yang belum pernah dilihatnya selama ini. Muhammad Hamzah sungguh teruja hinggakan dia pernah menghabiskan masa sepetang di dalam kereta tersebut dengan mendengar radio sambil berangan-angan di hadapan stereng kereta sehingga dia terlelap di situ.

Kereta itu dibeli sebagai kereta second hand dengan harga RM20 000 jika dia tidak silap. Kereta itu amat penting memandangkan saiz keluarganya yang semakin bertambah, semakin membesar. Menaiki motor sudah tidak relevan lagi. Namun hanya kereta itu yang mampu dibeli oleh ayahnya ketika itu dan dia sangat bersyukur dengannya. Banyak jasa yang telah ditabur oleh kereta tersebut dalam menghantarnya ke sekolah sejauh 10 kilometer setiap hari tanpa jemu dan kini kereta tersebut telah ‘dihidupkan’ kembali setelah sekian lama terbiar di belakang rumah ayahnya. Pernah ada orang yang hendak membeli kereta tersebut namun ayahnya enggan menjualkannya walaupun sudah tersadai begitu. Mungkin lebih baik begitu bagi ayahnya. Sejak adik-beradiknya mempunyai kerja masing-masing, kereta tersebut tidak digunakan lagi, dan ayahnya hanya menggunakan motor sahaja untuk ke mana-mana.

Jika kereta ayah tersebut telah banyak berjasa, maka sudah tentu ayah lebih banyak lagi budinya kepada Muhammad Hamzah dan adik-beradiknya. Pengorbanan ayah untuk membuat pinjaman demi membeli kereta tersebut untuk menjamin keselesaan anak-anaknya bersekolah dan mengharungi hidup sangatlah dihargainya, namun tiada pula kata-kata seperti ‘saya sayang ayah’ yang terpancar dari bibirnya kerana Muhammad Hamzah merasakan agak janggal untuk melakukan sebegitu. Dia tidak pernah menzahirkan ucapan kasih kepada ayahnya sendiri dan kadangkala terbit rasa kesal di hatinya dengan sikapnya sendiri. Sungguh dia menyintai ayahnya dan mahu menjaga segala keperluannya namun lafaz kasih sahaja yang masih terpendam. Baginya cukuplah perbuatannya sahaja yang mewakili rasa kasihnya yang dalam.

Mus. Mus. Mustakim…” baca ayahnya sambil menggenggam sebiji cili hijau di dalam tangan kanannya. Suasana senyap beberapa jurus.

Ihdinaous sirotol moustakim…” baca Muhammad Hamzah pula dengan suara perlahan. Air mata bergenang di kelopak matanya. Sudah berulang kali dia membaca ayat yang sama sahaja.

Mus. Bukan mous. Huruf sin tu bukan huruf sod. Ni cili hijau dah tunggu ni. Baca betul-betul.” Ayah menggentel-gentel cili hijau tersebut di hadapan Muhammad Hamzah. Setitik dua air mata Muhammad Hamzah jatuh ke atas lembaran muqaddam tersebut. Hatinya menggerutu. Sekejap aku baca bunyi sod, sekejap bunyi tsa. Macam mana nak buat bunyi sin. Lantas malam itu Muhammad Hamzah merasalah makan cili hijau mentah-mentah di hadapan ayahnya dan sejak itu dia tidak pernah lagi silap dalam membunyikan ketiga-tiga huruf arab tersebut.

Muhammad Hamzah tersenyum sendiri mengenangkan peristiwa itu. Sungguh ayahnya telah banyak berbudi kepada mereka adik-beradik. Segala tunjuk ajar ayah meresap masuk ke dalam sanubari Muhammad Hamzah. Terima kasih ayah.

Patutlah perjalanan itu terasa sunyi, rupa-rupanya radio kereta tersebut tidak dihidupkan. Muhammad Hamzah mencapai punat radio yang terdapat di sisinya. Radio Blaupunkt kereta tersebut yang asal sudah diganti dengan versi baharu, dengan sistem bunyi yang baharu juga. Boleh memainkan audio berformat mp3, wma, ogg dan sebagainya yang dia sendiri tidak pernah ambil tahu wujud formatnya. Disediakan juga sebuah alat kawalan jauh untuk radio tersebut, namun Muhammad Hamzah merasakan agak kelakar untuk menggunakannya kerana dia dengan mudah boleh menekan-nekan punat radio kereta tersebut tanpa memerlukan sebuah alat kawalan jauh untuk melakukannya. Oh, mungkin alat kawalan jauh itu untuk orang di tempat duduk belakang agaknya. Eh, tapi minta sajalah sesiapa sahaja yang ada di hadapan untuk tolong menekannya. Atau hulurkan saja tangan ke hadapan untuk menekan radio tersebut seperti yang sering dilakukannya ketika kecil dahulu sewaktu ayahnya memandu untuk menghantarnya ke sekolah. Muhammad Hamzah masih merasakan alat kawalan jauh itu tidak memberi sebarang nilai tambah, namun dia menerimanya sahaja kerana itulah yang dia dapat bersama set radio yang baru dipasangnya petang tadi dan dia tidak kerugian apa-apa.

“Lusa baru siap? Apa ni Tan? Dah seminggu aku hantar ni.”

Spare part payah cari bos. Bukan radiator saja bos, itu kipas pun sama. Lainlah kalau you tukar enjin baru,” jawab Tan.

Muhammad Hamzah kegeraman.

“Kalau tak boleh buat, jangan berjanji Tan. Bukan sikit aku bayar ni. Aku tak kira, aku nak guna esok, esok pagi kena siap. Nak hantar cat pula kau tahu. Patut hari ni aku dah dapat ambil kereta ni. Esok petang nak guna kau tau.”

“Alamak sorry bos. Bukan sengaja punya. Kita pun tak mau menyusahkan klien kita. Tak apa untuk you kita kerja overtime punya. Spare part sampai ini petang, kita kasi buat you punya kereta, kita sanggup tak tidur malam punya untuk you,” Tan cuba memujuk.

“Pandailah kau ya. Pastikan esok pagi siap tau. Ha, muffler dah tukar belum? Ke masih yang berkarat punya?” soal Muhammad Hamzah sambil bergerak ke belakang kereta. Tan mengekorinya daripada belakang dan menunjukkan kepada Muhammad Hamzah.

“Ini you jangan risau, sudah lama kita buat. Tapi ini muffler besar sikit dari yang lama punya. Yang lama punya macam batang paip saja. Kasi ekzos you bergaya sikit oh?”

“Ha nasib baik kau dah buat. Kalau tak aku tarik kereta aku ni bagi orang lain saja buatkan. Em, besar ni cukuplah, jangan besar sangat sebab enjin pun standard.”

“Wah betul-betul. You pun sudah faham, bolehlah buka bengkel lepas ini,” ujar Tan sambil tergelak besar.

Muhammad Hamzah tersenyum.

“Kalau aku buka bengkel, tak lakulah kedai kau nanti.” Tan tergelak lagi.

Papan tanda Lapangan Terbang Kepala Batas menyambut kehadiran Muhammad Hamzah dengan kereta ‘barunya’ sejurus selepas dia membelok ke simpang tersebut. Tidak banyak kereta yang melalui jalan tersebut pada waktu malam begini. Hanya barisan lampu jalan yang berderet-deret melimpahkan cahaya kuning yang menemani perjalanannya. Muhammad Hamzah mengerling jam digital keretanya. Em, patut lima minit lagi sampailah penerbangan itu. Sedang elok saja aku tiba ni, tak perlulah menunggu lama-lama.

Muhammad Hamzah memandu keretanya mendaki bukit untuk ke kawasan mengambil penumpang yang berhadapan dengan pintu utama lapangan terbang kecil tersebut. Kelihatan tiga empat buah kenderaan sudah berada di situ, bersedia untuk menjemput penumpang mereka masing-masing. Ada yang menanti di hadapan kenderaan, ada yang menunggu sahaja di dalam kereta.

Muhammad Hamzah memperlahankan keretanya ke sebelah kiri jalan dan memberhentikannya di situ. Kemudian dia pun keluar daripada keretanya dan berjalan ke arah pintu utama lapangan terbang tersebut. Muhammad Hamzah berjalan laju-laju dan memasuki kawasan lobi lapangan terbang tersebut yang lenggang. Hanya terdapat pekerja-pekerja lapangan terbang dan petugas-petugas syarikat penerbangan di kaunter tiket syarikat masing-masing. Mereka memandangnya lantas tersenyum dan Muhammad Hamzah hanya melemparkan senyuman tawar ke arah mereka. Muhammad Hamzah memang tidak tahu bermesra.

Selang dua tiga jurus, kelihatan kelibat-kelibat manusia berjalan dengan mengheret beg-beg troli daripada kawasan ketibaan dan disambut oleh para petugas di situ. Mata Muhammad Hamzah meliar untuk mencari-cari sesusuk tubuh yang dikenalinya, namun tidak kelihatan. Satu demi satu penumpang berlalu sehinggalah kepada penumpang yang terakhir namun tidak juga dijumpai apa yang dicarinya. Muhammad Hamzah mula kaget. Dia melihat papan tanda ketibaan. Sepatutnya sudah tiba. Bahkan lima minit tadi.

Tiba-tiba belakang bahu kanannya ditepuk perlahan.

“Kau cari siapa Hamzah?”

Muhammad Hamzah segera berpaling. Suara yang amat dikenalinya itu membuatkannya tersenyum sendiri.

“Sudah lama ayah sampai?” soal Muhammad Hamzah lantas menghulurkan salam dan dicium tangan mulia ayahnya itu.

“Adalah beberapa minit. Pergi tandas sekejap tadi. Transit sekejap saja di KLIA, terus ke mari. Sudahlah, ayah nak berehat. Jom hantar ayah balik.” Ayahnya mengangkat beg di sisi namun cepat-cepat diambil oleh Muhammad Hamzah. Mereka pun berjalan beriringan ke arah pintu utama.

“Ayah ada belikan sikit barang-barang masa umrah. Bolehlah bahagi-bahagi kau dengan isteri kau. Dengan kakak abang kau,” ujar ayahnya. Muhammad Hamzah hanya mengangguk-angguk.

“Terima kasih ayah,” Muhammad Hamzah menjawab. “Ayah tunggu sini dulu, saya masukkan barang-barang dalam kereta, lepas itu saya bawa kereta ke sini.”

“Tak apalah, ayah larat lagi nak jalan. Mana kau letak kereta kau?” Ayahnya melihat-lihat ke kanan dan kiri. Muhammad Hamzah tersenyum lagi.

“Ayah tengok kereta putih tu.”

“Kau dah tukar kereta ke Hamzah?”

“Eh, taklah ayah. Takkan ayah tak kenal kereta tu?” Mereka menghampiri kereta Nissan Sunny tersebut. Ayahnya memerhatikan segenap penjuru kereta itu dengan rasa tidak percaya. Keletihan kerana penerbangan tadi langsung tidak dirasainya lagi. Dadanya berdebar-debar.

“Inilah kereta ayah dahulu, BCC 7171. Saya sudah hantar untuk dibaikpulih masa ayah pergi umrah hari tu. Selamat hari lahir, ayah,” ujar Muhammad Hamzah sambil mengunjukkan kunci kereta tersebut kepada ayahnya yang ternyata tidak mampu bersuara.

Mata ayah Muhammad Hamzah berkaca-kaca, lalu mereka dua beranak pun berpelukan.

4 comments:

ANISRAHIM said...

....kisah benar?

izuan said...

majoriti penulis akan menyelitkan sedikit-sebanyak fragmen hidup mereka, atau sedikit kualiti mereka pada watak-watak yang mereka wujudkan =)

.:Insyirah:. said...

kisah yg menarik..

ANISRAHIM said...

haah..kisah y menarik :)