Saturday, January 22, 2011

Kerana Cinta Gaza - Empat

Terima kasih ya kepada semua yang berziarah dan follow namun untuk beberapa hari ini saya tak dapat untuk membalas follow semuanya. Insha ALLAH nanti ya! Klik SINI untuk Kerana Cinta Gaza bahagian SATU hingga TIGA.

    BAB 4

    Majlis perkahwinan Qassim dengan isterinya Nur Zaleha berlangsung dengan sangat meriah. Ramai tetamu yang hadir pada hari itu. Daripada sanak-saudara, sahabat-handai, rakan-rakan satu sekolah dan jiran tetangga. Namun tidak pula kelihatan rakan-rakan sekuliah Qassim ketika di universiti dahulu, kecuali Amar. Itu pun kerana Amar ditugaskan untuk mengambil gambar. Qassim memang tidak begitu digemari oleh rakan-rakannya ketika belajar dahulu. Majlis perkahwinan Qassim dan Nur Zaleha yang gemilang itu diadakan di Dewan Bankuet Hotel Regency yang ditempah khas untuk menampung banjiran tetamu yang telah diundang. Seluruh dewan disimbahi lampu keemasan, menyerikan lagi persalinan pengantin yang serba putih mutiara bersulamkan benang ungu.

    Di celah-celah kemeriahan dan kesibukan orang ramai yang hadir, Amar mengacukan lensa kamera DSLRnya dan cuba untuk mengabadikan momen-momen yang bermakna. Dia tidak pula berpakaian baju Melayu seperti kebanyakan tetamu yang lain, cuma kemeja lengan pendek dengan vest hitam serta seluar khakis. Di bahunya tergalas sebuah beg kamera dan sebuah lagi kamera DLSR dengan lensa telefoto untuknya mengambil gambar daripada jarak jauh. Untuk mengambil gambar yang berkualiti dan cantik dilihat, cantik dicetak, perkara yang paling utama adalah komposisi gambar itu sendiri. Penggunaan simetri, permainan bokeh dan garisan-garisan, lead in lines, rule of third dan sebagainya perlu bijak dimanipulasikan dalam keadaan majlis sebegini yang sibuk dengan ramai orang.

    Kali ini Amar berpasangan dengan Tony bagi melaksanakan kerja mengambil gambar dan merakam video perkahwinan Qassem dengan Nur Zaleha untuk memastikan tiada momen berharga yang terlepas daripada lensa kamera mereka. Dia sudah banyak kali bekerjasama dengan Tony dan dia sangat berpuas hati dengan hasil kerjanya. Tony juga tidak pernah meminta upah yang mahal kerana dia seorang jurutera TNB yang menjadikan fotografi tidak lebih daripada sebagai satu hobi sahaja. Hal ini yang lebih menggembirakan Amar kerana sudah tentu dia dapat mengurangkan kos dan meningkatkan keuntungan dirinya sendiri.

    Amar yang mempunyai ijazah dalam rekabentuk grafik tidak berjaya mencari pekerjaan yang memuaskan hatinya sebelum ini. Gaji yang diterima tidak cukup baginya, lantas Amar memohon pinjaman bank dan memulakan studionya sendiri. Perniagaannya menawarkan perkhidmatan fotografi untuk apa jua acara serta mengambil tempahan untuk membuat kain rentang serta papan tanda iklan. Setakat ini dialah tuan dan dialah juga kuli. Sekali-sekala dia akan meminta bantuan orang seperti Tony untuk mengendalikan majlis-majlis yang besar sebegini. Pendapatan yang diterimanya lumayan sedikit berbanding dengan gajinya ketika bekerja di bawah orang lain dahulu, namun semuanya bergantung kepada jumlah tempahan kerja yang diterimanya.

    “Amar, bila nak buat photoshoot di luar?” soal Tony setelah dia melabuhkan punggung di sebelahnya yang sedang menikmati hidangan nasi minyak itu. Majlis telah berakhir dan para tetamu sudah beransur pulang meninggalkan dewan.

    “Entahlah Tony, kita kena tunggu, jumpa pengantin dulu. Tengok jadual macam mana. Kau tak makan ke?” soal Amar setelah menelan suapan nasinya.

    “Aku makan nantilah. Ambil bungkus saja kot. Jadi yang outdoor tu nak buat kat mana?” tanya Tony sambil membelek-belek imej yang telah ditangkapnya menggunakan DSLRnya yang besar lagi mahal itu. Tony menggunakan Canon EOS 5D Mark III, sedangkan Amar menggunakan Canon 7D dan Nikon D90.

    “Itu pun aku tak pasti lagi. Asyik pergi tasik saja. Aku fikir kebun getah pun ok. Sesekali buat kelainan, hehe.” Amar sengih sambil menjeling untuk melihat imej yang dirakam oleh Tony. Tony memandang Amar seraya tersenyum. Kedua-duanya tergelak.

    “Aku on saja, Amar. Baru mencabar kreativiti,” ujar Tony seraya meleraikan lensa daripada badan kameranya. Lantas dia memasukkannya kemas-kemas ke dalam beg kamera yang disandangnya. Tony bangun dan memandang sekeliling.

    “Aku nak pergi jumpa pengantin, ambil nasi dan terus balik. Apa-apa nanti kau roger akulah, ok? Nak pindahkan gambar-gambar ni kemudian nak enhance warna dia ke apa ke malam ni sebelum tidur,” kata Tony lagi.

    “Tak mau teman aku makan ke?” soal Amar.

    “Tak maulah. Aku nak balik terus lepas ni. Esok aku kerja kau tahu.”

    “Alah, makan sekejap je.”

    “Tak naklah. Aku bukan kenal pun, kawan kau yang kahwin. Ha, kalau kau yang kahwin aku makanlah. Haha.”

    “Haha, iyalah Tony oi. Oklah, terima kasih ya tolong aku lagi. Nanti aku bagitahu apa-apa perkembangan, kita buat outdoor photoshoot pula dengan pengantin ni,” kata Amar. Tony hanya tersenyum dan meninggalkan Amar yang masih mengunyah di meja makan tersebut.

    ***************************************************************************************

    Selang beberapa jurus bahu Amar ditepuk. Amar berpaling dan mendapati Qassim berdiri di sisinya.

    “Cukup ke makan? Tambahlah lagi.”

    “Cukuplah ni, biasanya aku tak makan kat majlis orang macam ni, tapi sebab kau yang kahwin, aku makanlah juga,” Amar mengelap mulutnya dengan tisu yang disediakan di atas meja.

    Qassim lantas menarik kerusi di sebelah Amar dan menoleh ke kanan dan ke kiri. Matanya mencari-cari.

    “Mana pekerja kau tu?”

    “Siapa? Yang ambil gambar tadi?”

    “Iyalah, kau bawa seorang pekerja saja kan,” Qassim mencapai seulas buah oren yang ada dihadapannya lantas memasukkannya ke dalam mulut. “Tak sempat nak makan lagi, hehe”. Qassim menyengih.

    “Hehe, makanlah. Yang aku bawa tadi tu bukan pekerja tapi kawan aku juga. Tony tu ada kerja bagus dah tapi dia tolong-tolong aku je ambil gambar kalau ada event besar macam kau punya majlis ni. Aku bagilah upah sikit kat dia,” ujar Amar. Qassim mengangguk-angguk. Diambilnya seulas lagi buah oren dan menyuapkannya ke dalam mulut.

    “Habis dia tak makan ke?” soal Qassim.

    “Dia ambil nasi bungkus je katanya. Dia tak jumpa kau dulu ke sebelum balik?”

    “Tak ada pun. Dia jumpa abah aku kot.”

    “Hmm..” Amar pula mengangguk.

    “Kau dengan Qis bila lagi?”

    “Apa dia yang bila?”

    “Kahwinlah, apa lagi.” Jawab Qassim tersenyum. “Bercinta bagai nak rak masa kat U dulu.”

    “Tunggulah ada rezeki. Aku nak juga buat event macam kau ni. NI tengah mengumpul danalah ni. Lainlah kalau kau nak support.” Amar menggesel-geselkan ibu jari dan jari telunjuknya ke arah Qassim. Amar baru teringat yang Balqis tidak ada menghubunginya lagi sejak pertengkaran mereka yang bersaksikan Pantai Tanjung Bidara tempoh hari. Masih merajuk lagi agaknya si Balqis ni.

    “Haha, aku kahwin ni pun abah aku yang support. Nak bayar kau ambil gambar je guna duit aku tau. Kau ni bukan nak ambil gambar free.

    “Kalau free lagi lambatlah aku kahwin kau tahu,” Amar meneguk baki air oren yang berada di dalam gelasnya. Perlahan-lahan dia menelan. Setelah itu dia meletakkan gelas tersebut di hadapannya dan menggapai beg kamera di sebelahnya.

    “Aku ingat nak gerak dululah, kau susunlah jadual kau, urusan macam mana baju pengantin kau tu untuk outdoor photoshoot. Nanti kalau dah confirm kau bagitahu akulah ya,” Amar menghulurkan salam kepad Qassim. Tangannya disambut lantas mereka berdiri bersama-sama.

    “Em, iyalah. Nanti apa-apa hal aku telefon. Terima kasihlah Amar,” kata Qassim.

    “Oklah Sim, selamat pengantin baru. Kirim salam kat isteri kau, haha,” Amar mengusik dan meninggalkan meja tersebut. Qassim hanya tersengih.

5 comments:

.:Insyirah:. said...

salam..
bila agak2 nak abis ye crita ni? nanti boleh bukukan..:)

izuan said...

insha ALLAH insyirah =)

PG said...

haah...mcm tertanya-tanya plak ending dia camne =)

izuan said...

PG: hehe, endingnya sudah tentu lain daripada yang lain :P

aliefcmoi said...

kenapa awk tak tulis buku..awk ada bakat..huhu..olahan ayat pun smart..bro,kalau bro free,dtg la singgah dan follow blog alief..alief sgt mnghargai kalau bro follow alief..syukran wahai sahabat..
http://aliefcmoi.blogspot.com/